Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Ayat surah al-Maidah perjelas hukum pengharaman arak


Senior

Status: Offline
Posts: 338
Date:
Ayat surah al-Maidah perjelas hukum pengharaman arak
 


Assalamualaikum ...


 


Hak Muslim: Ayat surah al-Maidah perjelas hukum pengharaman arak


PERSOALAN berhubung pengharaman arak dibahaskan oleh ilmuwan Islam sejak dulu lagi. Ulama sepakat di dalam menghukum bahawa meminum arak adalah haram di sisi hukum syarak.

Pengharaman arak sebenarnya dilakukan secara berperingkat melalui penurunan empat ayat al-Quran iaitu:



  • Ayat 67, surah al-Nahl.

    Firman Allah bermaksud: “Dan daripada buah tamar dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan rezeki yang baik, sesungguhnya pada yang demikian itu ada satu tanda bagi orang yang mahu menggunakan akalnya.”

    Ayat ini diturunkan ketika di Makkah di mana di dalam ayat itu Allah belum lagi menjelaskan pengharaman arak dan masih boleh diminum ketika itu.


  • Ayat 219, surah al-Baqarah.

    Firman Allah bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya..."

    Ayat kedua ini menjelaskan perbezaan di antara baik dan buruk arak. Ia juga menjelaskan bahawa dosa arak adalah lebih besar daripada manfaatnya.


  • Ayat 43, surah an-Nisa'.

    Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu bersembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan..."

    Ayat ketiga ini pula melarang umat Islam ketika itu meminum arak tatkala hampir waktu untuk bersolat. Perkara ini berlaku kerana imam sembahyang ketika itu dikatakan telah tersalah membaca ayat al-Quran kerana berada dalam keadaan mabuk. Maka turunlah ayat ketiga di atas.


  • Ayat 90, surah al-Maidah.

    Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan."

    Ayat keempat ini mengharamkan arak secara sekali gus. Jumhur fuqaha mengharamkan arak disebabkan ia adalah najis dan memabukkan.

    Ayat ini adalah dalil yang putus mengenai pengharaman meminum arak.

    Ayat terdahulu walaupun dilihat sebagai mengharuskan penggunaan arak, namun seseorang Muslim hendaklah mengetahui ilmu al-Quran sebelum mengistinbat (mengeluarkan) hukum daripadanya.

    Al-Quran tidak boleh ditafsirkan mengikut logik akal semata-mata kerana banyak kaedah yang perlu dihayati di dalam kita mencapai sesuatu hukum.

    Mengkaji al-Quran memerlukan ilmu yang mendalam dalam bidang usul fiqh, kaedah fiqh dan sebagainya.

    Dengan hanya membaca terjemahan dan tafsir al-Quran yang diterjemahkan tidak dapat membantu sepenuhnya di dalam memahami kehendak al-Quran itu sendiri.

    Penguasaan bahasa Arab yang kuat juga dapat membantu memahami ayat al-Quran dalam erti kata sebenar. Bahasa al-Quran itu sebenarnya penuh dengan gaya bahasa yang tinggi dan seni yang amat menakjubkan.

    Sebenarnya dengan turunnya ayat yang keempat di atas, ayat yang terdahulu telah dimansuhkan dari segi hukumnya. Ini bermakna kesan hukum ayat terdahulu tidak boleh dipakai lagi kerana ia telah dimansuhkan oleh ayat yang keempat di atas.

    Pengharaman arak dibuat secara berperingkat ketika zaman Rasulullah SAW kerana masyarakat Arab ketika itu agak sukar meninggalkan arak yang sudah menjadi adat kebiasaan mereka.

    Sekiranya arak diharamkan secara sekali gus tentulah amat menyukarkan orang Arab menerima Islam ketika itu dan Islam tidak akan berkembang. Inilah kehebatan hukum hakam Islam yang mengambil kira faktor adat dan budaya sesuatu kaum itu.

    Namun, aplikasi hukuman berperingkat-peringkat seperti ini tidak boleh dibuat lagi ketika ini kerana hukum meminum arak ini telah diputuskan dengan turunnya ayat keempat itu.

    Sebagai perbandingan dengan undang-undang semasa, apabila sesuatu undang-undang itu dipinda, apakah kita boleh mengikut undang-undang yang lama atau undang-undang yang baru?

    Begitulah juga keadaannya di dalam isu pengharaman arak ini. Hukuman yang terkini ialah arak itu haram dan hukuman ini telah memansuhkan hukuman lain yang menyatakan arak itu ada sedikit manfaat dan sebagainya.

    INTI PATI

  • Ulama sepakat di dalam menghukum meminum arak haram di sisi hukum syarak


  • Pengharaman arak sebenarnya dilakukan secara berperingkat melalui penurunan empat ayat al-Quran


  • Pengharaman arak dibuat secara berperingkat kerana masyarakat Arab ketika itu agak sukar meninggalkan arak yang sudah menjadi adat kebiasaan mereka


  • Sekiranya arak diharamkan secara sekali gus tentulah amat menyukarkan orang Arab menerima Islam ketika itu dan Islam tidak akan berkembang



  • Artikel ini dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

    Pandangan dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.com.my, faksimile 03-80259495 atau layari www.pgsm.com.my


  • __________________
    Setulang Daing Bukit Rambai Melaka.
    Page 1 of 1  sorted by
     
    Quick Reply

    Please log in to post quick replies.

    Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


    Create your own FREE Forum
    Report Abuse
    Powered by ActiveBoard