Pesanan Nabi Muhammad bawa kemenangan tentera Islam
KEPINTARAN Nabi Muhammad SAW dalam menaikkan semangat pemimpin dan pejuang Islam dalam menghadapi apa juga cabaran tiada tandingannya. Baginda dengan penuh kebijaksanaan dan berhemat memimpin umatnya dalam menghadapi musuh.
Rasulullah ialah rasul yang sentiasa menjadi ikutan di kalangan sahabat atau pun pahlawan Islam, hingga membolehkan angkatan pejuang Islam mencapai kemenangan ketika berperang.
Suatu hari, Rasulullah memerintahkan Amru bin al-As bersiap sedia untuk ke medan peperangan.
Sahabat yang baru memeluk Islam ketika itu, Khalid bin al-Walid, yang juga terkenal dengan gelaran `Saifullah' ikut serta dalam pasukan berkenaan.
Sebelum berangkat, Rasulullah berkata, “Wahai Amru, kamu akan kutempatkan sebagai pasukan yang berada di barisan hadapan dalam peperangan ini.”
Baginda turut menggembirakan hati Amru dengan menjanjikan hadiah kebendaan selepas pasukan itu menang nanti.
Namun, Amru menjawab, “Ya Rasulullah, saya memeluk Islam bukan kerana .” Jawab Rasulullah, “Tidak mengapa, wahai Amru, harta yang baik memang patut diberikan kepada orang yang baik.”
Lantas, pasukan yang dipimpin Amru berangkat ke medan peperangan dengan semangat juang yang tinggi. Bagaimanapun, sesudah sampai ke tempat yang dituju, mereka mendapati bilangan anggota pasukan musuh begitu ramai.
Melihat keadaan itu, Amru tanpa berlengah lagi, terus menghantar Rafi bin Maktis al-Jahny kepada Rasulullah untuk memberitahu perkara berkenaan.
Sebaik menerima pesanan itu, Rasulullah mengirimkan satu angkatan yang besar sebanyak dua ratus orang di bawah pimpinan Abu Ubaidah al-Jarrah.
Turut serta dalam angkatan itu ialah Saidina Abu Bakar As-Sidek dan Umar al-Khattab.
Sebelum itu, ketika hendak berangkat membantu pasukan Amru, Nabi Muhammad sempat menasihatkan Abu Ubaidah supaya beliau dan Amru melaksanakan tugas tanpa timbul sebarang perselisihan faham. Baginda juga mengingatkan pasukan mereka hendaklah sentiasa bersatu.
Namun begitu, selepas kedua pihak bertemu, berlaku perselisihan antara kedua-duanya apabila Abu Ubaidah mahu memimpin pasukan yang lebih ramai. Tindakannya itu membuat Amru tidak bersetuju.
Amru berkata, “Sebenarnya tuan datang ke sini sebagai pembantu dan akulah yang memimpin.” Jawab Abu Ubaidah, “Tidak, aku memimpin rombonganku dan engkau dengan rombongan engkau sendiri.”
Perselisihan itu berlarutan seketika tetapi tidak memakan masa yang lama apabila Abu Ubaidah mengalah kerana teringat pesanan Rasulullah: “Jangan berselisih, apatah lagi di hadapan musuh yang sedang dihadapi.”
Lalu beliau berkata ke Amru, “Hai Amru, Rasulullah berpesan kepadaku agar kita jangan berselisih. Jika kau menentangku, aku akan tetap tunduk kepadamu.”
Selepas kedua-duanya mengerjakan solat bersama, pasukan itu pun meneruskan perjalanan sehingga mendekati kedudukan pihak musuh. Berlakulah peperangan sengit antara dua belah pihak.
Selepas sekian lama berperang, akhirnya tentera Islam meraih kemenangan.
Begitulah caranya Rasulullah mendidik sahabat Baginda, walaupun mereka pejuang atau pahlawan. Mereka sentiasa disemai dengan perasaan kasih dan terus bersatu hati supaya pasukan Islam mampu mencapai kemenangan.
Sikap dan pendekatan Baginda menyebabkan sahabat dan pahlawan Islam sentiasa menjunjung nasihat Rasulullah.
Wahai saudaraku semua ... ayuh bangkit dari kegelapan sekarang ini. Janganlah lagi mencangkung di takuk lama lagi, buruk bila mata memandang. Mana Dakwah dan Kebajikan kita selama ini ? ermmm ... sudahlah, hentikanlah .... mencela sana mencela sini ... kutuk sana kutuk sini ... yang mangsanya orang kita juga. Sudahkan lupa ape yang kita junjung dan lafaz dulu ?
p/s: jangan sampai suara 'KITA' tak dengar di UMUM lagi baru menyesal. Jangan sampai nila setitik rosak susu sebelanga. Cuba belajar disiplin diri.