Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: PENJELASAN TERHADAP FAHAMAN SYIAH


Ahli Baru

Status: Offline
Posts: 3
Date:
PENJELASAN TERHADAP FAHAMAN SYIAH
 


Akhir-akhir ini terdapat kecenderungan orang Islam mencemuh dan mengutuk para sahabat Nabi r.hum., bahkan lebih parah lagi melabelkan mereka sebagai munafiq dan kafir. Mereka melontarkan tuduhan bahawa sahabat menyembunyikan fakta-fakta penting agama dan juga menyelewengkan al-Quran. Justeru mereka meragui kebenaran dan kesahihan ajaran Islam yang ada pada hari ini lantaran ianya dibawa oleh sahabat Nabi s.a.w dan sebagai alternatif mereka cuba menampilkan satu bentuk ajaran lain yang kononnya datang dari anak cucu Nabi s.a.w. (Ahlul bait)





Risalah ini bertujuan untuk memberi maklumat dan penjelasan kepada masyarakat mengenai fahaman Syiah* supaya mereka menjauhi dan tidak terpengaruh dengan fahaman tersebut dan bertujuan menyedarkan mereka yang terbabit bahawa pegangan fahaman Syiah adalah bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Siapakah Syiah?

Syiah ialah golongan yang mendakwa Sayyidina Ali lebih utama daripada sahabat-sahabat lain dan mengkafirkan sahabat-sahabat yang lain. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Syiah daripada golongan-golongan Islam yang lain. Terdapat beberapa banyak aliran di dalam Syiah itu sendiri yang pada dasarnya masing-masing mempunyai konsep yang tersebut di atas. Tetapi aliran-aliran itu berbeza antara satu dengan yang lain kerana wujudnya fahaman-fahaman atau ajaran-ajaran yang saling berbeza. Tetapi tumpuan yang utama akan diberikan kepada Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah* kerana kekeliruan yang timbul di dalam masyarakat sekarang ini ialah berhubung dengan Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah. Syiah inilah yang dipertikaikan oleh para ulama di setiap tempat pada masa ini kerana ramainya bilangan mereka dan kedudukan mereka yang semakin popular terutama selepas tercetusnya revolusi di Iran.





SYIAH IMAMIYYAH ITHNA ASYARIYYAH

Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah ialah Syiah yang mempercayai keimaman dua belas orang imam secara berturut seperti di bawah ini:-

1. Ali bin Abi Talib (wafat 40 H)

2. Hasan bin Ali (wafat 50 H)

3. Husain bin Ali (wafat 61 H)

4. Ali Zainal Abidin bin Husain (wafat 94 H)

5. Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin (wafat 117 H)

6. Jafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir (wafat 148 H)

7. Musa al-Kazim bin Jafar as-Sadiq (wafat 183 H)

8. Ali ar-Ridha bin Musa Kazim (wafat 202 H)

9. Muhammad al-Jawaad bin Ali ar-Ridha (wafat 220 H)

10. Ali bin Muhammad al-Jawaad (wafat 254 H)

11. Hasan bin Ali al-Askari (wafat 260 H)

12. Muhammad bin Hasan al-Askari al-Mahdi (ghaib 260 H)

Mereka percaya Imam Kedua Belas telah ghaib dan ia akan muncul kembali ke dalam masyarakat setelah dunia ini dipenuhi dengan kezaliman dan kekacauan. Mereka juga percaya kepada al-bada, ar-rajah, tahrif al-Quran, (akan dijelaskan secara terperinci di dalam siri-siri selepas ini ), kemurtadan para sahabat termasuk Sayyidina Abu Bakar, Umar, Utsman r.a. dan sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w. yang lain, ismah para imam dan lain-lain. Biasa juga Syiah ini disebut sebagai Syiah Imamiyyah atau Jafariyyah sahaja. Syiah ini juga dikenali sebagai Rafidhah kerana fahaman-fahaman dan aqidah-aqidahnya yang melampau.

Di Malaysia, kumpulan Syiah ini dipercayai mula bertapak selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran. Fahaman Syiah ini bertambah meruncing apabila beberapa orang pensyarah universiti tempatan telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman Syiah Ja'fariyah secara serius kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi. Pengaruh fahaman Syiah ini kian menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Kelantan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam keputusannya yang bertarikh 5 Mei 1996 telah mewartakan kesesatan Syiah dan mengharamkannya dari diamalkan di Malaysia.

Antara negeri yang telah mewarta dan mengharamkan Syiah ;

Selangor : 19 Januari 1998 W.Persekutuan : 3 April 1997

Terengganu : 25 September 1997 P. Pinang : 16 Januari 1997

N.Sembilan : 12 Mac 1998 Kelantan : September 1987



BEBERAPA CONTOH PENYELEWENGAN SYIAH

1) Syiah - Al-Quran Sudah Diseleweng. Aqidah Syiah mengatakan bahawa Al-Quran sekarang ini telah diubah, ditokok-tambah dan diselewengkan. Di dalam kitab Al-Fashlu Al-Khitaab at-Thabarsi menukilkan kata -kata Sayyid Ni`matullah al-Jazaairi: "Bahawa tokoh-tokoh Syiah telah sepakat tentang sahihnya hadits-hadits yang sampai ke peringkat mutawaatir yang menunjukkan dengan jelas tentang berlakunya penyelewengan al-Quran (An-Nuuri At-Thabarsi, Fashlu al-Khitaab, hal. 30)

AGAMA ISLAM - Tidak perlu dijelaskan hukum meragui kitab suci al-Quran...

2) Syiah - Imam Adalah Maksum. Dinyatakan dalam Kitab `Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal. 72: Akidah Kami Tentang Imam itu Maksum Kami mempercayai bahawa imam-imam itu seperti nabi-nabi, ia wajib maksum dan terpelihara daripada sifat-sifat yang buruk dan keji yang nyata dan yang tersembunyi, semenjak daripada kecil sehinggalah mati, sengaja atau lupa sebagaimana mereka juga terpelihara daripada sifat lupa, tersalah dan lain-lain. Khomeini menyatakan:"Kita tidak dapat menggambarkan para imam itu mempunyai sifat lupa dan lalai." (Khomeini, Al-Hukumah Al-Islamiyah, hal. 91)

Bahkan imam-imam dianggap lebih tinggi kedudukannya dari Nabi-nabi a.s. Perkara ini dinyatakan dengan begitu banyak sekali dalam kitab-kitab muktabar Syiah seperti Al-Anwar An-Numaniyah, Al-Kafi dan juga seperti yang disebutkan Khatimatul Muhaddisin (penyudah ahli hadis) di sisi Mulla Baqir Al-Majlisi dalam kitabnya Biharul Anwar jilid 27 hal. 29: Ali bin Hussain a.s. berkata: "Imam-imam boleh menghidupkan orang mati, menyembuhkan penyakit sopak dan buta serta berjalan di atas air, beliau berkata lagi: "Tidak ada sesuatu yang diberikan Allah kepada Nabi-nabi kecuali akan diberikannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta diberikan juga kepadanya sesuatu yang tidak diberikan kepada Nabi-nabi sebelumnya. Dan setiap apa yang diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. pasti akan diberikannya kepada Amirul Mukminin Ali a.s. bahkan kepada Hasan, Hussin a.s. kemudian kepada Imam-imam selepasnya sehingga hari kiamat dengan ditambah ilmu-ilmu yang baru (yang tidak dimiliki oleh Nabi-nabi) pada setiap tahun, pada setiap bulan dan demi Allah pada setiap saat."


AGAMA ISLAM- Jelas terdapat dalam al-Quran dan Hadits-hadits sahih menyatakan bahawa yang maksum hanyalah para rasul dan anbiya' sahaja. Oleh itu dalam hal-hal yang berkaitan dengan akidah, memerlukan kepada dalil-dalil yang qat'ie. Ini dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran seperti berikut yang bermaksud: "Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (sama ada al-Quran dan Hadits) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya." (An-Najm ayat 3 - 4)

3) Syiah - Ilmu Allah Berubah-ubah Mengikut Sesuatu Peristiwa Yang Berlaku Kepada Manusia (al-Bada'). Dari segi bahasa al-Bada' bermaksud lahir sesudah tersembunyi. Menurut akidah Syiah , al-Bada' ialah Allah mengetahui sesuatu perkara setelah berlaku peristiwa berkenaan yang sebelum itu dianggap tersembunyi daripada-Nya. Perkara ini jelas menganggap Allah itu jahil atau tidak mempunyai ilmu yang meliputi. Disebutkan oleh al-Tabatabai dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-Kulaini juzu' 1 hal. 146:"AI-Bada" ialah zahir perbuatan yang tersembunyi disebabkan ternyata tersembunyi ilmu kerana adanya maslahah. Kemudian diluaskan penggunaannya, maka kami maksudkan dengan al-Bada' itu ialah lahirnya setiap perbuatan yang sebelumnya itu adalah tersembunyi (daripada Allah S.W.T)".

AGAMA ISLAM -Pendapat yang mengatakan ilmu Allah berubah-ubah mengikut peristiwa yang berlaku kepada manusia adalah bertentangan dengan al-Quran al-Karim yang menyebut bahawa Allah mengetahui secara terperinci dan menyeluruh sepertimana yang dijelaskan oleh ayat-ayat berikut yang bermaksud: "Allah mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang. Serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin ayat 19). FirmanNya lagi: "Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatupun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit." (Surah A-li Imran ayat 3)

4) Syiah - Taqiyyah (berpura-pura). Dijelaskan dalam buku al-Usul Min al-Kafi, juzu' 2 oleh Abu Ja'far Muhammad bin Ya'kub bin Ishak al-Kulaini al-Razi, hal. 217: Daripada Ibnu Abu Umair daripada Hisham bin Salim daripada. Abu Umar al-A'jami katanya Abu Abdullah a.s. berkata kepadaku "Wahai Abu Umar, Sesungguhnya sembilan persepuluh daripada agama itu terletak pada Taqiyyah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak mempunyai Taqiyyah dan Taqiyyah itu ada pada tiap-tiap sesuatu, kecuali dalam masalah arak dan menyapu dua khuf."

Di tempat yang lain Imam Jaafar As-Sadiq a.s. berkata kepada Sulaiman bin Khalid (perawi hadis): "Wahai Sulaiman! Sesungguhnya engkau berada di atas agama yang sesiapa menyembunyikannya akan dimuliakan oleh Allah dan sesiapa yang menyebarkannya akan dihina oleh Allah." (al-Kafi jilid 2, hal. 222)

Taqiyyah merupakan konsep atau ciri utama yang tidak dapat dipisahkan dari fahaman Syiah



AGAMA ISLAM - . Taqiyyah pada hakikatnya adalah amalan "berdusta dan berbohong". Ulama Islam di zaman lampau tidak mahu menerima riwayat yang dikemukakan oleh Syiah lantaran jelas mereka mengamalkan pembohongan. Sehubungan dengan itu Imam Syafie berkata: "Tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu yang lebih pembohong dari golongan Syiah ." (Al-Kifayah, hal. 49, as-Suyuti, Tadrib Ar-Rawi, jilid 1, hal. 327)

5) Syiah - Mengkafirkan Para Sahabat Rasulullah s.a.w. Perkara ini disebutkan dalam Kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi juz 27, hal 64-66: Kebanyakan para sahabat adalah munafik, tetapi cahaya nifaq mereka tersembunyi di zaman mereka. Tetapi apabila wafat nabi s.a.w ternyatalah cahaya nifaq mereka itu melalui wasiat nabi dan mereka itu kembali secara mengundur ke belakang, dan kerana ini Saidina Ali berkata; "Semua manusia murtad selepas wafat nabi s.a.w. kecuali empat orang sahaja iaitu Salman, Abu Zar, Miqdad dan Ammar, dan perkara ini tidak ada masalah lagi."

AGAMA ISLAM - Keadilan dan kedudukan para sahabat yang tinggi telah sabit melalui al-Quran sendiri. Mengingkarinya bererti mengingkari al-Quran.

6) Syiah - Menghalalkan Nikah Mut'ah. Iaitu kahwin kontrak tanpa wali dan saksi berdasarkan akad untuk tempoh waktu dan maskahwin tertentu sahaja (mafhum hadis Syiah dalam kitab al-Kafi jilid 5, ms 286). Di dalam riwayat yang lain daripada Abi Jaafar (Muhammad Al-Baqir) berkenaan mut'ah katanya: "Ianya bukan termasuk daripada empat (isteri). Mereka tidak diceraikan dan tidak mewarisi. Mereka hanyalah perempuan yang disewakan." (al-Kafi jilid 5, ms 284) Dinyatakan dalam Kitab Man La Yahduruhu al-Faqih oleh Abu Ja'far Muhammad b. Ali b. al-Husain Babwaih al-Qummi, juzu' 1 hal. 358: Adapun mut'ah maka sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menghalalkannya dan tidak mengharamkannya sehinggalah baginda wafat. Abu Ja'far al-Baqir meriwayatkan dalam kitab Man La Yahduruhu al-Faqih Oleh Abu Ja'far Muhamad bin Ali bin al-Husain, hal. 358: "Bukan dari kami orang yang tidak mempercayai al-Raj'ah dan tidak menganggap halal mut'ah kita."

AGAMA ISLAM - Nikah Mut'ah telah diharamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w buat selama-lamanya sehingga hari kiamat menerusi hadits-hadits sahih sebelum baginda wafat dan salah seorang perawi hadits tersebut ialah Saidina Ali sendiri. Antara hadits-hadits tersebut ialah: Daripada Ali bin Abu Talib katanya: "Bahawa Rasulullah s.a.w. melarang nikah mut'ah pada hari peperangan Khaibar dan melarang juga memakan daging keldai kampung." (Riwayat Ibn Majah dan al-Nasai)



*Syi`ah ini dianuti secara meluas di Iran dan Iraq. Puak Hizbullah yang kini diangkat sebagai pejuang Islam sebenarnya beragama Syi`ah!

JUGA MAKLUMAT LANJUT BERKENAAN SYIAH DI LAMAN-LAMAN WEB BERIKUT:

http://www.hakekat.com

http://www.syiah.blogspot.com

http://www.darulkautsar.com/pemurnianaqidah/pemurnian_aqidah.htm

http://www.islam.gov.my/e-rujukan/syiah.html

http://www.al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=15664&mode=thread&order=0&thold=0


\\\AMAR MAKRUF, NAHYIL MUNGKAR///

__________________
///AMAR MAKRUF, NAHYIL MUNGKAR\\\
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard