SEKADAR Berpendapat adalah koleksi dan buah fikiran dicetuskan oleh Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid yang dibukukan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 1992 hingga sekarang.
JUDUL: Sekadar Pendapat PENULIS: Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid TERBITAN: Institut Kefahaman Islam Malaysia PENGULAS: Jami’ah Shukri
Dalam tempoh itu beliau aktif dan boleh dikatakan mengambil bahagian secara langsung dalam setiap seminar atau forum anjuran IKIM sebagai pembentang kertas kerja, perasmi majlis atau penyampai ucaptama.
Dengan pengetahuan dan pengalaman luas, terutama dalam bidang awam, beliau tidak mensia-siakan kesempatan itu untuk dikongsi bersama orang ramai.
Buku Sekadar Pendapat adalah buktinya. Buku ini mengandungi ucapan terpilih ketika beliau merasmikan seminar di IKIM sama ada pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
Buku ini turut mengandungi beberapa ucapannya yang disertakan dengan ulasan kepada persoalan dan cadangan dalam bentuk kreatif dan bernas. Ia sesuai dijadikan bahan pemangkin untuk mencambah atau mencetuskan idea serta pemikiran baru dalam bidang berkenaan.
Jika diteliti sepenuhnya, Sekadar Berpendapat mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri untuk dijadikan bahan rujukan yang baik dengan topik dan isu yang disentuh bersifat semasa. Kompilasi buku ini menyentuh urusan pembangunan keperibadian dan sikap; hal ehwal kemasyarakatan dan kenegaraan; memantapkan pembangunan; pengurusan sumber ekonomi manusia demi kejayaan masyarakat dan negara.
Buku Sekadar Berpendapat ini diklasifikasikan berdasarkan kepada pengkhususan tersendiri. Secara keseluruhan buku ini mengandungi sembilan bahagian utama dengan 35 bab.
Bahagian Pertama mengandungi dua bab antara lain membincangkan kedudukan Malaysia dalam konteks sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai penduduk berbilang agama dan bangsa menerusi tajuk Malaysia - Masyarakat Pelbagai Kaum. Sebagai sebuah negara pelbagai etnik, penerangan bertumpu kepada hak dan tanggungjawab pelbagai kaum yang menghuni dalamnya. Begitu juga persamaan dan keadilan sejagat menjadi aspek penting dalam mewujudkan perpaduan sesama mereka.
Beberapa isu lain turut diperbahaskan seperti urusan pentadbiran agama Islam di Malaysia; sistem perundangan dan kehakiman Islam serta usaha dakwah dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi.
Sejarah tamadun dunia menerima hakikat bahawa kedatangan Islam membawa kehidupan manusia ke arah pembangunan dan kemajuan. Serentak itu, Bahagian Tiga, buku ini mengupas mengenai pembangunan dari perspektif Islam. Ia juga membincangkan pencapaian serta kemajuan ekonomi umat Islam di negara ini dilakukan sejak bermula Dasar Ekonomi Baru sehingga kini termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Seterusnya, ruang lingkup pengurusan dan pentadbiran menjadi lebih luas selepas disingkap dari perspektif Islam sebagaimana dibincangkan dalam Bahagian Empat (Bab 10 hingga 15) bertajuk Pengurusan dan Pentadbiran Dari Perspektif Islam.
Ahmad Sarji juga mengangkat martabat, kedudukan serta mengiktiraf golongan wanita, remaja dan belia dengan membincangkannya secara meluas dalam Bahagian Lima dan Enam. Beliau beranggapan golongan berkenaan adalah aset berharga dalam Islam. Mereka turut diiktiraf dari segi hak, peranan dan tanggungjawab untuk membangunkan ummah dan negara.
Kupasan itu memberi gambaran bahawa pembinaan sesebuah keluarga yang dilandaskan dengan nilai murni Islam bertepatan dengan konsep Islam Hadhari menerusi prinsip pembangunan keluarga dan masyarakat.
Perkara lain yang disentuh Ahmad Sarji dalam buku ini termasuk kepentingan sains dan teknologi dalam meningkatkan martabat dan kewibawaan ummah. Isu alam sekitar dan hubungan dengan manusia turut disentuh dalam buku ini.
Akhir sekali, Bahagian Sembilan buku ini dengan tajuk utamanya Fitrah Hidup Insan Dari Perspektif Islam, menerangkan fitrah dan naluri semula jadi setiap insan untuk berhibur dan bergembira.
Keseluruhannya buku ini adalah khazanah berharga kerana ia mengandungi bahan yang melambangkan kesempurnaan Islam yang membawa kepada kecemerlangan bagi membentuk tamadun berwibawa demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
__________________
surah 26. Asy Syu'araa' 214
"Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat"