Mungkin kisah ini dapat memberi tauladan kepada kita semua.
Raja Namrud, pengikut mati diserang nyamuk. KISAH Nabi Ibrahim diselamatkan Allah daripada dibakar hidup-hidup Raja Namrud adalah peristiwa penting yang berlaku pada Muharam.
Nabi Ibrahim dilahirkan di tengah masyarakat yang hidup penuh dengan amalan musyrik dan kufur. Namun, beliau tetap terpelihara daripada segala perbuatan kufur itu.
Ayahnya tukang membuat berhala, sedangkan Nabi Ibrahim begitu membenci berhala yang menjadi sembahan masyarakat ketika itu.
Dengan berani, beliau memusnahkan berhala yang menjadi penyembahan ayah dan kaumnya. Lantas, orang kafir meminta Raja Namrud menghukum mati Nabi Ibrahim untuk membalas perbuatannya yang memusnahkan berhala itu.
Orang kafir mula mengumpulkan kayu sebanyak mungkin untuk membakar Ibrahim. Tetapi, mereka kebingungan kerana tidak tahu cara memasukkan Ibrahim ke dalam api yang sedang marak itu.
Mereka tidak berani mendekati unggun api besar itu disebabkan bahang api yang begitu panas. Dengan petunjuk syaitan, mereka berjaya memasukkan Ibrahim dari jarak yang agak jauh.
Ibrahim diletakkan di tempat yang dapat dilontarkan seolah-olah cara anak panah bergerak dan kemudian dihumbankan dari jauh menuju ke dalam api yang begitu marak.
Mereka puas, lantas berkerumun menyaksikan peristiwa yang mengerikan itu. Puak kafir menyangka Ibrahim sudah mati akibat dibakar hidup-hidup.
Namun, ketika api padam dan kayu api kehabisan, alangkah terkejutnya mereka melihat Ibrahim keluar daripada bara api dengan selamat, bahkan sehelai rambutnya pun tidak terbakar.
Perkara ini dicatat dalam surah al-Anbiya, ayat 69 bermaksud: “Hai api! Hendaklah dingin dan selamatkan Ibrahim!”
Begitulah kekuasaan Allah yang tiada bandingan.
Pihak lain merasakan kepanasan api, namun bagi Ibrahim, beliau tetap dingin dan terselamat daripada kekejaman raja dan masyarakat kufur ketika itu.
Melihat Ibrahim masih terselamat daripada api yang menjulang tinggi, Raja Namrud semakin benci dan marah sehingga menganggap Ibrahim musuh besar dan dihalau dari Babylon (kini Iraq).
Tanpa berlengah, Ibrahim keluar dari negeri kelahirannya dan pergi ke Palestin. Beliau bertindak demikian kerana sudah lama tinggal di Babylon, sedangkan bilangan orang beriman terlalu sedikit.
Di Palestin, beliau tinggal tidak lama kerana selepas itu beliau dan isterinya Sarah berpindah ke Mesir.
Setibanya di Mesir, Ibrahim menghadapi masalah kerana Raja Mesir mahu memperisterikan Sarah kerana terpesona dengan kecantikannya. Apabila raja berkenaan mahu menyentuh Sarah, kaki dan tangannya dilumpuhkan Allah.
Raja itu bertaubat, tetapi baginda mengulangi perbuatannya menyebabkan Allah membutakan matanya dan melumpuhkan seluruh badannya.
Akhirnya, raja itu insaf. Ibrahim dan Sarah tidak lagi diganggu, malah diberi kemudahan untuk hidup senang dengan nikmat berganda, hingga menimbulkan perasaan dengki penduduk.
Hal ini menyebabkan Ibrahim dan Sarah kembali semula ke Palestin.
Sementara itu di Babylon, Raja Namrud yang masih tidak beriman, menerima seksaan Allah apabila dia dan rakyatnya mati diserang nyamuk.
Begitulah dugaan yang dihadapi Ibrahim dalam menyebar dan menegakkan agama Allah. Bukan sedikit dugaan yang ditempuhinya dalam mengajak umat beriman kepada Islam dan Allah. Dugaan itu ditempuhnya dengan penuh kesabaran dan ketakwaan hingga Allah membantunya.
Allah Maha Kuasa dan akan membantu insan yang bertakwa dan berpegang teguh pada tali-Nya. Janganlah kita menjadi orang yang lupakan nikmat Allah dan tidak tahu bersyukar akan pemberian-Nya.
Kesombongan Raja Namrud dan pengikutnya yang ingkar akan ajaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, tidak sepatutnya menjadi ikutan umat sekarang.
p/s : suka baca kisah2 nabi, tak puas2 membaca. Jangan lupa dengan sejarah, dari situ kita bermula.