Khalid al-Walid tamatkan penguasaan 1,000 tahun Barat di Syria
PANGLIMA Islam terbilang, Khalid al-Walid banyak menempa kejayaan dalam peperangan dalam menegakkan agama suci Allah ini.
Beliau yang dikenali ‘saifullah’ adalah antara pahlawan gagah berani yang berjaya mengalahkan musuh dalam beberapa peperangan pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat.
Pengepungan Kota Damsyik selama 70 malam pada 14 Hijrah bersamaan 635 Masihi pada Rabiulakhir adalah antara peristiwa penting dalam perjuangannya.
Kota Damsyik yang kini ibu negara Syria adalah antara kota termasyhur di dunia ketika itu. Kemasyhuran itu diabadikan Ibn Jarir, pengembara dan juga penyair dari Andalusia (Sepanyol) pada kurun ke-12 dengan katanya: “Seandainya syurga berada di atas dunia, syurga itu adalah Damsyik."
Damsyik atau nama asalnya Syam dikatakan berasal daripada nama Sam, iaitu anak Nabi Nuh yang menetap di situ selepas peristiwa banjir besar.
Malah, riwayat mengatakan Rasulullah pernah ke puncak Jabal Qasiyyun, lalu memandang ke arah kota Damsyik dengan kagum dan bangga.
Namun, disebabkan ancaman beberapa kuasa besar, khususnya Bizantine yang menakluki Damsyik ketika itu, satu pakatan ketenteraan diwujudkan oleh Rasulullah bagi menentang Bizantine.
Bizantine bukan saja mengganggu dan mengancam dakwah Islam, malah menjadi tempat berlindung musuh Islam dari Semenanjung Tanah Arab.
Peperangan pertama yang dilakukan terhadap Bizantine adalah melalui peperangan Mu'tah yang berlaku pada penghujung hidup Rasulullah.
Peperangan ini adalah medan ujian pertama Khalid sebagai panglima tentera. Dalam peperangan itu, tentera Islam pada mulanya dipimpin Zaid bin Haritsah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah.
Selepas ketiga-tiganya syahid, Rasulullah melantik Khalid sebagai panglima baru.
Selepas itu, Khalid menyusun strategi untuk mengelirukan musuh antaranya dengan meletakkan sebilangan tentera Islam di bahagian belakang bertujuan menampakkan seolah-olah mereka mendapat bantuan.
Kebijaksanaan Khalid ini menyebabkan tentera Bizantine terkeliru dan takut, lalu berundur.
Perang Yarmuk pula mempamerkan keikhlasan Khalid memartabatkan Islam tanpa mengejar pangkat dan nama.
Pada awal perang itu, Khalifah Abu Bakar melantik Khalid memimpin 50,000 pejuang Islam menentang 240,000 tentera Bizantine.
Apabila Saidina Abu Bakar wafat pada 634 Masihi, khalifah baru, Saidina Umar memilih Abu Ubaidah bin Jarrah untuk mengambil alih tugas Khalid.
Khalid tidak sedikit pun marah atau berkecil hati, sebaliknya beliau sama-sama berjuang hingga tentera Islam mencapai kemenangan.
Kemenangan ini bermula dengan kejayaan mengepung bandar itu selama 70 malam oleh Khalid dan Abu Ubaidah.
Ada pendapat mengatakan Khalid dan beberapa tentera Islam melalui Bab Syarqi atau pintu sebelah timur selepas berjaya membebaskan Syam daripada penjajahan Bizantine.
Pengkaji sejarah berpendapat, pintu itu dibina oleh Raja Rom, Septimius Severus, pada awal kurun ketiga.
Tindakan Khalid ini mengejutkan dunia Islam ketika itu kerana berjaya menamatkan penguasaan kuasa Barat selama seribu tahun ke atas Syria pada 635 Masihi. Ada pendapat mengatakan ia berlaku pada 635 Masihi bersamaan 14 hijrah.
Kejayaan Khalid ini membolehkan kota Damsyik bertukar pimpinan daripada Bizantine kepada kerajaan Islam yang lebih adil.
Selepas zaman sahabat iaitu pada zaman pemerintahan Ummaiyyah, kedudukan Damsyik amat penting iaitu sebagai ibu negara dan pusat kegiatan ekonomi.
Pada 661 Masihi pula, Muawiyah bin Abi Sufian, pengasas Bani Ummaiyyah dan khalifah yang baru dilantik, memindahkan ibu negara Islam dari Madinah ke Damsyik.