Rasulullah dalam satu hadis melarang kita menjadi pak turut dalam segala urusan kehidupan dan tidak mempunyai jati diri. Sabda Baginda:
“Janganlah salah seorang kamu menjadi seorang yang bersikap immaah, jika manusia di sekelilingnya baik ia berkata: “Saya juga baik”, apabila mereka semua buruk ia berkata: “Saya pun buruk juga”, akan tetapi tetapkan diri kamu jika manusia semua baik, ia juga baik dan jika mereka buruk, dia akan menjauhi keburukan mereka”. (Riwayat Tirmidzi).
Hadis ini adalah satu prinsip hidup bermasyarakat yang sangat mulia kerana ia membimbing seseorang mempunyai jati diri dan berpendirian kukuh, tidak terpengaruh dengan suasana sekitar, apa lagi yang tidak baik. Individu yang tetap pendirian dan bangga dengan kebenaran akan dapat membangunkan masyarakat unggul dan mantap.
Rasulullah juga memandu Muslim kepada sifat keinsanan unggul dan seseorang itu tidak menjadi seorang Muslim yang sempurna tanpa sifat itu dan tidak akan baik kehidupan individu dan masyarakat kecuali dengan memiliki sifat terpuji ini.
Seseorang itu mesti mempunyai jati diri dan tidak terikut-ikut dengan pendirian dan sikap orang lain, apalagi untuk mengikut keburukan orang lain. Jangan sekali-kali menjadi pengikut falsafah lalang yang ke kiri dan ke kanan mengikut tiupan angin.
Seorang Muslim mesti mempunyai pendirian sendiri dan berterus terang dengan pendirian itu. Dia akan berurusan dalam lingkungan itu selagi ia seiring dengan pendirian itu. Sangat memalukan bagi seseorang bersikap pak turut apabila pendiriannya ditentukan setelah melihat pendirian orang lain di sekelilingnya. Ia akan bersama mereka kalau mereka baik dan terus bersama-sama juga walaupun mereka buruk.
Mereka ini laksana seorang hamba yang mengikut sahaja tuannya atau laksana anjing yang tetap mengekori tuannya ke mana sahaja tanpa mempedulikan bahaya yang mungkin menimpa.
Sifat keinsanan sebenar adalah kemuliaan anugerah Allah kepada bani Adam dan mengangkat mereka daripada taraf haiwan, ialah seseorang itu mempunyai pendapat sendiri yang diyakininya dan meneruskan hidup dengan panduannya. Kalau orang lain baik ia akan baik, bukan kerana mengikut pendirian dan rentak mereka tetapi kerana pendirian mereka selari dengan pendiriannya. Sebaliknya jika orang ramai buruk, ia akan menjauhi keburukan itu dan tetap dengan pendirian dan prinsip asalnya bahkan menegur mereka jika ia berpeluang untuk berbuat demikian.