Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Fikrah: Keaslian al-Quran terpelihara


Senior

Status: Offline
Posts: 338
Date:
Fikrah: Keaslian al-Quran terpelihara


Assalamualaikum ...


AL-QURAN al-Karim yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW – nabi dan rasul terakhir, adalah kitab suci yang akhir sekali yang memansuhkan kitab suci yang terdahulu daripadanya.


Oleh itu, apabila ada pihak yang mempersenda dan menghina al-Quran, umat Islam marah dengan tindakan itu.

Mereka sanggup mempertahankan kesucian al-Quran daripada dicemarkan oleh mana-mana pihak.

Al-Quran diturunkan Allah kepada Baginda ketika umat manusia, terutama kaum Yahudi dan Nasrani berada dalam persengketaan dan perselisihan dalam pelbagai masalah, termasuk ketuhanan dan kerasulan. Masing-masing pihak mendakwa mereka pada pihak benar dan menyalahkan yang lain.

Al-Quran antara lain, mempunyai dua tugas besar.

Pertama, mengakui kebenaran yang terkandung dalam kitab suci terdahulu daripadanya mengenai beribadat kepada Allah semata-mata; beriman kepada rasul-Nya; menjalankan kebenaran dan keadilan; berakhlak dengan sifat mulia serta mengakui benar adanya balasan pada hari akhirat.

Kedua, mengawasi kitab itu (Taurat, Injil dan Zabur) serta mendedahkan perubahan, pindaan dan tokok tambah dalamnya, yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.

Hakikat ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud:

“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab al-Quran dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab suci yang terdahulu daripadanya dan untuk memelihara serta mengawasinya...” (Surah al-Maidah, ayat 48)

Firman-Nya bermaksud : “Antara orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) kalam Allah (isi kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar...”46) (Surah an-Nisa, ayat

Allah berfirman bermaksud: “Dan antara orang yang berkata: Bahawa kami ini orang Nasrani. Kami juga mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian daripada apa yang diperingatkan mereka dengannya...” (Surah al-Maidah, ayat 14)

Jelasnya, sesiapa yang hendak mencari kebenaran dan mencapai pengajaran Ilahi yang benar, tidak akan mendapatnya di mana-mana pun, selain yang terhimpun dalam al-Quran. Hal ini kerana al-Quran adalah kitab suci yang terpelihara keasliannya dan terselamat pengajarannya daripada sebarang perubahan, pindaan dan tokok tambah. Ia juga disambut dan diterima oleh umat Islam daripada Nabi Muhammad, yang menerimanya daripada Jibril yang membawanya turun daripada Allah.

Al-Quran juga sebuah kitab yang terhimpun dalamnya:


  • Dasar suci dan mulia serta sebenar-benar cara dan sebaik-baik peraturan.


  • Segala yang diperlukan umat manusia meliputi akidah kepercayaan, amal ibadat, adab sopan dan bentuk muamalat (kira bicara dan perhubungan sesama manusia dalam bidang perniagaan, perusahaan dan sebagainya).


  • Segala peraturan menjamin wujudnya orang perseorangan yang sempurna, keluarga mulia, masyarakat baik dan kerajaan adil.

    Hakikat ini diterangkan oleh Allah dalam ayat 15 hingga 16, surah al-Maidah. Antara maksudnya:


  • Bahawa umat Nabi Muhammad datang kepada mereka – daripada Allah - seorang rasul selaku obor atau suluh yang menerangi pandangan hati nurani manusia, dan sebuah kitab al-Quran yang menyatakan segala yang dihajati oleh umat manusia untuk kesempurnaan dan kesentosaannya.


  • Bahawa melalui rasul dan kitab itu, Allah dengan peraturan dan undang-undangnya:

    (a) Menunjukkan jalan keselamatan hidup di dunia dan akhirat kepada sesiapa yang menerima dan menurut peraturan dan cara bawaan hidup yang direda-Nya.

    (b) Mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kufur, kejahilan, maksiat dan sebagainya kepada sinaran cahaya iman, ilmu pengetahuan, amal ibadat dan perkara mulia.

    (c) Memimpin manusia ke jalan yang tidak ada kebimbangan sesat bagi sesiapa yang melaluinya dan tidak pula berat atau payah dijalani, iaitu jalan “as-Siratal Mustaqin” yang benar lurus.

    Hakikat itu juga ditegaskan Rasulullah dalam hadisnya bermaksud:

    Daripada Ali, katanya: “Ingatlah! aku mendengar Rasulullah bersabda: Awaslah! Sesungguhnya akan berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar.” Aku bertanya: “Apakah caranya untuk menyelamatkan diri daripada bencana itu, ya Rasulullah?”

    Baginda menjawab: “(Caranya adalah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah perihal umat terdahulu daripada kamu, dan berita perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum mengenai apa yang berlaku antara kamu; (kitab Allah al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa juga dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari petunjuk daripada yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah; al-Quran adalah tali Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan ulama pula tidak berasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan.

    Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin ketika mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakan sesuatu dengan berdasarkan kitab itu, benarlah perkataannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajarannya, sudah tentu dia (dan mereka) beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Darimi).


  • __________________
    Setulang Daing Bukit Rambai Melaka.


    Senior

    Status: Offline
    Posts: 435
    Date:

    askum,


    Good tazkirah...i like it....



    __________________
    There Can Be Triumph Without Loss, No Victory Without Suffering, No Freedom Without Sacrifice
    Page 1 of 1  sorted by
     
    Quick Reply

    Please log in to post quick replies.

    Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


    Create your own FREE Forum
    Report Abuse
    Powered by ActiveBoard