DALAM agama Kristian, Hawa dianggap punca dosa Adam. Oleh itu, kaum wanita diarah untuk sentiasa tunduk kepada lelaki.
Di dalam Bible, St. Paul berpesan dalam bab Timothy ayat 11 hingga 14:
``Wanita perlu belajar di dalam keadaan diam penuh ketundukan. Aku tidak mengizinkan wanita mengajar dan menguasai suaminya, kerana Adam diciptakan terlebih dahulu daripada Hawa. Adam tidak terpedaya, tetapi wanita itulah yang terpedaya dan berdosa.''
Dalam Islam, Adam dan Hawa dianggap sama-sama terbabas dan kesalahan diletakkan pada mereka berdua dan bukan pada Hawa.
Mengikut ajaran Kristian, dosa Hawa memberi kesan negatif pada semua wanita. Dalam bab Genesis ayat 16, disebutkan:
``Aku akan tambahkan sakitmu ketika hamil dan dengan kesakitan kamu akan melahirkan anak. Kehendakmu hanyalah semata-mata untuk memuaskan suamimu dan dia akan menguasaimu sepenuhnya.''
Dari sudut harta benda, isteri tidak dibenarkan memiliki sebarang harta. Sebagai contoh, R.Thompson di dalam bukunya, Women in Stuart England and America menjelaskan, undang-undang keluarga 1632 di England yang berteraskan ajaran Kristian menetapkan:
``Harta seseorang suami adalah miliknya. Harta seseorang isteri adalah milik suaminya.'' Perkara yang sama juga diamalkan di Eropah pada masa itu.
Di dalam Encarta Encyclopedia disebutkan, ``Pada awal abad kesembilan belas, kebanyakan isteri di Eropah dan Amerika tidak mempunyai hak di sisi undang-undang. Status ini dikenali sebagai coverture. Wanita tidak berhak membawa kesnya ke mahkamah, tidak dibenarkan menulis wasiat. Di dalam kes yang melibatkan penjagaan anak, mahkamah terus memberikan hak penjagaan kepada kaum bapa.''
Di Britain, selepas debat yang panjang diikuti dengan penggubalan Akta Perempuan Yang Sudah Berkahwin (Married Women's Property Act) pada tahun 1870, 1882 dan 1887, barulah wanita yang sudah berkahwin diberikan hak untuk memiliki harta.
Pada ketika yang sama, malah ia menjadi amalan 1400 tahun sebelum ini, wanita Islam dibenarkan mewakilkan dirinya di mahkamah, boleh menuntut cerai apabila suaminya tidak bertanggungjawab, dibenarkan memiliki harta, malah hartanya tidak boleh diambil secara paksa oleh suaminya, serta berhak mendapat hak penjagaan anak, terutamanya apabila mereka masih kecil ketika berlaku perceraian.