"Lidahku umpama seekor binatang liar, jika aku lepaskannya dia akan memakan diriku."
Dua ketul daging amat merosakkan manusia. Nabi telah bersabda:
"Barangsiapa yang menjamin kepadaku (untuk memelihara) apa yang ada di antara dua rahang (yakni lidah) dan dua kakinya (yakni kemaluan), niscaya aku jaminkan syurga baginya." (Bukhari)
Kedua-dua daging ini boleh menyebabkan manusia dimasukkan ke dalam neraka. Nabi pernah ditanya tentang punca-punca utama seseorang dimasukkan ke dalam neraka. Baginda telah menjawab:
"(Puncanya ialah) mulut dan kemaluan." (Tarmizi & Ibn Majah)
Di dalam kehidupan seseorang Muslim, banyak amalan-amalan yang boleh dilakukan. Namun di sana ada beberapa amalan yang perlu diutamakan. Muaz pernah bertanya kepada Nabi:
"Ya Rasulallah, apakah amalan yang paling utama?" Baginda terus mengeluarkan lidahnya dan meletakkan jari Baginda di atas lidah itu (sebagai isyarat agar menjaga lidah daripada mengatakan sesuatu yang keji.) (Thabrani & Ibn Abi Dunya)
Lidah boleh diumpamakan seperti seekor binatang liar. Thaus telah berkata:
"Lidahku seperti seekor binatang buas. Jika aku lepaskannya ia akan memakan diriku." (Ihya Ulumuddin – bab Bahaya Lidah)
Tambahan dari itu, lidah merupakan pintu yang sering dimasuki syaitan untuk merosakkan anak-anak Adam. Imam Abul Laith as-Samarqandi telah menegaskan:
"Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan melainkan dengan (banyak) diam. Justeru itu hendaklah seseorang Muslim menjaga lidahnya agar ia terpelihara daripada syaitan." (Tanbihul Ghafilin bab Menjaga Lidah)
Semaian lidah telah banyak menjerumuskan manusia kepada dosa dan hasilnya ialah pohon-pohon azab di akhirat. Nabi telah berkata kepada Mu'az bin Jabal:
"Tidakkah ramai manusia telah dihumban ke dalam neraka di atas muka-muka mereka kerana hasil dari lidah-lidah mereka?" (Tarmuzi – Hasan Sahih)
Kitalah yang perlu memilih dan menentukan tentang cara penggunaan lidah kita sendiri. Jika kita hendak menggunakannya untuk menambahkan dosa, ianya memang boleh untuk dilakukan, dan jika hendak dimanfaatkannya untuk mendatangkan pahala, ia juga boleh dilakukan. Imam al-Ghazali telah berkata:
"Sesungguhnya lidah itu kecil dagingnya tetapi besar ketaatan atau kedosaannya." (Ihya Ulumuddin – Bahaya Lidah)
Jika lidah dapat dikawal untuk melakukan ketaatan, besar sekali keuntungan yang akan diperolehi oleh tuannya. Seorang sahabat telah berkata kepada Rasulullah:
"Ya Rasulallah, sesungguhnya (aku terbeban) dengan begitu banyak ajaran syariat Islam (yang perlu aku lakukan). Tolong beritahu kepadaku tentang sesuatu amal agar boleh aku berpegang teguh dengannya." Nabi telah bersabda: "Sentiasalah membasahkan lidahmu dengan zikrullah." (Tarmizi)
Justeru itu, pengawalan lidah merupakan salah satu kayu pengukur yang penting untuk menilai sejauh mana kefahaman dan penghayatan Islam seseorang. Berhubung dengan ini, Imam Hasan al-Basri telah berkata:
"Seseorang itu tidak memahami agamanya jika tidak menjaga lidahnya." (Ihya Ulumuddin – bab Bahaya Lidah)
Mengikut Imam al-Ghazali, percakapan dan pertuturan kita secara umumnya terbahagi kepada empat bahagian:
1- Perkataan yang mendatangkan kemelaratan semata-mata.
2- Perkataan yang bermanfaat semata-mata.
3- Perkataan yang ada padanya kemelaratan dan kemanfaatan.
4- Perkataan yang tidak ada padanya kemelaratan dan kemanfaatan.
Contoh perkataan yang mendatangkan kemelaratan semata-mata ialah mengumpat, mengejek, menaburkan fitnah dan memaki hamun yang melanggar batas-batas syariat. Di dalam aspek-aspek ini, diam adalah diwajibkan. Contoh perkataan yang ada padanya kemelaratan dan kemanfaatan ialah nasihat yang baik yang dicampuradukkan dengan maki hamun yang keji. Di dalam situasi ini, diam adalah juga dituntut. Perkataan yang tidak ada padanya kemelaratan dan kemanfaatan ialah perkataan dan sembang-sembang yang sia-sia yang tidak melibatkan perkara yang haram. Diam daripadanya adalah suatu keutamaan kerana orang-orang yang beriman tidak akan menghabiskan masanya pada perkara yang sia-sia. Yang tinggal untuk dihayati ialah bercakap-cakap dengan perkataan yang bermanfaat semata-mata (Ihya Ulumuddin bab Bahaya Lidah). Nabi telah bersabda:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat hendaklah dia bercakap dengan perkataan yang baik ataupun hendaklah dia diam." (Bukhari-Muslim)
Hari ini bila kita berbicara tentang iman, hendaknya janganlah kita lupa bahawa perkataan yang baik atau diam merupakan manifestasi penting tentang keadaan iman di hati kita.
Sesungguhnya segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku.
Wassalam.
__________________
Kadang2 Allah hilangkan sekejap matahari untuk kite,
Kemudian dia datangkan pula guruh dan kilat,
Puas kita menangis mencari mana matahari kita,
Rupa2nya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah...
sampai ketika nya dikunci lidah tu dari berkata kata, maka berkata pula lah semua anggota menjadi saksi perlakuan tiap tiap diri, muga kita semua/// selamat sejahtera dihari kebangkitan itu amin...