Mereka yang berkata; “Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka beristiqamah bagi mereka berbagai janji dari tuhan, antaranya malaikat turun kepada mereka untuk mengucapkan syabas, mereka tidak akan merasa takut dan tidak akan berdukacita serta bergembira dengan syurga yang dijanjikan"( maksud ayat, lihat Fussilat:30, dan Al Ahqaf:13/14).
Kehidupan adalah satu perjalanan dan Islam adalah laluan menuju sebuah pendakian. Dengan "istiqamah" sesaorang akan sampai kepada destinasi yang betul dan dengan "istiqamah" juga ia mencapai ketinggian dalam pendakian yang penuh ranjau ini.
Sangat ramai orang yang mengucapkan;"Tuhan kami ialah Allah" tetapi tidak ramai di kalangan mereka yang beristiqamah. Mereka diheret oleh dosa, terjerat dalam noda, maksiat dan syirik. Pagi mereka beriman, petang mereka kafir, petang mereka beriman dan pagi mereka kafir. Sebabnya mereka menjual agama mereka dengan harga dunia yang murah.
Betapa sukarnya mempertahankan kejernihan dan ketulinan pada zaman "takhlit" (nilai bercampur baur) ini. Pada zaman di mana kufur dicampur dengan iman dalam satu dulang, pahala dengan dosa dalam satu ramuan dan halal dan haram dalam satu pakej atau sistem. Bagaimana mungkin terlaksana istiqamah??.
Istiqamah di zaman ini memerlukan keazaman dan kesabaran "uli al Azmi" dari kalangan rasul. Berpegang dengan hak seperti menggenggam bara api. Begitulah betapa sukarnya untuk berpegang dengan sunnah di dalam sistem yang bertuhankan nafsu.
Tuhan minta lagi di dalam firmanNya yang bermaksud :- "Hendaklah kamu beristiqamah seperti mana diperintahkan, bersama mereka yang bertaubat bersama kamu dan jangan kamu melampau, sesungguhnya Allah maha mengetahui terhadap apa yang kamu lakukan.” (Surah Hud:112).
Bertaubat dan beristiqamah setiap masa, begitulah lumrah hidup seorang beriman. Mereka sentiasa berdepan dengan cabaran demi cabaran dan godaan demi godaan menongkah arus menuju janji tuhan, mencari sebuah kejayaan dihujung sebuah pendakian berbekalkan takwa dan keimanan.
Mereka yang lemah akan mengubah haluan dan menukar laluan, tiada lagi istiqamah dan tiada lagi taubat, lupakan tentang pendakian yang panjang, relalah dengan kehidupan di bawahan. Tidak mengapa di sini pun banyak solekan, ada pangkat, ada darjat kebesaran yang menghias kehinaan dan ada kekayaan dan keseronokan yang melupakan tentang dongengan kejayaan dan ketinggian.
Wahai orang yang beriman. Berhentilah dari pembohongan dan berpeganglah dengan kata-kata keimanan dengan bersungguh-sungguh. Ketahuilah bahawa kemuncak kejayaan segala usaha manusia ialah apabila mereka mengecapi rasa aman dan rasa bahagia. Dan itu hanya boleh dicapai dengan "istiqamah" seperti yang dijanjikan oleh Allah, jika tidak di dunia, maka di akhirat yang kekal abadi.