Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Hutan dalam botol


Senior

Status: Offline
Posts: 122
Date:
Hutan dalam botol


Hutan dalam botol
Teks dan gambar Torek Sulong



 KAEDAH penanaman yang lebih padat dengan pokok hiasan. Penggunaan botol besar
yang telus cahaya dengan kombinasi spesies Dracaena dan anak palma.













AdRevolver

TANAM pokok dalam botol bukan sesuatu yang pelik kerana ia menjadi kegemaran peminat seni dekorasi taman mini di Eropah sejak berabad lalu. Semuanya berasaskan pembangunan botanik dan kejayaan kajian saintifik yang berkaitan kesesuaian penanaman pokok dengan pelbagai kaedah.

Penanaman pokok hiasan dalam botol menampilkan satu kelainan yang banyak membantu meningkatkan keindahan dekorasi dalam rumah. Pengolahan benda maujud bersama tumbuhan hiasan harus dicuba peminat seni taman di negara ini.

Bekas kaca yang sempit dengan ruangan yang terhad akan mengekang pembesaran pokok. Kaedah ini dikatakan turut melengkapkan persekitaran dalamannya dengan suhu yang terkawal. Ia juga tidak memerlukan pengurusan yang berterusan kerana kitaran udara dan proses perpeluhan yang berlaku dalam botol membekalkan air yang secukupnya.

Kaedah penggunaan botol juga dapat mengawal serangan serangga secara efektif. Botol yang bersaiz besar dengan reka bentuk yang menarik boleh digunakan. Ia boleh diperoleh daripada penggunaan semula botol terpakai atau membelinya di gedung barangan hiasan dalaman.

Kacanya mestilah telus cahaya yang akan membolehkan proses fotosintisis berlaku dan tidak merencatkan pertumbuhan pokok. Lubang botol yang sempit disyorkan supaya tidak ditutup sebagai ruang proses kitaran udara. Botol hanya perlu ditutup untuk beberapa ketika bagi proses pengwapan air.

Di Eropah, mangkuk kaca besar turut digunakan untuk menanam hanya dua jenis pokok hiasan saja. Manakala botol besar yang dikhususkan untuk memelihara ikan digunakan untuk menanam pokok dalam bilangan yang berlebihan.

Sesetengahnya pula, menghasilkan imej taman botol yang tersendiri dengan mencipta bingkai luar menggunakan potongan papan nipis atau ukiran kayu yang dilekatkan dengan gam silikon.

Bahagian atas botol yang berbentuk miring dan muncungnya yang lebar dikatakan lebih menampilkan keunikan. Bentuk ini juga memudahkan proses memasukkan pokok hiasan ke dalamnya tanpa merosakkan akar dan daunnya.

Pengwapan daripada cairan (sama ada air atau baja) akan berlaku di sekitar laluan lubang penutup botol dan ia perlu disapu. Manakala penggunaan mangkuk besar yang miring bentuknya membolehkan cairan wap air jatuh kembali ke bawah tanpa perlu disapu.

Persiapan dan perancangan awal perlu dilakukan dengan bijaksana bagi memilih peralatan yang sesuai untuk menanam pokok menerusi laluan yang sempit. Penggunaan bilah buluh atau kayu pasak kecil yang panjang diperlukan.

Lain-lain keperluan ialah gelendung kapas, gabus penyumbat, garpu terbuang dan sudu untuk pemupukan kompos; pisau cukur atau pisau kecil pelbagai guna untuk membuang ranting atau bahagian pokok yang tidak diperlukan dan jarum peniti atau dawai keras untuk menikam atau mencucuk daun pokok yang gugur di atas permukaan kompos.

Penggunaan tiub (salur) getah bersaiz kecil perlu untuk proses siraman dalam botol untuk mengelakkan percikan kompos pada permukaan kaca pada bahagian dalam botol.

Bagaimana proses penanaman dilakukan:

1. Basuh botol terlebih dahulu menggunakan bahan pembersih. Bilas dengan air bersih sebelum penanaman dilakukan. Langkah ini bertujuan membuang kekotoran atau debu pada kaca yang tidak boleh dilakukan selepas proses penanaman selesai.

2. Tutup bahagian bawah (dalam botol) dengan media penanaman yang sesuai. Anda disyorkan memasukkan batu kelikir kasar pada bahagian ini sebelum memasukkan kompos (kompos yang disyorkan ialah John Innes No. 2) dengan campuran tanah gambut bersama hancuran pasir. Penggunaan pasir dengan sedikit kompos juga boleh dilakukan tetapi mesti dicampur dengan sedikit hancuran ketulan arang kayu.

3. Penggunaan corong yang dicipta daripada kertas akan memudahkan proses memasukkan media tanaman khususnya pasir dan kompos yang disyorkan. Rancang terlebih dulu kedudukan pokok hiasan yang akan ditanam. Kemudian barulah lubang untuk pokok pertama disediakan dengan menggunakan gabus penyumbat yang dicucuk pada bilah buluh. Lubang penanaman tersedia apabila gabus penyumbat ditekan.

4. Keluarkan pokok hiasan daripada pasu lama. Luruskan semua helaian daun ke atas ketika memasukkannya ke dalam botol melalui lubang yang sempit. Gunakan peralatan yang sama untuk menguis pokok ke lubang yang disediakan. Kemudian timbuskan kompos menutupi bahagian akarnya menggunakan sudu kecil yang juga diikat pada bilah buluh.

5. Kemudian barulah membuat lubang yang kedua dan melaksanakan proses yang sama. Apabila penanaman selesai, kaca kelihatan berkabus. Proses kitaran ini adalah pelengkap keperluan air yang diperlukan pokok sepanjang minggu atau bulan. Keperluan air perlu ditambah secara berhati-hati kerana ia sukar dibuang dengan sewenang-wenangnya kecuali melalui proses pengwapan. Jika tidak ia akan merosakkan keunikan taman botol yang dihasilkan.

Terdapat 33 jenis pokok hiasan yang sesuai dan disyorkan untuk ditanam dalam botol berasaskan tabiat semula jadi pertumbuhan dan tekstur yang tersendiri.


__________________


Member

Status: Offline
Posts: 21
Date:

wahhh canggihh arrr blehh try satu pas niee....

__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard