LUQMAN Al-Hakim banyak meninggalkan pesanan berguna untuk umat manusia, khususnya orang Islam. Beliau dikurniakan Allah dengan akal yang tajam serta dapat menilai keadaan sekelilingnya.
Nasihat yang keluar dari mulutnya bagaikan mutiara yang tidak ternilai harganya hingga diguna dan diamalkan hingga sekarang. Luqman ialah seorang Islam yang zuhud dan warak. Wasiat dan nasihatnya mengandungi falsafah tersirat dan tersurat untuk difikir, dijadikan iktibar dan diikuti.
Luqman ada mengeluarkan pesanan berikut:-
1. Barang siapa yang melihat-lihat akan keaiban diri, dia tidak akan peduli keaiban orang lain.
2. Barang siapa yang tidak mengenakan pakaian takwa, dia tidak akan ditutupi dengan satu apa pun.
3. Barang siapa yang reda dengan rezeki Allah, dia tidak akan sedih dengan apa yang ada pada tangan orang lain.
4. Barang siapa yang mencabut pedang kezaliman, dia akan memotong tangannya.
5. Barang siapa yang menggali telaga untuk saudaranya, dia (sendiri) yang akan terjatuh ke dalamnya.
6. Barang siapa yang mencabut hijab (penghadang) orang lain, akan terbukalah auratnya (keaibannya)
7. Barang siapa yang terlupa merendahkan dirinya, dia akan membesar-besarkan kerendahan (kehinaan) orang lain.
8. Barang siapa yang memendamkan sesuatu perkara, dia akan mendapat celaka.
9. Barang siapa yang membahayakan dirinya, dia akan binasa.
10. Barang siapa yang tidak menggunakan akalnya, dia akan dihina.
11. Barang siapa yang bersifat takbur dengan manusia, dia akan dikeji.
12. Barang siapa yang menyelidiki dengan mendalam sesuatu pekerjaan, dia akan berasa jemu.
13. Barang siapa yang berbangga-bangga dengan manusia, dia akan dipatah-patahkan.
14. Barang siapa yang membodoh-bodohkan mereka, akan dicaci dihina.
15. Barangsiapa yang bersahabat dengan orang-orang yang rendah akhlak, dia akan dipandang hina.
16. Barang siapa yang duduk bergaul dengan alim ulama', dia akan bersikap tenang merendah diri.
17. Barang siapa yang masuk ke dalam pintu kejahatan, dia akan dituduh (juga).
18. Barang siapa yang meringan-ringankan urusan agama, dia akan terjerumus (ke dalam dosa).
19. Barang siapa yang merampas harta benda manusia, dia akan menjadi kafir.
20. Barang siapa yang menanti kesihatan, dia akan diberikan kesabaran.
21. Barang siapa yang tidak tahu tempat letak kakinya (berjalan), dia akan berjalan penuh penyesalan.
22. Barang siapa yang takutkan Allah, dia akan berjaya (di akhirat).
23. Barang siapa yang tidak berpengalaman dalam setiap urusan, dia akan dikhianati.
24. Barang siapa yang bermusuhan dengan ahli kebenaran, dia akan dimusuhi.
25. Barang siapa yang menanggung beban yang tidak terdaya olehnya, dia akan menjadi lemah.
26. Barang siapa yang mengetahui akan ajal mautnya, akan pendeklah impiannya.
27. Barang siapa yang biasa dengan kejahilan, dia akan meninggalkan jalan keadilan.
Sekian, Wallahu a’lam.
-- Edited by Nafisah at 19:05, 2005-02-04
__________________
Kadang2 Allah hilangkan sekejap matahari untuk kite,
Kemudian dia datangkan pula guruh dan kilat,
Puas kita menangis mencari mana matahari kita,
Rupa2nya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah...
Imam al-Ghazali : "Kita tidak dicela sekiranya tidak dapat melakukan kebaikan, tetapi kita dicela sekiranya kita tidak mahu berusaha sedangkan kita mampu melakukannya"