RASULULLAH ialah manusia yang paling rupawan, dermawan dan dicintai. Sebagai manusia contoh, yang mana akhlak serta peribadinya dibentuk Allah, setiap kalimat Rasulullah menjadi ikutan serta pedoman kita semua.
Di sini diperturunkan beberapa hadis Rasulullah yang wajar menjadi renungan serta ikutan kita:
Barang siapa menganggap sesuatu ajaran atau perintah itu berasal dariku, padahal sebenarnya bukan dariku, orang itu akan masuk neraka;
Pengumpat atau penabur fitnah bakal masuk neraka;
Amal kebajikan seseorang itu akan mencegah bencana yang akan datang;
Menemui kawan kita dengan perasaan gembira dan mengundang mereka untuk makan, adalah perbuatan orang yang suka beramal;
Memberi perhatian terhadap jiran tetangga dan mengirim hadiah kepada mereka juga satu amalan orang yang suka beramal;
Jangan mengharapkan kematian sebelum waktunya tiba;
Barang siapa yang sihat dan mampu bekerja, tetapi tidak bekerja untuk dirinya atau untuk orang lain, nescaya Allah benci padanya;
Mereka yang mencapai sesuatu kehidupan yang jujur adalah kekasih Allah;
Allah mengasihi orang yang memperoleh kehidupan cemerlang hasil usahanya sendiri dan bukannya dengan cara mengemis;
Barang siapa keluar rumah dengan niat untuk mengemis, nescaya Allah akan membuka baginya kemiskinan;
Ya Allah, jagalah diriku ini daripada ketidakampunan dan kemalasan;
Orang yang memonopoli perdagangan adalah orang yang berdosa;
Tinta ulama itu lebih suci daripada darah syuhada;
Barang siapa melakukan perjalanan untuk mencari ilmu, Allah akan tunjukkan baginya jalan ke syurga;
Carilah ilmu, kerana orang yang mencari ilmu bererti berada di jalan Allah dan melaksanakannya suatu amalan yang soleh;
Orang yang suka berbicara mengenai ilmu bererti memuji Allah, yang mencarinya bererti mencintai Allah, yang mengajarnya bererti memberikan sedekah, yang menanamkannya kepada sasaran yang tepat bererti berlaku setia kepada Allah;
Ilmu memungkinkan pemiliknya membezakan apa yang dilarang dan yang tidak, ilmu adalah sinar ke syurga, teman di padang pasir, sahabat di waktu kesunyian dan sahabat ketika kehilangan teman;
Ilmu membimbing kita menuju kebahagiaan, menahan kita daripada kesengsaraan. Ilmu adalah perhiasan kita bersama teman. Dengan ilmu, makhluk Allah muncul di puncak kebajikan dan memperoleh kedudukan mulia, menghubungkan kita dengan yang paling berkuasa di dunia ini serta membantu kita mencapai kesempurnaan dan kebahagiaan;
Orang yang paling buruk adalah orang yang tidak berilmu dan orang yang terpelajar adalah yang terbaik;
Musuh Allah yang paling besar adalah mereka yang mengaku Islam dan melakukan tindakan yang tidak Islam, serta menumpahkan darah manusia tanpa sebab;
Jauhkan dirimu daripada penyakit iri hati kerana iri hati itu menelan dan menghapuskan perbuatan baik, seperti api memakan dan membakar kayu;
Orang yang berpuasa tetapi tidak meninggalkan dusta dan suka menabur fitnah, maka Allah tidak mempedulikan puasanya;
Sesungguhnya Allah mencintai seorang Muslim yang sedikit keluarganya dan menahan diri daripada perbuatan yang haram dan tidak suka mengemis;
Orang yang paling mulia dalam pandangan Allah ialah orang yang suka memaafkan orang yang melukakan hatinya di saat dia mempunyai kekuatan untuk membalasnya; dan
Tidaklah kuat dan berkuasa seseorang yang menjatuhkan orang lain tetapi orang yang kuat itu ialah yang dapat menahan dirinya daripada amarah.