CUTI SEKOLAH, KENDURI DAN BERSUNAT Oleh Hishamuddin Rais
Kenduri kendara ini adalah salah satu dari cara manusia merayakan kehidupan. Semua budaya bangsa-bangsa dalam dunia ini ada kenduri kendara yang mereka dirayakan bersama sanak saudara dan jiran tetangga. Awalnya, rasa saya, kenduri kendara ini adalah tanda manusia berterima kaseh kepada Yang Esa. Manusia ingin berterima kaseh kepada tuhan yang telah mengurniakan cuaca yang baik dan tanaman yang subur sebagai rezeki penghidupan.
Saya teringat di kampong saya, sebelum turun menanam padi orang-orang kampong akan mengadakan kenduri untuk berdoa dengan harapan hujan akan turun pada masa benih padi mula bercambah. Para petani juga berdoa agar sawah padi tidak dilanda bajir dan kemarau. Mereka memohon doa agar belalang dan ungas tidak datang menyerang padi mereka.
Ini berlaku disatu zaman ketika leterik dan Proton masih diawang-awang. Ketika ini, kenduri kendara menjadi satu masa dan ketika yang dinanti-nantikan. Sambil menjamah makanan yang enak-enak dapat pula para jemputan bermesra dengan sanak saudara dan jiran tetangga. Kenduri kendara dilembagakan untuk merapatkan hubungan silatulrahim. Sanak saudara dan jiran tetangga berkumpul untuk berseraya bersama bergotong-royong memasak, menggulai dan makan bersama.
Hari ini kenduri dalam budaya Melayu masih wujud, tetapi telah agak berlainan sambutannya. Di kampong saya tidak ada lagi kenduri memohon padi subur atau untuk menyambut kedatangan beras baru. Ini kerana budaya bersawah padi telah lama pupus. Tidak ada lagi sesiapa yang ingin membanting tulang di sawah. Menanam padi telah menjadi satu pekerjaan yang tidak berbaloi jika dibandingkan dengan pendapatan memburuh di kilang.
Kenduri juga tidak lagi dilihat sebagai satu masa dan ketika yang dinanti-nantikan. Kehidupan yang makmor tidak lagi menjadikan kenduri sebagai satu ketika untuk menikmati makanan yang enak-enak. Dengan sendirinya semangat gotong royong dalam kenduri kendara yang mengikat tali persaudaraan dan kejiranan semakin luntur. Manusia moden hari ini semakin dihambat oleh kesuntukan masa.
Masa kini telah dikira sebagai ukuran ekonomi moden. Manusia moden ingin mengumpul masa. Lebih bayak masa terkumpul lebih berkualiti masa itu. Jadi kita tidak hairan bila melihat konsep bergotong royong membuat kenduri kendara dalam budaya Melayu telah diambil alih oleh catering services. Semua ini dilakukan untuk menyelamatkan masa dan menambah keselesaan hidup.
Minggu lepas saya telah pulang ke kampong kerana kakak saya telah mengadakan kenduri bersunat untuk cucu lelaki pertamanya. Dizaman saya kanak-kanak dahulu bersunat ini adalah satu ritual yang cukup manarik. Bersunat adalah sebahagian dari rite of passage - dimana kanak-kanak lelaki dinobatkan dan diterima untuk memasuki zaman dewasa. Melintasi zaman kanak-kanak ke alam dewasa ini dilakukan dengan penuh ritual dan adat istiadat. Ritual perjalanan untuk melintasi zaman kanak-kanak ke zaman dewasa ini ingin dijadikan satu babak hidup yang tidak akan lupus-lupus dari ingatan.
Ketika itu, bersunat yang dianjurkan oleh Islam telah dibudayakan oleh kenduri kendara orang Melayu. Sebelum bersunat akan diadakan ritual berendam dalam sungai dan bertepong tawar. Ada si anak yang akan bersunat diarak di atas gajah untuk dibawa menemui Tok Mudim. Kalau pun tidak menaiki gajah, si anak ini diperlakukan seperti seorang Putera Raja - siap dengan pakaian yang indah-indah dan akan diarak seperti pengantin.
Apa yang saya ceritakan ini hanya wujud dalam ingatan saya. Hari ini bersunat telah menjadi satu yang bagitu functional dan klinikal. Bersunat telah menjadi satu hari yang 'non event' dan tidak dilihat sebagai rites of passage. Lelaki tua yang menjadi Tok Mudim telah tidak wujud lagi. Dengan adanya klinik dan hospital, tugas Tok Mudim yang membawa pisau yang tajam itu telah diambil alih olek Tuan Doktor. Kebanyakkan ritual bersunat hari ini telah dilakukan di klinik dan tidak lagi di rumah.
Saya tidak tahu kemanakah perginya Tok Mudim-Tok Mudim yang satu ketika dahulu apabila namanya disebut pasti nama ini akan menggerunkan anak-anak lelaki yang belum bersunat. Tok Mudim ini kadang kala memiliki pula status bomoh atau dukun. Status bomoh dan dukun ini biasanya dibaluti juga dengan sadikit pengetahuan dalam hal-hal keagamanan. Semua ini menjadikan status Tok Mudim dalam budaya kampong saya agak tinggi, walau pun tidak setinggi status Pak Imam.
Dengan kedatangan Tuan Doktor, pengalaman dan ilmu perubatan tradisional yang ada pada Tok Mudim turut sama hilang. Kini ritual bersunat bukan lagi dengan ubatan tradisional jampi serapah tetapi dengan ubat bius, jarum suntikan, gunting dan laser.
Cucu kakak saya bersunat di klinik. Dia tidak pergi ke klinik dengan menaiki gajah tetapi menaiki Waja. Dia tidak diarak dengan kompang atau duduk diatas batang pisang. Tidak ada perhiasaan, tidak ada ritual bertepung tawar dan tidak berendam dalam sungai. Apa yang masih tinggal dan yang dipertahankan oleh keluarga hanyalah kami bergotong royong sekeluarga untuk mengadakan kenduri. Kami berharap dengan ramainya keluarga yang datang dari jauh dan dekat maka hari itu akan terus terpaku dalam ingatan cucu kakak saya.
Manusia moden hari sedang dalam kesibukan mencari dan mengumpul nikmat meterial dan keselesaan hidup. Kerana bagitu sibuk sehinggakan mata mereka tidak dapat membaca pekara-pekara yang mungkin dilihat kecil tetapi memiliki nilai seni budaya yang besar. Saya merasa satu kehilangan besar jika konsep, bergotong royong membuat kenduri kendara ini pupus. Saya anggap bergotong royong ini sebagai tanda kita sesama sendiri memperkuatkan rasa setia kekeluargaan dan setia kejiranan.
Apabila saya perhatikan dengan lebih teliti maka saya melihat kenduri kendara dalam budaya Melayu hari ini semakin hilang semangat seni kemanusiannya. Semangat kekitaan semakin luntur. Kenduri mula diadakan di dewan serba guna atau di hotel-hotel. Bergotong royong masak memasak telah diambil alih oleh catering service. Apa yang tinggal hanyalah kemunculan para tamu datang untuk makan.
Ritual-ritual yang saya nyatakan tadi mungkin dianggap kuno. Disebalik kekunoan ini ada tersirat nilai misteri, mitos dan magik. Meninggalkannya akan menghilangkan seni budaya kenduri itu sendiri. Untuk saya manusia walau semoden mana pun akan terus memerlukan mitos dan misteri untuk meneruskan kehidupan harian. Jika semua misteri dan mitos ini telah lupus maka tidak ada lagi maknanya kita merayakan kehidupan itu.
Saya tidak menolak moden. Tetapi saya akan menolak sesiapa sahaja yang membawa yang baru dan yang moden tanpa mengetahui apa itu yang lama dan apa yang kuno. Komodenan ini sedang menjadikan kita manusia yang terus menerus bergegas ke sana kemari. Ke hulu ke hilir. Kita terus merasakan yang kita kesuntukan masa. Kita cuba melakukan sesuatu dengan cepat dan ringkas dengan harapan kita dapat mengumpul masa.
Apakah dengan apa yang kita lakukan sebagai manusia moden hari ini kita telah betul-betul dapat memiliki masa? Dan apakah pula yang akan kita lakukan kepada masa berkualiti yang kita harap dapat dikumpulkan dengan memendekkan kerja kenduri bergotog royong itu? Untuk saya, kita tidak perlu menyelamat dan mengumpulkan masa. Bergotong royong membuat kenduri kendara itu sebenarnya adalah masa paling berkualiti sebagai tanda kita merayakan kemanusiaan kita sesama sendiri.
__________________
||| Bercinta Tak Semestinya Memiliki,Menentang Tak Semestinya Membenci |||