Dalam persiapan diri menuju hari bahagia, aku ada terbaca artikel tentang menziharkan isteri.Makin banyak aku pelajari, makin banyak pulak yang aku tidak ketahui.
"Eh tengok muka anak kita sayang, macam muka sayang. Tengok matanya, hidungnya, bibirnya, semua macam mama dia," kata si suami kepada isterinya yang baru melahirkan anak sulung mereka. Fenomena ini memang biasa terjadi dalam masyarakat kita. Sedangkan tidak ramai yang tahu apabila seorang suami melafazkan kata-kata sedemikian, hukumnya adalah berdosa besar.
Kata-kata seperti di atas disebut 'zihar' yang dari segi bahasanya bermaksud, ucapan atau lafaz suami yang menyerupakan isterinya dengan ibunya sehingga haram dia menyetubuhi isterinya dalam keadaan sedemikian. Namun, tidaklah sehingga jatuh talak dan menyebabkan pasangan itu mesti bercerai.
Hukum zihar berlaku apabila seseorang itu telah memenuhi empat rukun seperti berikut, telah menjadi suami dan isteri (belum bercerai atau isteri yang dalam keadaan iddah) yang sah, orang yang disamakan dengan isterinya adalah mahram suami dan lafaz zihar secara terang-terangan atau sindiran (melalui tulisan, mahupun bahasa isyarat yang boleh difahami).
Allah s.w.t telah berfirman, yang bermaksud:
"Orang-orang yang menziharkan isterinya di antara kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tiada lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya, mereka sungguh-sungguh mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Hukum zihar akan jatuh apabila suami mempunyai pertalian darah dengan empat kategori mahram iaitu, kategori secara keturunan, ibu tiri, secara susuan dan ibu mentua. Mereka yang tergolong dalam kategori secara keturunan, ialah ibu kandung suami, nenek kandung suami, anak saudara perempuan suami, anak saudara perempuan isteri, cucu saudara perempuan suami, adik-beradik perempuan suami (termasuk adik tiri sama ada sebelah ibu atau sebelah bapa), ibu saudara suami, anak kandung, anak suami (anak tiri isteri) dan anak isteri (anak tiri suami).
Syarat bagi kategori ibu tiri pula, (yang hanya boleh jatuh ziharnya) ialah seseorang lelaki itu telah mempunyai ibu tiri sebelum kelahirannya ke muka bumi ini. Hanya ibu tiri ini yang tidak boleh disamakan dengan isterinya.
Akan jatuh ziharnya jika si suami menyamakan anggota si isteri dengan nenek susuan (ibu susu kepada bapa atau ibu suami), kerana ketika itu si suami belum dilahirkan ke dunia ini. Tetapi tidak jatuh zihar, jika suami menyamakan anggota isteri dengan ibu susuan suami kerana ketika itu si suami telahpun lahir ke dunia. Juga tidak jatuh zihar, apabila si suami menyamakan isteri dengan adik-beradik sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan baik dari sebelah ibu susu mahupun bapa susu.
Kedudukan ibu mentua kepada suami adalah seperti ibu kandungnya juga. Dan ibu mentuanya itu adalah mahram yang kekal biarpun si isteri telah meninggal dunia. Apabila si suami melafazkan zihar ke atas isterinya yang menyerupai ibu mentuanya, maka jatuh zihar itu.
Adapun begitu, zihar hanya akan jatuh apabila si suami melafazkannya. Jika ia hanya terdetik di dalam hati, maka tidak jatuh zihar ke atasnya. Zihar hanya akan jatuh apabila si suami menyamakan anggota badan isterinya seperti muka, mata, tangan, kaki, telinga, bibir, hidung dan sebagainya dengan anggota badan mahramnya. Manakala anggota-anggota batin seperti jantung, hati, akal, air mata, peluh dan sebagainya tidak termasuk dalam lafaz zihar dan tidak jatuh zihar ke atasnya. (Isteri yang melafazkan zihar kepada suaminya tidak jatuh zihar tersebut.)
Firman Allah s.w.t, yang bermaksud:
"Orang-orang yang telah menziharkan isteri mereka dan kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan itu, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Syarat yang pertama untuk membersihkan dosa dari kesalahan zihar ialah memerdekakan seorang hamba. Berikutan kemodenan negara kini, sistem perhambaan sudah tidak ada, maka dengan sendirinya syarat pertama tidak boleh dipakai. Dengan itu suami tersebut perlulah menjalani syarat yang kedua, iaitu berpuasa selama dua bulan berturut-turut.
Dalam syarat yang kedua ini, si suami tidak boleh meninggalkan walau seharipun puasanya dalam tempoh 60 hari tersebut. Jika tidak, si suami perlulah mnegulanginya semula. Seperti contoh, si suami telah berpuasa selama 59 hari, tetapi pada hari tersebut si suami mengalami sakit yang amat sangat, dan memaksanya berbuka kerana dikhuatiri akan memudaratkan dirinya. Oleh kerana pada hari yang ke-59 si suami telah berbuka puasa, maka dia wajib mengulangi puasanya semula dan 58 hari puasanya sebelum dia jatuh sakit, akan terbatal. Apa yang perlu diingatkan ialah suami tidak boleh menyetubuhi isterinya selama tempoh berpuasa tersebut. Jika si suami tidak juga mampu untuk berpuasa selama dua bulan berturut-turut, maka bolehlah dia beralih kepada syarat yang ketiga.
Syarat yang ketiga ialah membayar 60 cupak beras kepada 60 orang fakir miskin yang layak menerima zakat fitrah. Jika tidak mampu untuk memberi sekaligus, maka bolehlah diansur-ansur membayarnya, sehingga habis 60 cupak beras itu. Setelah habis membayarnya, barulah dia boleh menyetubuhi isterinya.
Cerai bukanlah penyelesaian masalah. Biarpun pasangan suami isteri itu bercerai (talak satu misalnya) hanya kerana hendak menghapuskan hukum kafarah zihar, dan akan menikahi semula isterinya sebaik sahaja telah tamat tempoh iddah, maka apabila mereka bersetubuh, maka zinalah perbuatan mereka dan berlipat gandalah dosa mereka berdua hanya kerana denda bagi kesalahan yang pertama belum dilaksanakan.
Demikianlah satu lagi pengajaran buat kita semua umat Islam. Jagalah setiap perkataan yang keluar dari mulut kita, kerana mungkin perkataan itu akan mengundang murka Allah, tanpa kita sedari.
Zihar bermaksud menyamakan isteri dengan salah seorang perempuan yang haram dikahwininya samada ibu , adik atupun ibu saudara .
Lafaz zihar terbahagi kepada dua :
Sarih ( terus terang ) : iaitu lafaz yang menunjukkan kepada zihar secara jelas seperti kamu seperti belakang ibuku . ( maksud belakang menunjukkan bahawa si isteri seolah-olah tunggangan bagi suami ) . Jadi inilah makna asal zihar yang digunakan di zaman Jahiliyyah apabila hendak menceraikan isteri mereka . Apabila lafaz ini diunggapkan maka ia dianggap sebagai zihar walaupun bersama niat ataupun tidak .
Kinayah ( sindiran ) : iaitu lafaz yang mempunyai kemungkinan makna zihar ataupun tidak seperti berkata : kamu padaku seperti ibuku ataupun kakakku .
Apabila lafaz ini diungkapkan , sekiranya ia berniat zihar maka ia menjadi zihar . Tetapi sekiranya ia hanya sekadar untuk menunjukkan kepada kekaguman maka ia tidak dianggap zihar .