Assalamualaikum ... mungkin ini berguna kepada yg sudah berumahtangga ...
ADA banyak cara mendidik anak supaya menjadi insan berguna dunia dan akhirat. Pendidikan agama sejak kecil adalah faktor penting ke arah itu.Selain itu, Islam memberi panduan berguna kepada ibu bapa bagi membentuk anak yang mempunyai kecerdasan dan kecergasan ketika dewasa kelak.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda bermaksud: “Kegemaran, permainan dan kelincahan gerak seorang anak pada waktu kecil akan mempertajamkan pemikirannya ketika dewasa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Dalam hadis di atas, Rasulullah memberikan panduan cara untuk mendidik anak supaya menjadi orang yang bijak.
Kanak-kanak hendaklah digalakkan melakukan permainan atau kegiatan kegemaran yang mampu mencergaskan fizikal dan minda mereka.
Mereka tidak sepatutnya dikongkong daripada melakukan kegiatan berfaedah. Ibu bapa tidak seharusnya memaksa anak-anak hanya belajar.
Imam Al-Ghazali dalam Ihya ´Ulumuddin, Bahagian V, Bab Mengubati Penyakit Hati berkata: “Hendaknya anak-anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri daripada keadaan sesak itu.”
Dalam hal ini, biarlah anak-anak kecil bebas melakukan apa yang mereka suka, asalkan tidak memudaratkan diri dan orang lain serta berfaedah untuknya. Kegiatan itu juga dipastikan agar tidak melanggar syariat Islam.
Dengan cara itu, mereka dapat menikmati kehidupan zaman kanak-kanak dengan tenang. Hal ini kerana zaman yang ditinggalkan itu tidak akan dapat diulangi lagi.