Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara dosa-dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya (Imam Muslim)
Pengajaran daripada maksud hadith:
1. Terlalu besar dosa bagi mereka yang menghina ibubapa yang telah berjasa melahir dan membesarkan kita.
2. Kita mungkin jarang mendengar ada antara anak-anak yang memaki ibubapa mereka sendiri, namun sebaliknya biasa atau selalu mendengar seseorang yang memaki hamun ibubapa orang lain.
3. Sekiranya kita tidak suka dan marah seseorang memaki hamun ibubapa kita, maka janganlah hendaknya kita melakukan perkara serupa kepada orang lain.
4. Mengasihi dan memuliakan semua orang tua adalah sangat mulia dan besar ganjarannya dalam Islam.
5. Menghormati semua orang tua, terutama sahabat baik kepada ibubapa kita merupakan tanda kita mengasihi ibubapa kita sendiri.
6. Bagaimana kita memperlakukan orang tua terutama Ibubapa kita hari ini, maka begitulah layanan yang bakal kita terima esok daripada anak-anak kita. Itulah kitaran pusingan kehidupan yang telah menjadi sunnatullah.
7. Kita hendaklah sentiasa menjaga dan memelihara setiap perkataan dan perbuatan kerana ia bukan setakat mencerminkan peribadi diri sendiri malah sebenarnya kita membawa imej serta nama baik ibubapa, bangsa, agama, organisasi dan negara.
8. Ya Allah, ampuni dan rahmatilah ibubapa kami sebagaimana mereka telah memelihara kami sewaktu kami kecil dulu. Amin ya rabbal 'alamin.