""Kerajinanmu untuk mencapai apa-apa yang telah dijamin pasti akan sampai kepadamu, di samping kelalaian terhadap kewajipan-kewajipan yang diamanatkan (ditugaskan) kepadamu, membuktikan butanya mata hatimu".
Firman Allah: "Berapa banyak binatang yang melata yang tidak sanggup membawa rezekinya (makanan keperluannya), Allah yang menjamin rezekinya, juga terhadap kamu." (Al-Ankabut:60)
Firman Allah: "Perintahkan kepada keluargamu supaya sembahyang, dan sabarlah dalam melaksanakannya, Kami (Allah) tidak menuntut kamu supaya mecari rezeki, Kami (Allah) yang menjamin rezekimu, dan akibat (kemenangan yang terakhir) bagi orang yang bertaqwa". (Thoha: 132)
Kerjakan apa yang menjadi kewajipanmu terhadap Kami, dan Kami melengkapi bagimu bahagian Kami. Di sini ada Dua : Satu, yang dijamin Allah, maka jangan menuduh (su'uz zhan-buruk sangka) terhadap Allah. Kedua, yang dituntut oleh Allah, maka jangan kau abaikan.
1. Apakah yang dijamin oleh Allah ? 2. Apakah yang dituntut oleh Allah ?
Dalam sebuah hadith yang maksudnya sedemikain :
Mengapakah orang-orang mengagungkan orang yang kaya, pemboros dan menghina ahli-ahli ibadan, dan mengikuti tuntutan Al-Quran yang hanya sesuai dengan hawa nafsu mereka, sedang yang tidak sesuai dengan hawa nafsunya ditinggalkan (diabaikan), pada hal yang demikian itu bererti mempercayai sebahagian isi kitab Allah, dan mengabaikan (kafir) terhadap sebahagian isi kitab Allah. Mereka berusaha untuk mencapai apa-apa yang dapat dicapai tanpa usaha iaitu bahagian yang pasti tiba dan ajal yang tertentu, dan rezeki yang menjadi bahagiannya, tetapi tidak berusaha untuk mencapai apa yang tidak dapat dicapai kecuali dengan usaha, iaitu pahala-pahala yang besar dan amal-amal ibadat dan dagangan yang tidak rosak.
Ibrahim Alkhawwash berkata:
Jangan memaksa diri untuk mencapai apa yang telah dijamin dan jangan mensia-siakan (mengabaikan) apa yang diamanahkan (ditugaskan) kepadamu.
Oleh sebab itu, maka siapa yang berusaha untuk mencapai apa yang sudah dijamin dan mengabaikan apa yang ditugaskan kepadanya, maka bererti buta mata hatinya, kerana sangat bodohnya.
Fikirkanlah :
1. Siapakah yang memberi makan, minum, pakaian, perlindungan, penjagaan dan kehidupanmu semasa kamu lahir di dunia, sedangkan dimasa itu kamu belum mengerti apa-apa lagi?
2. Siapakah yang mengerakkan degupan jantungmu, sedangkan kamu sendiri tidak dapat mengawalnya atau mengerakkannya sedikitpun ?
3. Pernahkah kamu melihat tenaga elektrik ? Mengapakah kamu percaya ? Pernahkah kamu melihat kejadian bumi dan langit ? Siapakah yang menjadikannya ? Adakah kamu taat akan perintahnya atau sebaliknya ?