Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Hudud hukum Allah bukan BN


Veteran

Status: Offline
Posts: 30
Date:
Hudud hukum Allah bukan BN


HUDUD DAN ROTAN


 


Saya amat mempercayai kepada segala hikmah yang datang daripada Allah S.W.T.  Cara saya beriman dengan hukum hudud sama kuat dengan keimanan saya kepada solat, zakat, puasa dan haji. Orang mukmin wajib mempercayai dan melaksanakan Islam sepenuh, serentak dengan segala keseluruhannya.   Islam  datang dengan segala hikmah dan penyelesaian.   Ia wajib beroperasi selengkapnya.


          Keyakinan orang ramai terhadap arahan membolehkan guru merotan murid oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada Hari Jumaat lalu di kebanyakan akhbar sangat menarik.  Dengan tiba-tiba saja, rotan dilihat sebagai alternatif?   Tidakkah ini menyerlahkan semula akan kemampuan hukum sebat sebagai cara mendidik akhlak.   Demikianlah nasib Islam diakhir zaman.   Apabila kemusnahan hampir tidak terkawal dan melata di permukaan bumi, barulah para pemimpin mula menjenguk ke dalam Islam.   Itupun, tidak mahu berbunyi Islam.   Bunyi benda lain tidak apa asalkan jangan berbunyi  Islam.


          Sebenarnya, Allah S.W.T. telah lama menyebutkan kepentingan pendidikan.   Murid-murid sekolah adalah anak-anak kita.   Islam misalnya, telah menetapkan kaedah menggalak dan melatih anak-anak agar mulai belajar sembahyang sejak berusia 7 tahun.   Mereka boleh dirotan mulai umur 10 tahun, jika masih enggan bersembahyang.   Mulai umur 10 tahun juga anak lelaki dan anak perempuan perlu dipisahkan tempat tidurnya.  Ilmu tentang baligh, haidh dan nifas, nafsu dan akal, pengaruh syaitan dan malaikat, dosa dan pahala, wajib dan  sunat,  haram  dan  halal,  sunat  dan  makruh;  semuanya  adalah peraturan-peraturan yang saling melengkapi kehidupan anak-anak orang mukmin.   Mereka lalu hidup dalam satu sistem disiplin yang teratur, syumul dan lengkap.   Dalam sembahyang misalnya, mereka diperkenalkan dengan lafaz Allahuakbar yang ‘hanya membesarkan Allah’ dan menentang syirik.   Di sana pula ada Al Faatihah yang sarat dengan maksud-maksud mendalam mengenai pengertian Islam sebagai satu cara hidup dan tatasusila.   Adab dan akhlak berkomunikasi dengan ayah, ibu, guru, jiran, sahabat, meliputi batas-batas lelaki dan perempuan amat sinonim dengan Islam.   Disiplin luaran dalam batas berpakaian dan berhiasan pula turut ditentukan dalam melengkapkan lagi sistem sosial Islam yang murni dan harmoni.  Segala sesuatu dihubungkan dengan pengabdian kepada Allah S.W.T.   Lihatlah Surah Luqman dari Ayat 12 hingga Ayat 19  untuk mengesahkan asas-asas ta’dib seperti yang disebutkan ini.


          Soalnya sekarang, atas logik apakah Sekolah-Sekolah Agama Rakyat (SAR) itu disekat bantuan perkapitanya?  Kata nak sekat sementaralah.   Kata nak kaji dan buat laporanlah.   Kata akan beri baliklah.   Sudahnya, apa jadi?   Mana keputusannya? Semuanya pembohongan dan penganiayaan!


          Tidakkah SARlah yang menyuburkan adab dan akhlak?   Di Sekolah-sekolah Agamalah, penekanan rohani seperti yang disebutkan tadi dititik beratkan.   Saya tidak terkejut jika dengan tidak semena-mena, negara kita meletup  dengan insiden adanya kongsi gelap di sebuah sekolah di Johor Bahru, “high council” di MCKK, budaya “bully” yang berleluasa, “gang fight” yang mencemaskan; peras ugut, tikam, rogol, khalwat, patah sana dan patah sini di sekolah-sekolah kebangsaan di serata pelusuk negara.   Walau apapun yang cuba dipertahankan nanti, kenyataan adalah kenyataan.   Kurikulum pendidikan kita nak kata berjaya macam mana kalau sudah gagal.   Tekanan mengenai ajaran tauhid kepada Allah, dosa, pahala, syurga, neraka, walaupun ada di sekolah kebangsaan tetapi saya percaya ia masih terlalu kekurangan dan sangat tidak mencukupi.   Kalau sekadar tidak sampai 2 jam seminggu, nak kemana?   Sedangkan berpuluh-puluh siaran dan saluran televisyen dihidangkan 24 jam.  Kandungannya? Saksikan sendiri gangguan rohaninya. Mendidik atau memusnah?   Jika Kementerian Pendidikan ada Menterinya, Kementerian Penerangan ada Menterinya.   Semuanya dari UMNO!   Jika dalam soal nyamuk dan lalat kita boleh faham akan bahaya penyakit-penyakit bawaannya, kenapa boleh kita keliru malah buat tidak tahu untuk menggubal kurikulum yang benar-benar berorientasikan pembangunan keinsanan.   Pemimpin kita terlalu sibuk dengan aedes, malaria dan bahaya cirit birit tetapi soal bahaya mengabaikan pendidikan nampaknya setakat ini sangat “insignificant”.   Lompangnya sangat terasa.   Kita cuma mahu lahirkan manusia yang profesional.  Lawyer, engineer, saintis, banker, doktor, penyelidik, pengurus dan berbagai-bagai walaupun kita tidak kisahpun sama ada mereka akan menjadi mukmin yang berakhlak atau sebaliknya.  Pokoknya, kita tidak jujur untuk melahirkan generasi yang bertaqwa.   Kerja pengklonan cek kerajaan terkini adalah kerja lepasan universiti yang kira-kiranya profesional.  Apa sudah jadi? Inilah teguran yang saya majukan semasa membentang “keynote address” mengenai Universiti Kelantan bulan lalu.


          Pukul dan rotan hanyalah alat mendidik sahaja.   Yang lebih penting ialah bahan didikan itu sendiri.   Sudahkah kita mendidik mengenai Allah dengan segala kekuasaanNya atau tidak?   Adakah aspek Syurga Neraka telah ditekankan sebaik-baiknya?   Sudahkah Sembahyang lima waktu diberikan tempat yang sentral dalam sistem pembelajaran?   Dimana ilmu tafsir Al Quran?  Wajarkah seluruh mata pelajaran akademik dicabut dari akar ilmu akhlak yang sangat menjadi asas dalam ajaran agama kita?   Saya tidak mengharapkan jawapan tetapi cukuplah kita membuat renungan.  Mustahil kegawatan ini tidak ada kena mengena dengan UMNO atau BN.


          Melihat kesediaan rakyat yang menyambut baik hukuman rotan ke atas anak-anak di sekolah, saya percaya hududpun akan mempunyai masa depan penerimaannya yang  cerah.   Salah satu elemen hudud ialah sebat.   Di sini, sekali lagi, UMNO/BN perlu bersifat ikhlas untuk mendidik.   Jika kegawatan sudah begitu serius dalam pagar sekolah, maka keadaan di luar pintu sekolah lagi mendesak.   Ketagihan dadah, penularan wabak aids, zina, rogol, khalwat, sumbang mahram, anak luar nikah, pecah amanah, pengklonan cek, rasuah, penipuan, ISA, mengkhianati PPRT; dan bermacam-macam.   Jika merotan sudah boleh diterima sebagai alternatif terbaik dalam merawat penyakit akhlak dalam pagar sekolah, tidakkah mungkin hukum hudud dan qisas adalah jawapan terbaik untuk menangani pelbagai salah laku di luar.   Peranan UMNO sepatutnya bukan mengeliru dan menakut-nakutkan rakyat kepada hudud tetapi menjelaskan hikmat dan rahsia kebaikannya.  Draf undang-undangnya dan atur fasa pelaksanaannya.


          Kita sesungguhnya berdepan dengan kejujuran.   Sama ada kita mahu kembali kepada hukum Allah S.W.T. kerana ‘Dialah’ yang Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kita atau UMNO/BN memang degil. Jika berkesanlah cara  penyelesaian sekular terkini, tentu sudah lahir generasi Malaysia yang semakin bertaqwa.   Lingkaran kemusnahan yang ditaja oleh UMNO sesungguhnya telah membawa kita ke gaung kehancuran  ummah.   Tangan  pemimpin  UMNOlah  yang   tidak mahu


kembali kepada paksi peraturan Allah S.W.T.  Dia sedang memimpin rakyat ke daerah kemakmuran dunia yang penuh was-was.  Dan, malangnya mereka tidak pernah mengaku berbuat kesilapan.  Inilah bahayanya UMNO yang pragmatis.


“Dan bila dikatakan kepada mereka:  Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab:  Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.” Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar.”


                                                (Ayat 11 dan 12 : Surah Al Baqarah)



__________________
Aku Dari Barisan Allah
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard