PERTIMBANGKAN fakta-fakta berikut. Sebuah kereta Proton Waja automatik berharga RM64,176 di atas jalan. Harga minimum sebuah rumah berangkai dua tingkat yang sedang dibina di USJ, Selangor ialah RM219,888. Sebuah pesawat Boeing 747- 400, kapal terbang penumpang terbesar di dunia, berharga RM703 juta.
Sekarang pertimbangkan pula fakta-fakta berikut. Nilai kekayaan korporat usahawan media, telekomunikasi dan judi, Tatparanandan Ananda Krishnan boleh membeli 136,655 buah kereta Proton Wira, 39,888 buah rumah berangkai dua tingkat dan 12 buah pesawat 747-400. Demikianlah kayanya orang terkaya di Malaysia bagi tahun ini mengikut bancian 40 tokoh korporat Malaysia terkaya oleh majalah perdagangan Malaysian Business (keluaran 16-28 Februari, 2003). Majalah itu mentaksirkan pegangan saham Ananda Krishnan dalam syarikat-syarikat miliknya bernilai RM8.77 bilion atau RM8,770 juta. Dengan kekayaan sebanyak itu, Ananda mengalahkan “Raja Gula”, Robert Kuok Hock Nien, yang selama beberapa dekad adalah orang terkaya di Malaysia.
Kekayaan Robert Kuok yang dianggarkan bernilai RM8 bilion, jatuh sebanyak RM800 juta daripada tahun lalu. Kekayaan Ananda Krishnan berganda daripada RM4.2 bilion tahun lalu melalui peningkatan nilai saham syarikat-syarikatnya dan tawaran awam saham-saham syarikat Maxis Communications Berhad miliknya.
Kejayaan usahawan raksasa seperti Ananda, Kuok, Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong Bank), Tan Sri Lim Goh Tong (Genting) dan Tan Sri Yeoh Teong Lay (YTL Corporation) berlaku ketika beberapa nama besar dalam dunia korporat Melayu hanyut dibawa arus kegawatan ekonomi. Tokoh-tokoh seperti Tan Sri Tajudin Ramli, Tan Sri Shamsuddin Kadir dan Tan Sri Abdul Rashid Hussain terkeluar daripada senarai itu menyebabkan bilangan usahawan Melayu yang menganggotainya merosot daripada 11 tahun lalu kepada hanya tujuh tahun ini.
Tokoh-tokoh korporat Melayu yang menganggotai senarai 40 itu ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dengan kekayaan sebanyak RM1.67 bilion menduduki tempat ketujuh, pemaju hartanah Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar (RM1 bilion), Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah (RM625.3 juta), Datuk Hamdan Mohamad (RM613.7 juta), Tan Sri Rozali Ismail (RM570.6 juta), Tan Sri Azman Hashim (RM543.6 juta), Tan Sri Saleh Sulong (RM264.5 juta) dan Tunku Datuk Yaacob Tunku Abdullah (RM193.2 juta). Dengan kekayaan terkumpul sebanyak RM5.48 bilion, mereka tidak pun mampu mengatasi kekayaan Ananda atau Kuok.
Bagi tokoh-tokoh korporat bukan Melayu, selain berjaya menangani krisis ekonomi serantau tahun 1997 dengan lebih baik, mereka tidak banyak menderita kecaman dan kutukan berbanding usahawan Melayu. Ini termasuklah ahli korporat bukan Melayu yang gagal. Akibatnya, tercetus tanggapan bahawa hanya usahawan Melayu yang gagal dan bergantung kepada pertolongan kerajaan. Tanggapan ini songsang sama sekali.
Banyak usahawan bukan Melayu yang mengalami masalah teruk akibat krisis itu. Majoriti daripada mereka yang menjadi kaya-raya sebenarnya mendapat bantuan kerajaan. Malangnya, tidak banyak orang, khasnya orang Melayu, yang menyedari hakikat ini. Misalnya, tidak banyak yang tahu bahawa Sime Bank Berhad milik Sime Darby muflis akibat pinjaman raksasa yang diberikannya kepada segelintir usahawan dan syarikat bukan Melayu yang muflis akibat krisis 1997.
Sebaliknya yang menjadi bahan berita ialah kegagalan syarikat-syarikat dan projek-projek penswastaan yang membabitkan usahawan Melayu seperti Renong, United Engineers Malaysia, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Celcom, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Pernas.
Hakikat bahawa projek monorel milik bukan Melayu terbengkalai begitu lama dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Kuala Lumpur dan bertukar tangan, hampir-hampir tidak mendapat perhatian sehinggalah seorang wartawan cedera parah dihempap flywheel kenderaan itu. Kebanyakan orang hanya tahu bahawa Robert Kuok menjadi kaya-raya kerana monopoli gula dan Lim Goh Tong kerana lesen kasino. Tidak banyak yang tahu bagaimana dan daripada siapa mereka memperoleh monopoli itu.
Bapa Robert Kuok bernama Kuok Keng Kang mengasaskan empayarnya melalui perniagaan gula, beras dan gandum dengan bantuan Sultan Johor sekitar tahun 20-an. Keng Kang adalah pendatang dari wilayah Fujian, China. Menurut laporan akhbar The Star, milik MCA (4 Jun, 2001), Keng Kang begitu akrab dengan orang kenamaan Melayu Johor sehingga mereka sanggup menolongnya mengatasi ketagihan candu.
Usahawan kasino Lim Goh Tong pula membina dan memodenkan empayar korporatnya melalui lesen kasino daripada Kerajaan Pusat dan tanah di puncak gunung diterima daripada kerajaan Pahang pada awal tahun 70-an. Manakala YTL menjadi besar kerana kontrak membina sekolah dan hospital daripada kerajaan, lesen menjana elektrik (IPP) dan perkongsian membina rumah dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Menurut laporan The Star, loji penjanaan elektrik YTL di Terengganu memperolehi hasil RM1 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM400 juta setiap tahun sejak 1998.
Tetapi kejayaan Ananda adalah contoh klasik bagaimana seorang usahawan bukan Melayu mengambil kesempatan daripada dasar mesra niaga (business friendly) kerajaan dan keakraban dengan kepemimpinan negara. Cara Ananda Krishnan membina empayar korporatnya menakjubkan. Beliau bukan muka baru dalam dunia korporat Malaysia kerana pernah menjadi ahli lembaga pengarah Bank Negara dan Petronas serta menaja konsert peringkat antarabangsa seperti Live Aid oleh pemuzik Sir Bob Geldorf pada tahun 1980-an.
Namum beliau menjadi terkenal hanya mulai tahun 1990-an apabila mendapat penswastaan padang lumba kuda Jalan Ampang, Kuala Lumpur, yang kini menjadi tapak KLCC dan Lembaga Loteri Kebajikan Masyarakat pada tahun 1989. Beliau dilaporkan membayar RM110 juta untuk tanah itu dan membelanjakan RM300 juta untuk memindahkan syarat kegunaannya sebagai tapak KLCC. Beliau kemudian menjual 51 peratus projek itu kepada Petronas dengan harga RM600 juta. Akhir tahun lalu, beliau menjual baki 49 peratus saham miliknya dalam KLCC Development Sdn. Bhd. kepada Petronas dengan harga RM1.2 bilion.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Ananda Krishnan adalah usahawan paling bijak meniti laluan beranjau politik Malaysia. Beliau rapat dengan kepemimpinan tertinggi politik Melayu, bermula dengan Tengku Razaleigh Hamzah berdekad-dekad lamanya. Kini beliau berpotensi menjadi orang paling berpengaruh dalam kehidupan seharian Malaysia kerana empayarnya merangkumi sektor-sektor strategik seperti telekomunikasi angkasa dan bumi (Binariang dan Maxis), radio dan television (Astro), perjudian (lumba kuda dan loteri Pan Malaysian Pools), perkapalan dan industri minyak (Bumi Armada), penjanaan elektrik (Powertek Berhad) dan perfileman.
Pencabar utama
Dengan lebih 40 saluran tv dan radio serta pelanggan yang menjangkau satu juta, Astro kini menjadi pencabar utama kepada stesen-stesen tv terrestrial iaitu RTM, TV3 and ntv7. Dalam konteks yang lebih luas, kejayaan sebahagian besar ahli perniagaan Malaysia menyelamatkan diri dan empayar korporat mereka daripada kesan negatif krisis ekonomi 1997 dan menambah kekayaan peribadi mereka, harus diberi pengiktirafan. Ia sekali gus membuktikan daya tahan sektor korporat dan keutuhan ekonomi negara hasil daripada dasar-dasar kerajaan dan pakej pemulihan ekonomi yang diperkenal selepas krisis 1997.
Berbanding tahun lalu, nilai pasaran 40 tokoh ini meningkat 20 peratus daripada RM41.7 bilion kepada RM50 bilion, iaitu bersamaan kira-kira 25 peratus keluaran dalam negara kasar (GDP) Malaysia. Kejayaan ini dicapai dalam suasana pasaran saham yang lembap dan pemulihan ekonomi dunia yang tidak menentu akibat keganasan dan ancaman perang Amerika terhadap Iraq.
Sektor korporat atau dalam bahasa yang lebih mudah, bidang perniagaan, adalah antara komponen utama ekonomi negara kita yang paling teruk menderita kesan krisis ekonomi serantau. Banyak ahli perniagaan, empayar korporat dan bank-bank tempat mereka meminjam menjadi muflis. Satu demi satu empayar korporat yang sebelum itu disanjung dan menjadi idaman, runtuh ibarat istana pasir dilanda ombak.
Mereka bankrap akibat kejatuhan besar harga saham syarikat-syarikat mereka dan hutang yang melambung apabila nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika akibat spekulasi mata wang. Sebelum krisis itu, kerajaan sendiri menggalakkan ahli korporat dan syarikat besar, khasnya yang melabur di luar negara atau yang banyak mengimport kelengkapan, supaya meminjam dalam mata wang asing seperti dolar Amerika dan yen Jepun.
Ketika mereka meminjam, kadar tukaran ringgit adalah kira-kira RM2.50 bagi setiap satu dolar Amerika. Tetapi apabila berlaku serangan spekulasi ke atas mata wang Asia bermula Jun 1997, kadar tukaran melambung kepada lebih RM4 bagi setiap satu dolar. Akibatnya, untuk membayar hutang sebanyak AS$100 juta yang dahulunya memerlukan RM250 juta, dengan sekelip mata melambung kepada RM400 juta. Inilah yang berlaku kepada syarikat-syarikat seperti MAS, Celcom, Tenaga Nasional Berhad dan Kumpulan Lion.
Perubahan politik dan dasar kewangan yang berlaku selepas itu mencetuskan “penyingkiran” sekumpulan tokoh korporat pelbagai kaum. Dalam beberapa kes, ia diekori oleh keruntuhan empayar korporat mereka.
Antara perkembangan penting yang mempengaruhi pengurusan ekonomi negara selepas krisis 1997 dan yang memberi kesan besar kepada sektor korporat ialah pelaksanaan kawalan terhad tukaran mata wang yang diperkenalkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1998. Turut mempengaruhi dunia korporat ialah penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; peletakan jawatan penggantinya, Tun Daim Zainuddin pada tahun 2001 dan pengambilan alih Kementerian Kewangan oleh Dr. Mahathir sendiri.
Manakala sektor korporat bukan Melayu tidak banyak terjejas oleh perkembangan politik semasa, untung nasib usahawan Melayu masih banyak dipengaruhi oleh suasana politik. Jika ini berterusan, maka usaha membina masyarakat usahawan Melayu akan terbantut dan harapan mereka menyaingi usahawan bukan Melayu mustahil tercapai.
Sikap sesetengah orang Melayu yang benci, cemburu dan dengki terhadap kaumnya yang berjaya di dunia korporat, tidak membantu. Hakikatnya, bagi setiap seorang Melayu yang berjaya dalam bidang perniagaan, lebih ramai orang bukan Melayu yang lebih hebat kejayaannya.
Lagipun usahawan dan tokoh korporat Melayu yang berjaya hari ini amat berbeza dengan watak Haji Bakhil dalam filem Allahyarham P. Ramlee. Mereka tidak kedekut macam Haji Bakhil. Sebaliknya ada yang membina masjid dan asrama, ada yang membina sekolah dan maktab, ada yang membiayai surau dan madrasah, ada yang menubuhkan yayasan dan mengeluarkan bermacam-macam bantuan. Malah ada juga yang membina muzium dan mengadakan kelas bimbingan.
Justeru, sikap benci, cemburu dan dengki orang Melayu kepada bangsanya yang berjaya nyata tidak bertempat. Apatah lagi, seperti diungkapkan oleh Dr. Mahathir, perjalanan masih jauh. Justeru orang Melayu tidak boleh cepat mudah lupa.
quote: Originally posted by: adipati "asalamualikum Kan dah dicakapkan " Bumi dipijak milik orang ". itu pun tak faham-faham. Kita sama kita nak bertakek jer. itulah pasal."
yang penting sekali... kena ada sikap dengki pada semua... dengki utk kebaikan... bersaing dengan mereka yg lebih maju.. jangan jatuhkan mereka bangkitkan mereka dan kita akan bersaing dengan mereka... mereka maju kita akan maju...
jangan ada sikap dengki utk menjatuhkan mereka.. baru nak naik dapat apa yang mereka terima mula tak puas hati... dah mula setan masuk dalam badan hasut sana hasut sini...
bumi malaysia ini milik tanah melayu... dan tetap akan jadi tanak melayu... bagaimana kita nak kekalkan hak orang melayu...
dengan usaha...fikir dan lakukan...
jangan lagi nak dengar lagu dondang sayang.. kita dah tak ada masa lagi...
kalu setakat nak mainkan lagu semangat orang melayu... ANAK KECIL tu... Mmm... kau tersekat2 hancur orang melayu, usahawan melayu...
p/s aik kanda adipati bukan main lagi bawak lagu semangat UMNO.... nak bawak budaya UMNO ke....?? sekadar gurauan dan ujian kecil-kecilan sahaje...