Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: ISLAM: ANTARA MELAYU DAN CINA (maaf sedikit panjang)


Senior

Status: Offline
Posts: 165
Date:
ISLAM: ANTARA MELAYU DAN CINA (maaf sedikit panjang)


ISLAM: ANTARA MELAYU DAN CINA

Oleh
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
moasriza@yahoo.com

Kadang kala penggunaan istilah yang salah boleh membawa kesan yang
sangat buruk kepada kefahaman orang lain terhadap sesuatu perkara.
Lebih malang lagi jika ianya membabitkan kefahaman orang terhadap
agama. Dalam pemerhatian saya, antara fahaman yang buruk yang
membabitkan agama ialah menjadikan melayu nama ganti kepada Islam, dan
cina sebagai ganti kepada kafir. Maka ada orang melayu yang menyatakan
kepada orang yang baru menganut Islam "masuk melayu", atau kadang kala
mereka sebut "bukan Islam, cina!!". Seakan-akan bagi mereka cina
mewakili kafir, melayu mewakili Islam. Sehingga lebih buruk lagi
apabila mereka melebel sepanjang hayat seorang bukan muslim yang
berbangsa cina jika menganut Islam sebagai muallaf , lebih buruk dalam
loghat utara 'mat loh'.

Seakan-akan hanya melayu sahaja yang dapat jadi muslim sejati, adapun
seorang cina walau macamana kuat pun Islamnya, dia tetap dianggap
sebagai menumpang atau 'tidak asli'. Padahal banyak orang cina yang
menganut Islam dan keislaman mereka begitu baik, dan berapa banyak
pula orang melayu yang lahir dalam keluarga muslim, namun keislaman
mereka harus dan wajar dipertikaikan.

Kain pelikat, baju melayu dan sampin bukan pakaian Nabi s.a.w. Namun
orang melayu menganggap ianya pakaian berunsur agama, kerana ianya
budaya melayu. Ya!Islam juga tidak menghalang budaya yang tidak
menyanggahi nas-nasnya. Namun seketika dahulu orang melayu menganggap
salah jika makan dengan 'cop stick', kerana ianya menyamai budaya
orang cina. Walaupun tiada beza antara makan dengan cop stick dengan
makan menggunakan sudu dan garpu Inggeris. Apa yang Nabi s.a.w. suruh
ialah menyebut nama Allah, menggunakan tangan kanan dan makan bahagian
yang sudah diperuntukkan, atau yang hampir. Ini seperti sabda Nabi
s.a.w kepada 'Umar bin Abi Salamah waktu dia hendak makan, ketika itu
dia masih kecil: "Wahai budak! Sebutlah nama Allah, makan dengan
tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu". (Riwayat al-Bukhari
dan Muslim).

Orang melayu akan suruh orang cina yang menganut Islam menukar nama
mereka, lalu diganti dengan nama arab. Seakan nama seperti Ah Chong,
Ah Seng, Lim, Koh, mewakili kekufuran. Mungkin kerana tidak berbunyi
arab, lalu orang melayu rasa janggal. Malangnya orang melayu tidak
merasa janggal dengan nama Awang, Leman, Seman dan yang seumpamanya
yang semuanya bukan bahasa arab. Bahkan banyak nama melayu yang tidak
ada makna pun dalam bahasa arab. Lebih daripada itu, ada yang maknanya
buruk jika diterjemahkan ke dalam dalam bahasa arab. Pun tidak mengapa
kerana itu nama-nama pilihan melayu. Apakah melayu itu Islam, Islam
itu melayu!!. Nabi s.a.w sendiri tidak menyuruh mereka yang menganut
Islam pada zaman baginda mengubah nama, melainkan nama-nama yang
membawa makna yang tidak baik. Nama 'Umar itu sejak zaman jahiliyyah
lagi dan itulah namanya apabila dia menganut Islam.
Demikian juga kebanyakan para sahabah yang lain. Saya tidak membantah
orang cina yang ingin mengubah nama. Apatah lagi jika dengan mengubah
nama itu menjadikan mereka kelihatan hampir dengan masyarakat Islam di
seluruh peringkat. Namun mereka mesti diberi pilihan. Jika mengubah
nama menjadikan orang cina yang non-muslim takut untuk menganut Islam,
seakan terbuang dari keluarganya yang asal dan hilang hubungan
kerabat, apa salahnya mereka kekal dengan nama asal?!!. Jika Awang
boleh kekal, mengapa Ah Chong tidak?!!.

Anggapan yang men'seiras'kan Islam dengan watak melayu sangat buruk
kesannya dalam banyak hal. Apatah lagi apabila watak bangsa melayu
sekarang sebahagiannya bertentangan dengan Islam. Sementara banyak
watak bangsa cina banyak padanya akhlak dan tabiat yang dipuji oleh
Islam. Cumanya kelebihan yang tidak dapat dipertikaikan, ramai orang
melayu bariktikad dengan akidah Islam berbanding dengan orang cina di
Malaysia ini. Aqidah yang sahih adalah penyelamat utama kehidupan
akhirat. Namun tidak boleh dinafikan, ramai melayu yang hanya bernama
dengan nama seorang muslim, sedangkan keimanannya kepada Allah dan
RasulNya kadang-kala telah lama musnah. Betapa banyak melayu melakukan
syirik, mempersendakan hukum-hakam Allah dan sunnah RasulNya. Melayu
jenis ini hanya bernama dengan nama muslim, tetapi tidak berada dalam
daerah iman, atau dalam kata lain terbatal imannya.

Orang cina pula, disebabkan fonomena sejarah, menjadikan majoriti
mereka tidak menganut Islam. Seruan Islam mungkin tidak jelas sampai
ke pengetahuan mereka. Ditambah lagi orang melayu yang menganut Islam
ini tidak menyampaikan dakwah yang jelas. Sebaliknya dalam banyak hal
mempertontonkan kepada mereka watak-watak yang menyanggahi Islam.
Orang melayu boleh berbincang bermacam-macam perkara dengan orang
cina, termasuk mengajak undi parti pilihan mereka. Namun mereka tidak
mampu membincangkan mengenai kehebatan Islam, dan mengajak orang cina
menganut agama pilihan mereka. Bahkan sikap-sikap melayu yang banyak
tidak seiras dengan Islam telah menjadikan sebahagian besar orang cina
salah faham terhadap Islam, atau merasa jelek untuk menganut Islam.

Sifat 'tidak rajin', kurang berusaha, berdendam kesumat dan
seumpamanya adalah sifat-sifat yang diperangi oleh Islam. Malangnya,
banyak sifat-sifat ini terlihat pada diri masyarakat melayu. Ramai
pelajar melayu yang lemah serta ketinggalan dalam pelajaran dan ilmu
pengetahuan. Jika mereka bersaing dengan pelajar cina, samada di
sekolah atau universiti, dalam banyak keadaan pelajar melayu
kecundang. Hinggakan dalam persoalan ilmu-ilmu Islam, orang melayu
tidak berminat dengan ilmu Islam yang tulen. Mereka lebih minat
cerita-cerita Israiliyyat, cerita dongeng, petua-petua yang tidak
bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka lebih suka maklumat yang
diperolehi secara mudah tanpa fikir dan kaji.
Perpustakaan-perpustakaan awam dan buku-buku, nisbah orang melayu yang
mengguna dan membaca masih lagi nipis. Lebih buruk lagi, dalam masa
pelajar-pelajar cina berusaha dalam pelajaran mereka, pelajar-pelajar
melayu ramai pula yang cuai. Namun begitu apabila hampir kepada tarikh
peperiksaan sesetengah ibubapa melayu akan mencari kismis jampi atau
air jampi ustaz untuk menghasilkan keputusan yang cemerlangan.
Hasilnya, apabila keputusan peperiksaan keluar, pelajar yang berusaha
tentu lebih cemerlang daripada yang hanya bergantung dengan air atau
kismis jampi. Kalau orang cina yang belum Islam tersalah faham tentang
Islam dengan menganggap perbuatan pelajar melayu yang bergantung
dengan air yang dianggapnya agama Islam, lalu mendapat keputusan yang
kurang baik daripadanya, tentu dia menolak Islam.

Islam tidak mengajar hanya berjampi untuk menjadi cerdik. Dalam hadith
ada beberapa orang sahabah yang dido`akan oleh Nabi s.a.w. agar
diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabah yang masih muda
Ibn 'Abbas r.a.huma yang baginda doakan untuknya : "Ya Allah!
Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran).(Riwayat al-Bukhari). Ibn 'Abbas
benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, penafsir al-Quran
dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn 'Abbas
bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang
bergolek, sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam
berusaha memperolehi ilmu. Selain daripada berkesempatan mengambil
ilmu secara langsung daripada baginda s.a.w selama tiga puluh bulan.
Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn 'Abbas tiga belas tahun. Beliau
terus mengambil hadith daripada para sahabah seperti 'Umar ibn
Khattab, 'Ali, Mu'az, bapanya sendiri iaitu 'Abbas, 'Abd al-Rahman bin
'Auf, Abu Sufyan, Abu Zar, Ubai bin Ka'b, Zaid bin Thabit dan lain.
Berguru al-Quran dengan Ubai bin Ka'b dan Zaid bin Thabit. (lihat:
al-Zahabi, Siyar 'Alam al-Nubala`, 3/332-337, cetakan: Maktabah
al-Risalah, Beirut).

Ertinya terlaksananya kehendak Allah dengan peraturan yang Allah
tentukan untuk alam ini, iaitu sebab musabab. Ilmu datang dengan usaha
dan kesungguhan. Para ulama seperti al-Imam al-Bukhari (w. 256H),
al-Imam al-Syafi'I (w. 204H), Ibn Taimiyyah (w. 728H) dan seumpama
mereka, mereka menjadi jaguh ilmu setelah bersungguh-sungguh untuk
mendapatkannya. Ditanya al-Imam al-Syafi'i. Dalam Tawali al-Ta`nis bi
Ma'ali Muhammad bin Idris karangan Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852H);
kata Ibn Abi Hatim: "Aku mendengar al-Muzani (murid besar al-Imam
al-Syafi'I) berkata: "Ditanya kepada al-Syafi'I: Bagaimana perasaan
inginanmu terhadap ilmu?. Jawabnya: "Apabila aku mendengar satu
perkataan yang belum pernah aku dengar, maka seluruh anggota inginkan
jika mereka memiliki pendengaran agar dapat menikamati apa yang
dinikmati oleh kedua telinga". Bagaimana halobamu terhadap ilmu?.
Jawabnya: "Seperti haloba pengumpul harta yang begitu menjaganya dalam
mencapai kelazatan hartanya". Bagaimana keadaan engkau mencari ilmu?.
Jawabnya : "Seperti pencarian seorang wanita yang kehilangan anak
tunggal". Demikianlah juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang disebut
oleh muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim (w. 751H) bahawa karangan gurunya
mencapai 350 buku. Beliau dikatakan sentiasa mendampingi ilmu.
Hidupnya dengan ilmu. Dalam Raudah al-Muhibbin Ibn al-Qayyim menyebut
: "Syeikh kami (Ibn Taimiyyah) menceritakan kepadaku: "Apabila aku
sakit, tabib menyatakan kepadaku : "Sesungguhnya mentelaahmu dan
cakapmu dalam ilmu pengetahuan menambahkan sakitku". Jawabku:
"Sesungguhnya aku tidak sabar untuk itu. Aku ingin menilai pandanganmu
dengan ilmu perubatanmu; tidakkah jiwa apabila ia gembira dan suka
maka tabiatnya menjadi kuat dan menolak penyakit?". Jawab dia: "Ya".
Aku berkata: "Sesungguhnya diriku bergembira dengan ilmu, maka
tabiatnya menjadi kuat, lalu aku mendapati kerehatan".


Demikianlah para ulama yang cemerlang. Mereka tidak bergantung kepada
air jampi atau pensel dan pemadam jampi sebelum memasuki peperiksaan.
Juga tidak air surah Yasin yang masyarakat melayu sering meminum
airnya dengan melupakan kandungan ayatnya. Generasi lalu cemerlang
kerana mementingkan ilmu dan ikhlas kepada Allah dalam menuntutnya.
Bukan hanya mementingkan sijil. Sikap mereka yang ikhlas terhadap ilmu
dan berusaha agar benar-benar cemerlang dalam bidang yang diceburi
membawa Islam gemilang dan terbina tamadun ilmunya.

Ramai anak melayu yang hanya mementingkan sijil tetapi tidak kualiti
ilmunya. Akhirnya ramai yang mendapat sijil, namun tidak tertonjol
kualitinya. Maka lahirlah golongan yang tiada sijil dan ada ilmu,
dalam masa yang sama yang lebih malu ialah golongan yang ada sijil,
tiada ilmu. Ini kerana mungkin mereka membaca sekadar untuk menjawab
peperiksaan, apabila tamat peperiksaan ilmu pun hilang. Kalaulah air
jampi benar-benar berfungsi tanpa perlukan kesungguhan ilmu tetapi
akan betul dalam peperiksaan, maka itu tentu akan melahirkan lebih
ramai pelajar lulus atau berjaya tanpa ilmu.

Kita kadang-kala patut memuji masyarakat cina. Ada anak-anak orang
cina yang tidak tinggi persekolahan mereka, tetapi mempelajari sesuatu
bidang dengan tekun sekali tanpa sijil. Mereka samada mewarisi ilmu
ibubapa mereka, atau membelajarinya secara praktikal daripada orang
lain. Maka ramai mekanik cina yang sijilnya tidak tinggi tetapi maju.
Demikian juga kebanyakan taukeh-taukeh besar cina yang pakar dalam
berbagai-bagai bidang peniagaan sekalipun tanpa sijil rasmi. Mereka
terus mencari peningkatan. Tabiat kesungguhan ini adalah sesuatu yang
disukai oleh agama. Agama menggalakkan agar kita sentiasa bergantung
kepada Allah dan menambah ilmu. Firman Allah (maksudnya) "Katakanlah:
Wahai tuhan! Tambahkan daku ilmu" (Surah Taha:113).

Walaupun ustaz melayu dan orang melayu selalu membaca hadith palsu
"Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China" (Ini hadith yang palsu
seperti yang disebut oleh para ulama. Lihat: Al-Jarrahi, Kasyf
al-Khafa` 1/138, cetakan Dar Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut/ / Nasir
al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha`ifah wa Al-Maudu`ah, 1/600, cetakan:
Maktabah al-Ma`arif, Riyadh.). Orang cina tidak membaca hadith palsu
ini, namun mereka bertungkus lumus menuntut ilmu. Budaya membaca di
kalangan orang cina lebih kuat daripada orang melayu.

Islam agama yang hebat. Agama yang mengajar penganutnya amanah, dan
tepat janji. Kalau seorang berniaga dia amanah dan tepat. Islam
pentingkan kebersihan sehingga mensyaratkan kesucian dan kebersihan di
dalam solat seorang muslim. Diharamkan perkara yang keji atau jelik.
Diharamkan mendatangi isteri ketika haid. Diharamkan bangkai dan
kekotoran. Ini semua membimbing seorang hidup muslim. Lihat
firman-firman berikut :

Firman Allah dalam menggambarkan ciri-ciri mukmin sejati : (maksudnya)
"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya" (Surah al-Mu`minun:

Firman Allah tentang mengharamkan perkara-perkara yang jelik
(maksudnya) : "Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad
s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan
sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia
menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka
daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi
mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala
benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan
belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang
beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut
nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah
orang-orang yang berjaya. (Surah al-'Araf :157)

Sabda RasululLah s.a.w : "Jauhilah neraka walaupun dengan (bersedekah)
setengah biji tamar. Jika kamu tidak dapati, maka dengan perkataan
yang baik". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam perniagaan jika ruh dan semangat ini dibawa bersama, tentu orang
melayu yang beragama Islam akan maju. Kedai atau perniagaannya
tentunya bersih, barangannya terjamin halal, janjinya tepat, dan
penampilannya di hadapan pelanggan memuaskan hati. Ini membawa
keberkatan dan sekaligus dengan izin Allah kemajuan dalam
perniagaannya. Malangnya, ramai melayu yang tidak mengambil ruh Islam
dalam usahanya, sebaliknya ada yang percayakan kemunduran
perniagaannya hanya kerana "buatan orang" atau "angkara dibomohkan".
Saya tidak menolak wujudnya sihir. Al-Quran dan al-Sunnah mengakui
kewujudannya dengan izin Allah. Namun setiap kali seseorang itu tidak
laris atau bermasalah, dikaitkan dengan sihir yang sebahagian besarnya
adalah dogengan bomoh, lalu dituduh orang itu dan ini. Beratus,
mungkin beribu ringgit pulak terpaksa dibelanjakan untuk menaja jampi
penangkis daripada bomoh-bomoh yang dianggap handal. Saya pernah ke
sebuah kedai makan, lalu dia mengadu kepada saya bahawa kedainya kena
sihir sehingga tidak laku. Saya secara kebetulan –alhamdulillah-
mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai sihir dan cara
mengatasinya, mendapati tiada kesan-kesan boleh diangggap begitu.
Sebaliknya, apa yang saya dapati, pengurusannya lembab, kurang bersih
dan makanannya tidak enak. Dia melupakan ini semua lalu menuding jari
ke pihak lain. Kalau benar ada bomoh yang hebat sehingga
membangkrapkan peniagaan orang lain, suruh sahaja dia membangkrap
barangan Amerika, tidak susah-susah kita nak boikot.

Bagaimana mungkin dalam keadaan seperti ini orang melayu ingin membawa
Islam kepada orang cina yang belum muslim dan menceritakan Islam telah
membentuk insan menjadi berkualiti. Sebaliknya, ramai peniaga cina
jika dibandingkan dengan peniaga melayu lebih berkualiti pengurusannya
dan menampilkan ciri-ciri yang boleh dibangga oleh pelanggan. Sehingga
ramai orang melayu sendiri lebih percaya dalam banyak perkara kepada
kualiti peniaga cina daripada bangsanya sendiri. Di mana 'Abd
al-Rahman bin 'Auf , sahabi yang selalu dicanangkan sebagai contoh
kepada umat Islam dalam perniagaan?!!. Mungkin orang cina yang
majoritinya bukan muslim lebih menghayati watak tersebut daripada
melayu.

Kebelakangan ini sudah agak ramai orang melayu yang terlibat dengan
perniagaan dan menghasilkan keluaran sendiri. Namun jika kita
perhatikan ianya masih dalam lingkungan yang sama. Kebanyakannya
keluaran orang melayu masih berkaitan dengan ubat. Paling tidak
dilupai ubat tenaga batin. Ada yang jual kismis jampi, kononnya dengan
memakan akan jadi jadi cerdik dan bijak. Sebenarnya tiada satu hadith
yang sahih pun yang menyebut demikian. Namun apa yang saya bimbang,
orang akan menganggap orang melayu kebelakangan ini penuh dengan
berbagai penyakit badan dan kelemahan akal. Dimanakah tanggungjawab
fardu kifayah untuk memenuhi umat jika perniagaan kita masih sekitar
"tenaga batin?!!".

Dalam ceramah agama, ada ramai juga ustaz-ustaz melayu masih lagi
bermodalkan cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliyyat
dan hadith-hadith palsu yang dibaca di dalam masjid dan surau, mereka
menokok tambah kejadian-kejadian pelik untuk menarik perhatian
pendengar. Cerita mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan. Dengan
tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah
menunjukkan Allah tidak bertindak kepada umat NabiNya yang akhir
seperti mana kepada umat yang sebelumnya. Kalau Allah mahu, tentu
mayat Abu Jahal, atau Abu Lahab terlebih dahulu akan menjadi contoh.
Kedua-dua tokoh kekufuran itu, tidak juga mati terkejut, atau kerana
penyakit misteri disebabkan kejahatan mereka. Sebaliknya kaum
musliminlah yang berjihad dan menghapuskan keduanya di medan
pertempuran. Islam meminta usaha, bukan menunggu tindakan Allah tanpa
usaha. Firman Allah mengenai cabaran musyrikin terhadap Nabi s.a.w
(maksudnya): "Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman
kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan bagi kami
matair dari bumi. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari
pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan
sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar
terus-menerus. Atau engkau gugurkan langit berkeping-keping ke atas
kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga)
engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau
(sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau
(sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan
percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada
kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya. Katakanlah (wahai
Muhammad): "Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia
yang menjadi Rasul?". Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik
itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk,
melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga)
mereka berkata dengan hairan: "Patutkah Allah mengutus seorang manusia
menjadi Rasul?" (Surah al-Isra`: 90-94).

Demikian baginda s.a.w sendiri tidak mampu membuat apa yang dicabar
tanpa keizinan Allah. Mereka meminta langit berkeping-keping turun ke
atas kepada mereka, namun menjawab "Aku hanya seorang insan yang
diutuskan menjadi rasul". Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana tidak pula
memusnahkan kaum musyrikin dengan apa yang mereka minta, sebaliknya
dijadikan kemusnahan mereka melalui sebab perjuangan golongan yang
beriman. Apa yang pelik sesetengah ustaz atau penceramah agama itu
membawa cerita yang jauh berbeza dengan tabiat sirah Nabi dan para
sahabah. Kononya orang ini mayatnya jadi begini kerana tidak datang
masjid, atau kerana terlalu kedekut dan seumpamanya. Yang ini pula
tangannya lumpuh, atau berpenyakit badan kerana tidak mahu pergi haji.
Mereka mengandaikan perkara yang tidak pasti. Boleh jadi seseorang
yang sakit itu kifarah Allah ke atasnya kerana dosa tertentu. Namun
boleh jadi juga di atas hikmah yang lain. Ramai orang salih juga
sakit. Adapun cerita mayat jadi itu dan ini, kebanyakan andaian atau
tokok tambah. Apa yang membimbangkan, ada media massa yang mengambil
kesempatan lalu menjadikan tajuk-tajuk sebegini sebagai penarik
pembaca setiap keluarannya. Sehingga seorang cina yang bukan muslim
membaca dan berkata: "Teruknya orang melayu, mati macam-macam jadi.
Kita orang cina melayu cakap kafir pun tak jadi ini macam. Kalau macam
ini tak boleh masuk melayu punya agama laa. Bahaya! Nanti tuhan selalu
marah punya, mati pun tak boleh senang".

Nyata, kadang-kala Islam melayu merosakkan kefahaman orang lain.
Sepatutnya kesemua ustaz mengajar secara ilmiah dengan rujukan
kitab-kitab muktabar. Bukan merekacipta, atau mengutip cerita-cerita
di jalanan untuk popular.

Jumlah orang melayu yang terlibat dengan dadah jauh lebih banyak
daripada cina. Sehingga saya begitu pelik, jumlah orang melayu di
Singapura lebih sedikit daripada orang cina, namun begitu, jumlah
mereka yang terlibat dengan 'benda haram' itu tetap dipegang rekodnya
oleh orang melayu. Bagaimana Islam hendak dikembangkan??!.

Banyak lagi kalau hendak diperkatakan. Sehinggakan saya terfikir,
kalaulah melayu tidak memiliki aqidah Islam, tiada apa lagi yang
istimewa untuk dibanggakan. Kalau orang cina mendapat aqidah Islam
yang sahih, banyak perkara yang mereka miliki membantu kekuatan Islam.
Justeru itu menjadi tanggungjawab kita berusaha mengislamkan majoriti
orang cina. Biar mereka kuasai negara ini, asalkan mereka mukmin yang
beriman kepada seluruh ajaran Islam.

Dengan sedar saya katakan setiap bangsa ada kekurangan dan kelebihan.
Bukan tidak ada sifat-sifat melayu yang baik, banyak juga. Bukan tidak
ada sifat-sifat cina yang buruk, ada. Namun orang melayu yang
kebanyakan dianugerahkan Allah Islam, sepatutnya menonjolkan ciri-ciri
yang baik lebih jelas dan nampak dibandingkan orang cina. Namun
realiti menunjukkan sebaliknya.




__________________
PenangKia©


Senior

Status: Offline
Posts: 160
Date:

 


Assalamualaikum...


Amat amat bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin melalui Saudara ManTK kita... Artikel yang berbaloi dibaca walaupun agak panjang sedikit. Bro Man.


Saya rasa saya mempunyai somewhat "insider" view dalam perkara ini kerana saya menerima pengajian di sekolah cina.


Satu contoh:


Mindsetting Bangsa Cina amat berbeza dengan melayu. Kesedaran social mereka berapa di tahap yang tinggi.


Mereka sedar diri mereka pendatang. jesteru itu mereka mengunakan kebebasan untuk bercakap sepenuhnya. Mana-mana isu yang di luar kawalan mereka pada tahap individu akan dibawa kepada persatuan-persatuan mereka.


Mereka sedar jika mereka berdiam diri tiada siapa akan membela nasib mereka.


Setiap kali perhimpunan ketika saya bersekolah dulu pasti ada isu isu "sensitif" (pada pandangan melayu isu yang perlu didiamkan) dibangkitkan.


"kita perlu sedar bahawa kita tertindas di sini, walaupun kita yang membangunkan negara ini"


"sebagai bangsa cina, menjadi tanggunjawap kita memastikan survivalbility bangsa kita di sini"


Diatas ini adalah antara isi-isi yang boleh saya ingat semasa bersekolah dulu.


Semua ini bergabung untuk melahirkan bangsa cina di malaysia yang kita lihat sekarang.


Bangsa cina di malaysia merupakan antara bangsa cina yang paling berjaya di dunia. (cina di tempat lain pun ada yang lemau macam melayu gakk!!) Mungkin kerana mindsetting mereka sebagai underdog di Malaysia menyebabkan mereka "pulun" lebih.


-----------------------------------------


Mindsetting Bangsa Melayu pula berada di skala yang berbeza sama sekali (opposite sebenarnya... pada pandangan seekor nyamuk yang hina ini...)


Rata-ratanya Bangsa Melayu ini amat selesa dengan status quo-nya sebagai "tuan-tanah" di bumi bertuah ini.


Mentaliti kita Bangsa Melayu lebih kepada


" Takkan berani mereka mencabar melayu..." 


" apa pun tak kisah asalkan PM melayu "


Ramai yang tidak sedar status quo kita itu hanya lah dakwat di atas kertas.


Atas jaminan status quo yang ada itu kebanyakan melayu mengambil altitude yang lebih relax.


"Relax ah... " (rasanya sepanjang 10 thn bersekolah cina, tak penah saya dengar perkataan rilex)


" Tak payah belajar rerajin... Universiti Melayu banyak..."


" Tak payah kecoh-kecoh, kerajaan dah banyak bantu melayu"


Dari segi social pula...


Orang Melayu tidak suka bercomplain (amat berbeza dengan cina)... rata-ratanya tidak suka dilabel "suka buat bising" @ "kaki complain"


Melayu lebih suka berfikir tidak perlu mereka bersusah-payah bersuara kerana kerajaan Melayu kita sudah pasti akan menjaga kepentingan bangsa kita. (Good Luck!)


Hasilnya ialah melayu yang kita lihat sekarang... Melayu yang kurang bersuara. Lantas mendatangkan 1001 implikasi lain. iaitu


Kurang bersuara-->kurang berbincang-->fikiran tertutup-->cetek ilmu-->tidak boleh ditegur-->mudah melenting-->fikiran tertutup-->cetek ilmu-->kurang berbincang --> kurang bersuara.


Cetek ilmu lah sebenarnya isi pati dari artikel Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang sebenarnya.


Sampai ada melayu berfikiran salah makan dengan chopstick, belajar untuk exam dengan air jampi dll.


ws.


tunjukan salah jika ada.tq


 


 


 


 


 



 



__________________


Senior

Status: Offline
Posts: 156
Date:


Tulislah panjang mana pun....klu bengap tu akan kekal bengap macam tu jugak lahhhhh.


kepada yang sedar,bila mana kuasa dipulangkan balik kepada kita....gunakanlah kuasa itu sebaik mungkin.supaya tidak menyesal di kemudian hari.



__________________


Senior

Status: Offline
Posts: 165
Date:

Hamba tgh mengeluh panjang ni .............. bagaimana cara nya !!! kepada semua yg positif saja tolong masukkan buah fikiran anda disini utk hamba buat kajian bersama dan menyeluruh.


Dan kita langkah2nya :.


1) ? ...............



__________________
PenangKia©


Member

Status: Offline
Posts: 6
Date:

Assalamualaikum W.B.T///


Ambillah Pelajaran Alquran yang sebenar dari kita leka memainkan sentiman dan semangat asabiah yang kiat tak tau hujung pangkal.




yang menjaga aliran kefahaman dan keimanan umat islam global

__________________
sunan kalijaga


Veteran

Status: Offline
Posts: 37
Date:

ASW...


serat_buntu barangkali boleh menambah.


Selepas kemerdekaan, 31.08.1957, ada beberapa perkara yang telah berlaku


PERTEMBUNGAN DAN KRISIS NILAI

Dengan berlakunya proses pemodenan, masyarakat Melayu telah di landa pertembungan nilai antara nilai tradisional yang berpaksi kepada Islam dengan nilai barat yang bercirikan hidup materialistik dan individualistik. Sistem nilai dan tradisi masyarakat Melayu yang terhakis telah mendedahkan mereka kepada pelbagai ragam keruntuhan. Dadah, arak, zina, lepak, pelacuran, jenayah, buang dan dera anak, rasuah, salah guna kuasa, adalah deretan gejala yang amat mencemaskan orang-orang Melayu. Golongan muda Melayu menjadi krisis nilai yang amat ketara. Akibat dari terpukau dengan kemajuan barat, masyarakat Melayu kini secara membuta tuli mengambil bulat-bulat apa yang ditaja dari barat. Tanpa mempersoalkan akibatnya, orang-orang Melayu telah kehilangan nilai dan jati diri. Budaya hidup kepenggunaan berasaskan simbol sebagai ukuran status seseorang, telah mempengaruhi kehidupan orang-orang Melayu. Dengan demikian gaya hidup membazir, menunjuk-nunjuk, elitism, penting diri semata-mata, hidup bermewah-mewahan telah menjadi corak kehidupan orang-orang Melayu yang semakin berleluasa. Golongan belia dan pemuda Melayu merupakan kelompok yang amat ketara menghadapi keruntuhan nilai dan akhlak.


ya! mungkin saja. kerna itulah kita. berperang sesamanya. ruginya bangsa yg bisa memajukan agamanya.



__________________
serat_buntu


Senior

Status: Offline
Posts: 286
Date:

kekal meneliti..........................memerhati sambil menilai.....

__________________
Mencari pangkaL akar, menemu hujung. Kita seperti roda......Berpusing saling mengambil tempat semula putaran.
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard