Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda kepada aku:
"Bertakwalah kepada Allah walau di mana sahaja kamu berada dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan tadi akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah bersama manusia dengan akhlak yang mulia". (Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis:
1- Sepatutnya umat Islam sentiasa berbekal dengan takwa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t sama ada dalam keadaan tersembunyi ataupun dalam keadaan terbuka kerana semuanya itu diperhatikan oleh Allah s.w.t.
2- Segera melakukan amalan ketaatan kepada Allah s.w.t supaya Allah mengampunkan segala dosa yang dilakukan.
3- Akhlak yang mulia akan menaikkan taraf seseorang umat Islam ke darjat yang paling tinggi di dunia dan akhirat.
4- Di antara akhlak yang mulia ialah bermuka manis, membuang sesuatu yang boleh menyakiti orang lain, melakukan kebaikan dan bergaul dengan orang lain sebagaimana yang anda suka jika ia dilakukan kepada anda.