KUALA LUMPUR: Samseng Geng 77 kembali mengganas apabila kumpulan terbabit dikesan bertindak mengugut pelajar yang baru memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), supaya menyertai mereka.
Sekiranya segala perintah yang dikeluarkan kumpulan itu tidak dipatuhi pelajar baru, ada pihak yang bersekongkol dengan kumpulan samseng terbabit akan bertindak dengan membelasah mereka selain mengenakan pelbagai hukuman lain.
Kumpulan terbabit dikatakan menjadi lebih ‘besar kepala’ apabila beberapa pensyarah di IPTA serta pengawal keselamatan seolah-olah memberi ‘lampu hijau’ untuk bertindak sedemikian.
Malah, Geng 77 turut mengugut untuk membelasah serta mengambil beberapa lagi tindakan di luar jangkaan kepada mana-mana pelajar yang enggan mengikut telunjuk mereka.
Ini terbukti apabila beberapa pelajar IPTA terbabit yang pernah diugut dan dibelasah tampil membuat pendedahan mengenai masalah yang timbul pusat pengajian tinggi itu.
Menurut sumber, Geng 77 hanya menunggu masa kemasukan pelajar baru pada April tahun ini di IPTA itu dan semua pelajar terbabit perlu mendaftar menjadi ahli.
“Bagi pendaftaran itu, wang pendahuluan dikenakan sebanyak RM360 setiap seorang manakala pelajar terbabit juga perlu membayar wang bulanan berjumlah RM36 sebagai `pendinding’.
“Yuran bulanan dikatakan menjadi pendinding berikutan ahli yang membayar akan dijaga seperti ‘anak emas’ supaya tidak diganggu samseng lain,” katanya di sini.
Sumber berkata, ketua Geng 77 kini mula menjadikan pusat pengajian tinggi sebagai tempat yang sesuai untuk mencari dan merekrut ahli baru bagi menambahkan pendapatannya.
“Setakat ini, semua pengawal keselamatan di pusat pengajian tinggi itu sudah menjadi ahli kumpulan bersama beberapa pensyarah.
“Bagaimanapun, saya bersimpati nasib pelajar kita yang terseksa dengan kewujudan kumpulan samseng tidak berlesen itu yang boleh mengganggu sistem pembelajaran mereka,” katanya.
Beliau juga meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan itu serta mengadakan pemantauan supaya kegiatan samseng tidak begitu mudah menular sehingga mempengaruhi pelajar IPT.
Pada 19 September tahun lalu, Geng 77 menghantar SMS menggugut membalas dendam terhadap Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Bukit Bintang kerana mendakwa punca ketua mereka, Tiger Snook, ditahan dan kumpulan berpecah.
Menerusi SMS itu, Geng 77 yang hilang taring selepas beberapa pemimpin kanannya melarikan diri ke negara jiran akibat diburu pihak berkuasa, mendakwa kumpulan terbabit sudah `memegang’ semula pihak berkuasa di Kuala Lumpur dengan hanya membayar duit.
Difahamkan SMS itu dihantar kepada seorang ahli Pekida ketika dia berada di pejabat pertubuhan berkenaan di Jalan Rumbia Off Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, di sini.