Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Gambaran Salahudin al-Ayubi dlm filem KoH


Veteran

Status: Offline
Posts: 38
Date:
Gambaran Salahudin al-Ayubi dlm filem KoH


Gambaran baik umat Islam dalam Filem Kingdom of Heaven

Oleh ASTORA JABAT


SUDAH lama tidak menonton filem di pawagam. Sebenarnya sejak tahun 80-an lagi penulis kurang masuk pawagam dan tahun 90-an pula hanya sekali masuk pawagam ketika bertugas di Bangkok kerana membawa anak-anak menonton filem kegemaran mereka. Ada beberapa sebab menyebabkan penulis tidak menonton di pawagam termasuk kerana ada alternatif lain disebabkan boleh menonton filem di rumah dan tidak suka asap rokok.

Ketika remaja dulu penulis seorang kaki filem. Lebih 350 filem ditonton setahun kerana pernah menjadi budak pawagam dan ketika itu penulis menuntut di sebuah sekolah pondok yang terletak berdekatan dengan pawagam. Bagaimanapun, perbuatan itu terpaksa dihentikan apabila disedari oleh keluarga dan menerima hukuman daripada mereka.

Filem pada zaman budak-budak dulu merupakan satu-satunya medium bersifat visual yang menghubungkan penulis dengan dunia luar kerana pada ketika itu (tahun 60-an) keluarga penulis dan semua penduduk kampung belum lagi memiliki televisyen disebabkan tidak ada bekalan elektrik. Yang aneh rumah dan kampung penulis berada bersebelahan penjana elektrik yang membekal elektrik ke pekan Jabat. Penulis masih ingat ketika siaran televisyen Malaysia dapat dilihat dengan jelas dulu penduduk kampung penulis mengikuti pertandingan membaca al-Quran di setiap bulan Ramadan daripada televisyen seorang penduduk di bangunan Persatuan Islam di Masjid al-Jum'iyah, pekan Jabat.

Pagi Sabtu lepas penulis terpaksa masuk pawagam kerana menjadi ahli panel dalam program apresiasi filem Uwei Haji Shaari, Buai Laju-Laju di pawagam P. Ramlee, Finas, Kompleks Studio Merdeka, Jalan Hulu Klang, Ampang.

Memang menonton filem di pawagam amat berbeza dengan menonton filem di rumah. Selain mendapat kepuasan, ia pula mengundang nostalgia. Buat apa saja dengan nostalgia seolah-olah berada di kayangan.

Kebetulannya pada sebelah malam hari yang sama penulis tergerak untuk masuk pawagam sekali lagi menonton filem Kingdom of Heaven. Kali ini nostalgia lebih sempurna kerana berada di pawagam bersama isteri.

Filem Kingdom of Heaven adalah sebuah filem besar yang penulis mesti menonton sama seperti The Passion of Christ, Alexander The Great, The Gladiator, Puteri Gunung Ledang, Suriyo Thai dan lain-lain. Cuma pada masa lalu hanya menonton filem seperti itu di rumah sahaja.

Penulis merancang untuk menonton filem Kingdom of Heaven sejak membaca berita pembikinan filem itu pada awal tahun lalu lagi. Yang menyebabkan penulis merancang untuk menonton filem Kingdom of Heaven bukan saja kerana ia merupakan filem tentang Perang Salib, tetapi juga kerana pengarahnya terkenal dan ada pelakon Arab berlakon dalam filem itu seperti Ghassan Massoud dari Syria, Khalid Nabawi dari Mesir dan beberapa orang pelakon Maghribi.

Ghassan berlakon sebagai pahlawan terbilang, Salahuddin al-Ayubi dan Khalid berlakon sebagai pemuka agama yang fanatik.

Biasanya filem epik yang dibuat di Hollywood termasuk yang dibiayai dan diarah orang Arab seperti filem The Messenger dan Omar al-Mukhtar hasil karya Mustafa Akkad tidak mengambil pelakon Arab kerana dibimbangi tidak laku di pasaran dunia.

Semua itu menyebabkan penulis menganggap filem Kingdom of Heaven mesti berbeza daripada filem-filem epik buat Hollywood terdahulu. Selepas itu terbaca pula berita pengarah filem itu, Ridley Scott membuat kenyataan bahawa filemnya menampilkan peperangan yang meletus antara orang Kristian dan orang Muslim secara seimbang dan tidak mengutuk Islam dan umatnya. Tidak kurang menariknya ialah penulis skrip filem berkenaan pula Yahudi, iaitu William Monahan.

Dengan itu apa lagi yang perlu dibuat kecuali menunggulah dengan penuh kesabaran. Pada pandangan penulis, Scott dalam filem Kingdom of Heaven lebih berjaya berbanding filem The Gladiator. Penulis menganggap begitu bukan kerana filem ini didakwa sebagai membela Islam dan umatnya seperti mana pendapat sesetengah pengkritik (penulis tidak bersetuju dengan dakwaan ini dan nanti akan dijelaskan di bawah), tetapi kerana ia mempunyai mesej yang lebih kuat dan mendalam berbanding dengan The Gladiator, yang menang anugerah Oscar itu.

Aman damai

Scott menggambarkan dalam filem tersebut bahawa orang Islam, orang Kristian dan orang Yahudi boleh hidup bersama secara aman damai jika tiada angkara daripada orang politik dan orang agama yang korup. Ini mengingatkan penulis dengan pepatah Arab yang bermaksud:

``Terdapat dua jenis manusia jika mereka baik, maka baik orang ramai, iaitu pemerintah dan ulama.''

Sesetengah ulama menganggap pepatah ini sebagai hadis, tetapi sebenarnya ia bukan hadis.

Maksud pepatah ini amat relevan dengan banyak peperangan yang berlaku atas nama agama termasuk Perang Salib. Ini juga yang difahami Scott dan dengan itu antara dialog yang disediakan untuk watak utama dalam filem berkenaan, iaitu Balian Dari Ibelin, (lakonan Orlando Bloom) berbunyi: ``Aku fikir kita berperang demi Tuhan, tetapi kita berperang demi kekayaan dan tanah.''

Penulis percaya antara mesej yang mahu disampaikan oleh Scott melewati Perang Salib zaman silam.

Demikian itu Perang Salib moden yang dilancarkan oleh Presiden George W. Bush untuk membanteras keganasan melalui pelancaran perang ke atas Afghanistan dan Iraq itu mempunyai matlamat yang serupa, iaitu kepentingan ekonomi.

Orang agama yang ditonjol oleh Scott dalam filem Kingdom of Heaven pula adalah paderi Kristian dan ulama Islam, yang digambarkan berfikiran tertutup dan tiada apa yang diajar oleh mereka kecuali permusuhan dan perang antara agama.

Paderi mendesak orang Kristian ikut serta dalam Perang Salib untuk menubuhkan negara tuntutan Tuhan di Baitulmaqdis dan negara itu dipanggil Kingdom of Heaven walaupun terpaksa melakukan kekejaman membunuh beramai-ramai orang tidak berdosa. Mereka menganggap Perang Salib boleh menebus dosa dan siapa yang mati dalam peperangan akan mendapat habuan masuk syurga.

Ini bererti sama dengan orang Muslim yang membunuh dan berperang atas nama agama dan Tuhan.

Paderi ditonjol juga sebagai orang tidak rasional dan mudah menjatuhkan hukum terhadap orang. Oleh itu bila Balian berkata: ``Lindungilah penduduk dan bukan batu-bata yang usang ini.''

Ketika berucap untuk membangkitkan semangat orang Kristian supaya menentang tentera Salahuddin al-Ayubi, seorang paderi memekik: ``Kafir.''

Tetapi paderi itu juga menyuruh penduduk Kristian memeluk Islam bila menyedari tidak mampu lagi melawan tentera Salahuddin.

``Peluk Islam dan kemudian bertaubat,'' kata paderi berkenaan.

Tetapi di akhir filem, Scott menampilkan Salahuddin sebagai seorang pemimpin negara yang memahami peruntukan wahyu Allah berhubung tiada paksaan dalam agama. Dengan itu bila Balian mengalami kekalahan dan dia berhadapan dengan Salahuddin di luar tembok Baitulmaqdis, dia mengancam untuk memusnahkan kota suci itu dengan membakar keseluruhannya. Salahuddin mempertikaikan kewajaran tindakan yang akan dilakukan oleh Balian itu. Lalu Salahuddin melontarkan soalan yang menyebabkan Balian perlu berfikir tentang budak-budak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa jika tindakan pemusnahan itu diambil. Kemudian Salahuddin mengemukakan cadangan alternatif dengan memberitahu bahawa semua orang Kristian tidak akan dibunuh dan Balian serta para pejuang akan dibenarkan pulang ke negeri mereka di Perancis dengan selamat dan pertimbangan menyerahkan Baitulmaqdis kepada Muslim.

Cadangan itu diterima oleh Balian dan para pejuang Kristian yang terkepung itu bertepuk sorak kerana gembira. Balian dan para pejuang Kristian dapat kembali ke negeri masing-masing dengan selamat.

Jika perwatakan paderi yang digambarkan oleh Scott dalam filem Kingdom of Heaven boleh menimbulkan kemarahan orang Kristian, dia juga menggambarkan ulama pun dengan cara yang hampir sama dan boleh menimbulkan kemarahan orang Muslim. Cuma peranan jahat ulama tidak begitu kelihatan berbanding paderi. Bagaimanapun, apa yang penulis jelaskan ini hanya berdasarkan filem yang ditonton di pawagam dan mungkin sudah ditapis babak-babak yang melibatkan ulama itu. Jadi dengan itu tidak begitu nampak sikap negatif ulama berbanding paderi. Watak ulama dipegang oleh pelakon Mesir, Khalid Nabawi.

Sebenarnya Scott dalam filem Kingdom of Heaven mempromosi toleransi antara agama. Dia menampilkan simbol toleransi dalam filem itu secara berulang-ulang seperti babak orang Muslim yang menunaikan sembahyang di Pelabuhan Messina, Sicily, suasana orang Muslim, Kristian dan Yahudi di Baitulmaqdis, Nablus dan lain-lain, orang Kristian bercakap bahasa Arab dan mengucapkan salam kepada orang Muslim dan sebaliknya, mereka bekerja di tempat sama di pasar dan kebun dan lain-lain lagi.

Balian sendiri ketika mula tiba ke Palestin ditonjol sebagai pemerintah Nablus, wilayah ditakluk oleh bapanya seorang kastria Salib terkenal dalam sejarah, Godfrey dari Ibelin (lakonan Liam Neeson) yang meninggal dunia akibat luka dalam pertempuran sesama Kristian ketika dalam perjalanan ke Baitulmaqdis. Di Nablus, Scott menggambarkan orang Muslim, Kristian dan Yahudi hidup bersama dalam suasana amat damai. Mereka sama-sama bekerja dalam membangunkan perkampungan mereka termasuk menyediakan sumber air. Itulah contoh Kerajaan Langit atau Kingdom of Heaven yang Scott menggambarkan Godfrey mahu anaknya melaksanakan utopia itu di Baitulmaqdis bila dia dilantik menjadi pemerintah kota suci nanti.

Kerajaan Langit atau Kingdom of Heaven merupakan akidah yang dipegang oleh orang Kristian dan Yahudi.

Ia juga dipanggil Kerajaan Allah.

Bagaimanapun, orang Kristian dan Yahudi berbeza pandangan tentang Kerajaan Langit itu. Ada yang mengatakan ia akan ditubuh oleh Nabi Isa di bumi selepas baginda turun di akhir zaman nanti. Ada yang mengatakan ia akan ditubuh oleh baginda di langit dan akidah ini turut dipegang oleh beberapa puak Yahudi ortodoks hari ini dan ini termasuk puak Natutei Karta yang menolak negara Israel sekarang kerana mereka menganggap bercanggah dengan akidah Yahudi. Ada yang menganggap Kerajaan Langit hanya boleh ditegak dalam hati setiap orang beriman di kalangan orang Kristian dan Yahudi. Selain itu ada pula yang menganggap perlu ditegakkan Kerajaan Langit itu di bumi dan itulah yang dilakukan oleh Yahudi berideologi Zionisme di Israel kini.

Manakala Scott dalam filemnya menganggap Kerajaan Langit itu sepertilah Nablus yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa dan agama dan hidup aman damai itu.

Tetapi disebabkan wujud orang-orang yang berfikiran tertutup di kalangan pemerintah dan pemuka agama Kristian menyebabkan berlaku perang agama dan seterusnya Kerajaan Langit tidak dapat ditubuhkan di Baitulmaqdis.

Ada persamaan antara pandangan Scott ini dengan pandangan pemimpin Palestin dan pemimpin Yahudi yang berfikiran terbuka mahukan suasana aman damai antara pelbagai agama tertegak di Palestin secara am dan Baitulmaqdis secara khasnya. Yasser Afarat pada akhir hidupnya pun berfikiran begitu dan ini termasuk menjadikan Baitulmaqdis ibu kota ketiga-tiga agama.

Secara keseluruhannya filem Kingdom of Heaven adalah filem yang seimbang dan tidak berpihak kepada Kristian dan tidak berpihak kepada Islam walaupun ada watak-watak Kristian dan watak-watak Muslim digambarkan sangat baik dan tidak kejam seperti kita baca daripada sejarah.

Bagaimanapun, disebabkan pada abad pertengahan itu orang Muslim dianggap maju dan orang Kristian di Eropah dianggap mundur menyebabkan Scott menggambarkan dari sudut pandangan itu. Justeru itu secara nisbinya kelihatan para pejuang Kristian lebih kejam dan jahat. Di sebaliknya para pejuang Muslim. Inilah yang dikritik oleh para pengkritik filem Barat kini.

Tetapi dari segi pakaian, para pejuang Kristian kelihatan lebih hebat daripada para pejuang Muslim seolah-olah mereka lebih maju.

Penulis meninggalkan analisis ringkas tentang Kingdom of Heaven setakat ini dan insya-Allah minggu hadapan penulis akan membincangkan mengenai mesej agama dalam filem Uwei, Buai Laju-Laju.


-Taken from Mingguan Malaysia, pg 8, 15/5/2005-





__________________


Member

Status: Offline
Posts: 24
Date:

cambest jerk citer ni ni yg nak kena tengok ni...camner la ana leh lepas citer ni??ader lagi ker kat wayang citer ni...ker cd dah kuar?? salahuddin al-ayubi yg memerintah pada zaman bani fatimayah tu ker??



__________________
perdana


Senior

Status: Offline
Posts: 234
Date:

tgk boleh tapi jgn tepengaruh plak...sebab citer ni akan mempromisikan salib mereka tak kira bila masa...itu aDALAH SALAH SATU STRATEGI MEREKA MENANAMKAN SALIB ITU DIDALAM HATI MANUSIA...PASAL NI CUBA TANYA ALONGWIRA..DIA LBH FASIH UTK MENCERITAKAN STRATEGI INI....lagi satu...penamat cerita ini salahuddin al-ayubi akan memngangkat salib yang jatuh dan letakan nya di atas meja...mungkin itu satu penghormatan..tapi apa pula pandangan orang yang pebagai...trylaa tengok...hayati dgn iman...

__________________
...


Veteran

Status: Offline
Posts: 38
Date:


Saya dah tgk cita nie smalam kt wayang... masih ditayangkan lagi di pawagam. bagi saya ini adalah salah satu filem yg diarah oleh seorang Kristian, skrip ditulis oleh seorang Yahudi yang boleh dikatakan seimbang dalam pelbagai aspek... Mungkin btul apa yg dicakap oleh saudara natural akan tetapi dalam filem itu ada dua scene yang menunjukkan muslim tgh semayang walaupun secara tidak tepat. dan dibincangkan konsep semayang iaitu patuh kpd pemimpin. orang kristian pun bleh gerun bila tgk scene yg digambarkan hampir 200,000 tentera Salahudin bleh semayang serentak dgn satu imam sblum perang. sedangkan mereka pun masih berpuak-puak dlm angkatan tentera mereka... Pelakon watak Salahudin pn bkn calang2 org iaitu Ghassan Masoud, pelakon dan pengarah terkenal dari Syria. Mesti diapun x akan memberi kerjasama klu filem itu menyimpang.

Kalaulah kita berada di Baitulmaqdis, kita belum tentu dapat mengenalpasti penduduknya yang mana satu Islam, Yahudi atau Kristian jika mereka semua tidak memakai perlambangan Agama Masing2 tapi ada tak berlaku pertukaran agama antara mereka? sedangkan dekat Madinah pun Rasulullah s.a.w. pun tak melarang penganut agama samawi lain memakai perlambangan dan ritual agama mereka...

Cuma yang dok jadi masalah sekarang nama saja Islam tapi Jahil pasal agama. so bila berjumpa dengan pendakwah Kristian yang imejnya baik dan pemurah,, ditariknya masuk Agama mereka kerana rasa btul gak tentang Kristian. Siapa yg patut bertanggungjawab bila hal nie berlaku? Takkan nak salahkan pendakwah Kristian sebab mereka pun menjalankan tuntutan agama mereka seperti juga orang Islam patut lakukan iaitu berdakwah kepada yang jahil.

Mesej filem ini mudah saja. Ketiga-tiga penganut agama ini bleh hidup bersama-sama jika kesemua mereka kembali mengikut ajaran agama masing-masing kerana datangnya daripada Tuhan yang Satu juga dan patuh kepada pemimpin negara yg adil. Prejudis, tamak harta, kuasa dan salah faham antara ketiga-tiga penganut agama ini akan menyebabkan bibit-bibit peperangan yang akan membawa kerugian kepada diri sendiri...

Harap saudara natural jangan terasa kot sebab saya suka think positif dulu, baru negative plak bila nampak ciri-cirinya... Amar Makruf Nahyil Mungkar///



__________________


Veteran

Status: Offline
Posts: 38
Date:


Prebiu filem KoH (Kota Suci - Yang Menjadi Rebutan)

Perang salib di sebalik kisah peperangannya yang memakan masa yang panjang, korban yang banyak telah mengangkat Salahuddin Al-Ayubi sebagai tokoh dan strategis perang yang terbilang dan luar biasa. Dia adalah panglima perang yang ditakuti oleh musuhnya dan pada masa yang sama menghormati lawannya. Dia sanggup menghantar sepasukan doktornya untuk merawat pemimpin musuhnya. Di bawah pemerintahan Salahuddin, Jerusalem menjadi kota aman yang bebas didatangi oleh penganut Kristian dan Yahudi untuk beribadat sepertimana yang dijanjikan oleh Salahuddin. Perang salib sendiri telah memberikan kesan dan pengaruh yang begitu besar kepada tamadun Eropah yang sedang merosot ketika itu. Tetapi dendam dan kemarahan terus membakar kota suci itu daripada keamanan yang berkekalan.

Bukan mudah untuk mengangkat sejarah Perang salib yang begitu panjang yang mana puak Islam dan Kristian mempunyai kepentingan tersendiri. Dendam, kemarahan dan kekecewaan yang memanjang mudah sahaja membakar emosi lalu menyelewengkan fakta.

Ridley Scott yang mengarah filem ini pernah dianggap menyelewengkan fakta di dalam Black Hawk Down. Subjek yang emotif begini tidak mudah untuk diberikan pandangan yang seimbang dan objektif. Perang Salib sebagai peristiwa sejarah bukan sebarang peristiwa, ia adalah peristiwa besar yang apabila ditafsir ke layar perak perlu diberikan struktur dramatik dan justifikasi pada fakta-faktanya serta pada masa yang sama perlukan pendekatan yang bijaksana.

Kingdom Of Heaven yang membawakan semula kisah perang salib mengambil tahun 1148 sebagai latarnya, pada ketika tentera Kristian sedang menguasai kota Jerusalem dan tentera Salahuddin (lakonan Ghassan Massoud, seorang pengarah dan pelakon Syria yang terkenal) sedang mengepung kota suci itu.

Jerusalem pada ketika itu bukan sahaja lemah dan terkepung tetapi kota yang diperintah oleh Raja Baldwin (Edward Norton) seorang raja yang sedang mengidap penyakit kusta dan menutup wajahnya dengan sekeping topeng perak sedang berada dalam lingkaran intrig politik dan perebutan kuasa sesama panglima perang.

Apabila raja ini mati, Balian (Orlando Bloom) anak seorang bekas panglima perang salib yang dihormati Golfrey dari Ibelin (Liam Neeson) mengambil alih pemerintahan kota itu. Balian si tukang besi dari Peranchis yang bersedih dengan kematian isterinya pernah menolak permintaan ayahnya untuk menyertai peperangan tersebut tetapi akhirnya pergi juga ke tanah suci itu disebabkan ingin menghapuskan dosanya selepas dia membunuh seorang paderi yang memperolok-olokkan kematian isterinya yang membunuh diri.

Jerusalem yang berada di ambang perang sementara pihak Salahudin

dilihat sebagai pasukan tentera yang sedang menanti ruang untuk menguasai kota suci itu, dan di kota suci itu sedang berlaku pergelutan dan perebutan kuasa di antara pemimpin-pemimpin Kristian. Peristiwa sejarah yang cukup dramatis sebenarnya.

Guy de Lusignan (Marton Csokas) suami kepada adik Baldwin, Sibylla (Eva Green) dan Reynald (Brendan Gleeson) adalah golongan ekstremis yang mabuk kuasa dengan usaha menjatuhkan Baldwin dan mendesak supaya memerangi orang-orang Islam. Reynald akhirnya dibunuh oleh Salahuddin sebagai balasan kekejamannya membunuh seorang utusan Salahuddin dan adik perempuan Salahuddin sendiri. Balian yang memerintah Jerusalem kemudiannya menyerahkan kota itu kepada Salahuddin kerana menyedari kelemahan tentera Kristian itu sendiri.

Beberapa pihak melihat filem ini sebagai refleksi terhadap apa yang sedang berlaku di Timur Tengah dan sikap pemerintah Bush sekarang ini. Scott barangkali hendak memberitahu bahawa keamanan boleh dicapai dengan adanya sikap sederhana daripada masyarakat Kristian dan Islam. Bagi Scott peperangan hanya digerakkan oleh kumpulan ekstremis. Jerusalem yang diperintah oleh Baldwin yang bersikap baik dan sederhana dengan orang Islam yang mahu beribadat telah berjaya mewujudkan keamanan, tetapi kekacauan dan peperangan tidak dapat dielakkan apabila kumpulan ekstremis yang diketuai oleh Lusignan dan Reynald sudah mula menguasai Jerusalem.

Barangkali filem ini juga merujuk kepada politik di Washington, antara golongan Neo-Conservative dengan golongan conservative, antara golongan yang lebih fanatik dan ekstrem dengan golongan yang lebih sederhana dan sedia berunding.

Ridley Scott tidak melihat Kingdom of Heaven sebagai arena peperangan sahaja sebagaimana filem epik lainnya, tetapi yang menjadi tumpuannya ialah elemen politik dan pergeseran antara watak-watak utamanya.

Walau bagaimanapun sebagai sebuah filem epik, Kingdom of Heaaven di tangan Ridley Scott jauh lebih baik daripada Troy dan Alexander. Adegan peperangannya yang dicipta dengan bantuan CGI tentunya, adalah adegan yang dihasilkan dengan cukup baik dan kelihatan realistik dalam konteks realiti. Adegan peperangannya yang cukup spektakular dengan angkatan mesin perang raksasa yang melontarkan bola-bola api seperti mana mesin pengebom dan adegan kecamok perang yang melibatkan ribuan kuda dan anggota tentera Salahuddin seramai 200,000 itu.

Bukan itu sahaja, rekaan produksi yang cemerlang berjaya menghasilkan set kota lama Jerusalem yang kelihatan begitu hebat.

Bagaimanapun apabila filem ini yang panjang asalnya tiga jam lebih dipendekkan kepada 2 jam 20 minit maka kelancaran plotnya agak terganggu. Hal ini jauh berbeza dengan filem Gladiator yang mana watak-wataknya yang jauh lebih menonjol.

Bagaimanapun Kingdom of Heaven membuktikan keupayaan Ridley Scott sebagai pengarah filem epik sejarah yang berani untuk kali ini mengangkat secara objektif dan seimbang sebuah peristiwa sejarah yang begitu sensitif bagi dua masyarakat Islam dan Kristian. Barangkali Bush dan Amerika perlu menonton filem ini dan cuba memahami mesej yang hendak disampaikan oleh Scott.

- Dipetik dari Utusan Malaysia, 17/5/05


__________________


Senior

Status: Offline
Posts: 435
Date:

askum,


nukilan penulis mcm citer ni best ..tak tau la...saya  tak tgk agik....sudah tgk baru leh komen...


harap adil utk semua...



__________________
There Can Be Triumph Without Loss, No Victory Without Suffering, No Freedom Without Sacrifice


Senior

Status: Offline
Posts: 234
Date:

filem ni memang bagus...tapi itulah yang saya ckap kan bdk2 bahaya tengok..mereka menerapkan objek salib dengan keaadaan bercahaya dan ini akan memasuki saraf mata kita dan membuatkan ia terpaku didalam kepala kita...strategi ni dah lame mereka buat..kalau tgk btul2 dari jauh lagi cahaya salib akan terpancar...dan semakin lame makin jelas...ini membuatkan saluran pandangan mata kita melakukan tafsiran beturut2 utk melihat imej itu...dgn cahaya yang terang ia akan memaparkan imej yang tetera didalam mata, hamba tak geti bab ni..nak terangkan pun susah...senang camnila kalu kita dalam gelap..pastu tgk lampu...mata kita ada satu efect yang memaparkan cahaya tu walaupun lampu tu padam ...paham2laaa.tak geti nak ckp soriiiiii.....ade yang paham cuba terangkan..ampun dan maaf..

-- Edited by natural at 11:37, 2005-05-18

__________________
...


Senior

Status: Offline
Posts: 145
Date:

uikh... dasyat giler ulasan-ulaan yang diberikan oleh anda semua.. boleh jadi pengulas dalam tv ar...heheh apa2 pon, tima kasih atas ulasan anda semua sebab dari sini kita dapat lagi input bagi yang masih belum tengok kat wayang lagi... tapi, yang tengok cd, tak kira ar..gi tenggok wayang ar woi!! heheh a'kum...

-- Edited by dean at 18:57, 2005-05-18

__________________


Guru

Status: Offline
Posts: 890
Date:

wayang, wayang, wayang. dah namapun wayang.


__________________
f l a s h 'd' d a y z
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard