NABI Muhammad saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat, maka hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya, maka hendaklah dia berilmu.”
Jelas daripada hadis di atas, tiada apa yang paling bernilai selain daripada ilmu. Ilmulah yang menjadi bekalan di dunia dan akhirat.
Ilmu pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan mahupun keakhiratan adalah bersifat sepadu dan saling berhubung antara satu sama lain.
Berasaskan pegangan inilah kehidupan dunia akan dapat dijadikan persediaan untuk kehidupan di akhirat.
Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu naqliyah yang berteraskan wahyu seperti akidah, syariah dan akhlak. Ilmu aqliyah iaitu ilmu yang pada zahirnya dipandu oleh akal bagi memperoleh kejayaan dan kemajuan duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini bersepadu bagi mencapai satu matlamat iaitu keredaan Allah.
Islam menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha mencari kehidupan yang baik dan sempurna.