NABI Muhammad saw sentiasa menunjukkan contoh terbaik dan murni dalam menangani sebarang masalah membabitkan persengketaan kaum. Rasulullah tidak bertindak terburu-buru dan kejam terhadap kaum lain, walaupun mereka pernah mengancam Baginda dan agama Islam.
Sifat terpuji itu menyebabkan musuh menghormati Rasulullah dan tertarik dengan ajaran Islam.
Peristiwa pembersihan kota Khaibar daripada kaum Yahudi yang berniat jahat terhadap Islam pada tahun ketujuh Hijrah pada Muharam adalah antara contoh sifat mulia Baginda itu.
Khaibar adalah sebuah perkampungan besar di sebelah timur laut bandar Madinah.
Ia terletak kira-kira 180 kilometer dari kota suci itu.
Kawasan ini dihuni beberapa Yahudi yang pada peringkat awalnya tidak mencetuskan sebarang tindakan buruk terhadap umat Islam.
Selain itu, tidak pernah kedengaran mereka menyertai mana-mana komplot atau pendirian golongan Yahudi yang menentang Rasulullah.
Hal itu menyebabkan Baginda menghormati pendirian dan sikap berkecuali mereka.
Bagaimanapun, pendirian mereka berubah dan bertukar sejak kedatangan kaum Yahudi Bani Qainuqa dan Bani Nadhir ke perkampungan mereka.
Golongan itu meracuni fikiran penduduk di situ dan menjadikan perkampungan mereka sebagai pusat untuk melakukan komplot dan tipu daya mereka terhadap umat Islam.
Oleh kerana Khaibar terletak di tengah-tengah perjalanan menuju ke Syam, pasti laluan itu mesti dibersihkan daripada sebarang gangguan.
Tindakan itu penting, lebih-lebih lagi, ia adalah laluan utama perjalanan dakwah Islam dan tentera Islam. Mereka akan keluar selepas beberapa ketika menentang kekuatan Rom yang beberapa kali membuat pencerobohan terhadap umat Islam.
Baginda membuat keputusan untuk membersihkan pusat komplot terakhir golongan Yahudi di Semenanjung Tanah Arab.
Langkah itu penting untuk menjamin supaya pangkalan utama Islam dan pusat untuk menyebarkan Islam ke seluruh dunia bebas daripada musuh yang sentiasa menjalankan tipu daya mereka.
Selepas Rasulullah kembali daripada peperangan di Hudaibiah (walaupun tempoh kepulangan Baginda masih belum sampai sebulan iaitu pada Muharam tahun ke-7 Hijrah), Baginda terus menyerbu Khaibar.
Angkatan Rasulullah berjaya merobohkan kubu Khaibar menyebabkan penduduknya menyerah diri.
Namun, Nabi bersikap sopan dan kasih sayang terhadap mereka. Baginda bukan saja tidak memaksa mereka supaya memeluk Islam, malah tidak mengusir mereka keluar dari perkampungan itu.
Malah, Baginda membiarkan mereka bercucuk-tanam di ladang masing-masing dan hanya dibenarkan mengambil sebahagian daripada hasil tanaman itu. Sementara, sebahagian lagi untuk umat Islam.
Apabila penduduk yang tinggal di perkampungan Yahudi lain yang banyak bertebaran di Wadi Al-Qura seperti Fadak dan Taima mendengar peristiwa yang berlaku di Khaibar, mereka terus menghantar wakil supaya berjumpa Rasulullah.
Tujuannya meminta Baginda supaya melakukan perkara sama yang Rasulullah lakukan terhadap penduduk Khaibar. Lalu Baginda menerima permintaan itu. Wassalam...