"Wahai manusia ta'atilah Tuhanmu nescaya engkau digelar orang yang berakal dan janganlah engkau derhakakan-Nya nanti engkau digelar orang yang dungu" - Diriwayatkan oleh Abu Hurairah -
Huraian
Di dalam Al-Quran Allah telah menjelaskan tidak sama antara orang yang berilmu dan orang yang tidak berilmu, orang yang beriman dan orang yang tidak beriman dan di antara ahli syurga dan ahli neraka. Begitu juga garis pemisah di antara manusia berakal dan manusia yang dungu ialah kepatuhan kepada ajaran-ajaran Allah. Ciri utama seseorang mukmin yang berakal ialah ketaatannya menjunjung tinggi segala perintah Allah yang berbentuk perintah mahupun larangan dan ciri utama seseorang yang dungu ialah sikapnya yang membelakangi dan melandakan segala perintah Allah.
Hal ini kerana undang-undang serta syariat yang diturun oleh Allah itu adalah dituju untuk kebaikan semua makhluk, keselamatan dan kebahagiaan umat manusia seluruhnya baik di dunia mahupun di Akhirat. Apabila undang-undang yang sedemikian tinggi martabat dan matlamatnya itu dipandang sepi dan ditentang, maka itulah kemuncak pertanda yang menunjukkan kebodohan dan ketololan manusia. Maka layaklah manusia seperti ini mangundang bala dan bencana dari Allah perpunca dari kedegilan dan keingkaran manusia yang menolak kebenaran dan jaminan kebahagian dari Allah itu.
Oleh sebab itu bagi mengelak bala bencana terus menimpa masyarakat umum mestilah ada satu firkah yang membela syariat Allah dan kita mesti bersabar bersama mereka yang menyeru ke jalan Allah pada waktu pagi dan petang, dan janganlah kita berpaling kepada firkah yang mengikut hawa nafsu dalam urusan mereka disebabkan dengan janji kebendaan (pangkat) yang sedikit .