SEORANG ulama fiqh, Nur bin Muhammad berkata: “Seorang Muslim hendaklah bersifat lemah lembut dan sabar kerana ia adalah satu sifat orang bertakwa.” Allah memuji orang yang bersifat lemah lembut dengan firman-Nya bermaksud: “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” – (Surah asy-Syura, ayat 43)
Ayat itu memberi maksud bahawa orang yang sabar di atas kezaliman yang dilakukan ke atasnya dan dia memaafkan orang yang menzaliminya, akan mendapat pahala dan ganjaran yang amat besar daripada Allah.
Allah juga memerintahkan Nabi Muhammad saw supaya bersifat sabar dan lemah lembut. Allah mengkhabarkan kepada Baginda bahawa nabi terdahulu sebelum Baginda adalah orang yang memiliki sifat demikian. Firman-Nya bermaksud: “(Jika demikian akibat orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul (Ulul-Azmi) dari kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu).” – (Surah al-Ahqaaf, ayat 35)
Dalam ayat di atas, Allah memerintahkan Nabi Muhammad supaya bersifat sabar di atas pembohongan orang kafir dan di atas penyeksaan mereka sebagaimana bersabarnya nabi sebelum Baginda.
Rasulullah sebagai umat contoh terbaik, menunjukkan sifat sabar yang tinggi ketika berhadapan dengan apa juga masalah dan cabaran.
Diriwayatkan bahawa: “Apabila pecah gigi depan Baginda ketika Perang Uhud, sahabat geram dan kesal dengan keadaan Baginda itu lalu mereka berkata:
“Wahai Rasulullah, jika engkau memohon kepada Allah untuk membalas mereka dan dengan apa yang mereka lakukan ke atasmu, bagaimana pendapatmu?”
Maka Nabi bersabda: “Sesungguhnya aku tidak diutus untuk menjadi seorang pelaknat, tetapi aku diutus sebagai seorang pendakwah dan pembawa rahmat. Wahai Tuhanku, berikanlah hidayat-Mu kepada kaumku, sesungguhnya mereka ialah orang yang tidak mengetahui.”
Oleh itu, kita hendaklah mempunyai sifat sabar dalam menghadapi apa juga masalah bagi menghindarkan diri daripada melakukan tindakan salah.
Bagaimanapun, dalam bersabar ada batasannya. Kita tidak seharusnya menggunakan perkataan ‘sabar’ itu hingga mengekang daripada melakukan tindakan sepatutnya.
Dengan perkataan lain, kita tidak seharusnya menyalahgunakan sabar.
Perkara ini perlu diberi perhatian kerana sesuatu perkara jika disalahgunakan akan mendatangkan kemudaratan, walaupun pada asalnya ia adalah baik.
Sifat sabar, jika diletakkan pada tempatnya adalah sesuatu yang amat dituntut oleh Islam. Tetapi, jika diletakkan bukan pada tempatnya, maka ia disalahgunakan dan menjadi sesuatu yang dilarang oleh Islam.
Contohnya, jika melihat maksiat, tetapi tidak menegur atau menasihati mereka yang melakukannya atas alasan sabar. Ia adalah tindakan salah dari segi hukum syarak.
Seseorang yang melihat kemungkaran wajib melakukan sesuatu agar kemungkaran itu dapat dihindari. Dia tidak boleh bersabar dan berdiam diri, membiarkan maksiat dan kemungkaran itu terus berlaku.
Saidatina Aisyah menceritakan sifat Rasulullah, katanya bermaksud: “Jika hak Rasulullah diambil, Baginda tidak marah atau menuntut kembali hak itu. Tetapi, jika larangan Allah dilanggar, Baginda akan menjadi orang yang amat marah.” – (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Contoh lain adalah apabila ditimpa musibah dan bencana. Kita memang dituntut agar bersabar, tetapi bukan bermaksud hanya berpeluk tubuh, mengeluh nasib dan pasrah serta berserah semata-mata pada nasib.
Kita sepatutnya belajar daripada musibah itu dan sedaya upaya mengatasinya.