Bila keseronokan dunia menjadi matlamat utama maka berlakulah pelbagai masalah kepada manusia itu sendiri. dunia hanya sementara jangan jadikan ia matlamat kita. akhirat jua yang kekal selamanya. Banyak peringatan terdapat dalam Quran berkenaan perkara manusia yang mengejar dunia dan melupakan akhirat akan rugi.
Wanita & Keluarga -
Hubungan seawal usia 15 tahun Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
ERA globalisasi memberikan kesan dan impak kepada hampir keseluruhan aspek kehidupan manusia hari ini. Secara sedar atau tidak, setiap warga dunia hari ini perlu menyesuaikan diri dan bergerak seiring dengan arus perubahan yang dibawa oleh fenomena globalisasi ini.
Terdapat banyak anjakan paradigma yang harus dimulakan dalam minda setiap individu yang mahu terus hidup serta tidak ‘pupus’ ibarat dinosaur yang pernah satu masa dulu menguasai daratan bumi ini.
Membicarakan hal ini aspek seksual remaja juga tidak terkecuali dari berubah dan perkara pokoknya tentulah berkaitan dengan keluarga.
Kajian mendapati 13 peratus remaja negara ini yang berusia 15 hingga 21 tahun pernah mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Satu kajian yang dijalankan bersama antara Kementerian Kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Universiti Malaya dan sebuah syarikat swasta terhadap remaja dalam kelompok itu baru-baru ini mendapati 76 peratus daripada responden itu adalah remaja lelaki manakala remaja perempuan pula sebanyak 61 peratus.
Soal selidik terbaru yang dijalankan oleh satu jenama kondom mendapati, rakyat Malaysia kini melakukan hubungan seks pertama kali pada usia lebih awal iaitu 19.3 tahun berbanding purata 20 tahun pada 2001.
Dalam satu kajian lain yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan terhadap kalangan remaja yang masih bersekolah (berumur 13 hingga 18 tahun), mendapati sebanyak 1.8 peratus daripadanya mengaku pernah terbabit dalam aktiviti seks.
Ketua Wanita Pusat, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Harlina Halizah Siraj, berkata keadaan berkenaan amat menakutkan kerana ia membabitkan golongan pelapis masa depan.
“Ini adalah kesan global. Dalam membicarakan hal ini institusi kekeluargaan tidak ketinggalan menerima tempias kesan globalisasi. Dengan bertambahnya komitmen ketua keluarga terhadap kerjaya dan profesyennya, ditambah dengan kaum ibu yang turut sama terbabit dalam pasaran buruh, persoalan-persoalan asas yang tidak pernah menjadi masalah di masa dahulu, kini menjadi isu-isu besar yang mesti ditangani segera termasuk seksual,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam kertas kerjanya bertajuk Memahami Isu-isu Keluarga Dalam Era Globalisasi beliau berkata, sekiranya institusi keluarga gagal memahami perubahan-perubahan besar yang berlaku, dikhuatiri institusi ini tidak akan dapat bertahan untuk kekal menjadi unit terpenting dalam pembangunan masyarakat.
“Keluarga juga dapat dikategorikan sebagai keluarga nukleus (keluarga kecil yang dianggotai oleh ibu bapa dan anak-anak saja) dan keluarga meluas (extended family) yang membabitkan ahli keluarga seperti datuk dan nenek, ibu bapa saudara serta sepupu.
“Tidak ada salahnya sekiranya definisi keluarga ini diperluaskan kepada kelompok manusia yang lain, yang saling berkongsi keadaan, tempat, suasana dan aspirasi yang sama. Namun bagi perbincangan ini, keluarga dirujuk kepada unit asas dalam masyarakat atau sesebuah komuniti berkenaan,” katanya.
Mengulas lebih lanjut katanya, mungkin ramai yang merasakan, apabila isu keluarga diketengahkan, ianya akan menyenaraikan gejala-gejala sosial seperti perceraian, keganasan rumahtangga, kehamilan luar nikah, perzinaan, sumbang mahram dan penderaan anak.
“Sebenarnya, gejala sosial yang disebutkan adalah tanda kepada satu sindrom penyakit yang sedang melanda institusi kekeluargaan dalam masyarakat moden hari ini. Harus diingat gejala-gejala yang disebutkan di atas sememangnya sudah lama menghantui institusi kemasyarakatan kita sejak dari dulu lagi.
“Cuma mungkin suasana dan pendekatan yang diambil dulu lebih menekankan kepada kaedah menutup keaiban dan pekung di dada, menyebabkan kebanyakan kes yang berlaku tidak dihebahkan dan dijadikan rahsia keluarga yang disimpan dalam lipatan sejarah.
“Kesimpulan yang dapat diambil, institusi keluarga mestilah mampu menghadapi segala tekanan yang datang dari segenap penjuru, dalam ruang lingkup masa yang sentiasa berubah. Kegagalan sesebuah institusi keluarga dalam menangani perubahan dan tekanan ini akan mengakibatkan permasalahan yang lebih rumit dan menyebabkan gejala sosial berkenaan semakin berleluasa,” katanya yang menyatakan antara punca serta asas permasalahan keluarga yang menyebabkan goyangnya institusi keluarga dan rumah tangga adalah seperti perhubungan dan komunikasi yang lemah serta ketidakupayaan untuk menangani konflik dan perselisihan pendapat.
Katanya nyatalah apa yang amat perlu bagi mengekalkan survival dan kesinambungan setiap keluarga era globalisasi ini adalah kesediaan untuk mengadaptasi dan menyesuaikan diri kepada tekanan zaman dan suasana.
“Dalam masa yang sama, pegangan kepada asas dan prinsip hidup yang universal mestilah tidak berubah. Dalam konteks ini, Islam memberikan suluh yang terang bagi kita semua untuk menerokai segala ruang dan peluang yang disediakan. Demi untuk masa depan tamadun manusia, institusi kekeluargaan mestilah dipertahankan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Bagus info saudara elie...satu pendedahan yang menarik....itulah satu masalah besar dalam gejala sosial sekarang.ini salah satu sebab pemuda pemudi sekarang menjadi rapuh pegangannya...