Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: ISU WANITA


Veteran

Status: Offline
Posts: 52
Date:
ISU WANITA


Isu Wanita: Hak Wanita Dalam Islam

Biasanya dalam Islam, ramai orang beranggapan bahawa wanita
ditindas. Non-muslim ramai yang mempercayai dengan yakin bahawa
wanita dalam Islam sebenarnya ditindas. Sebahagian daripada orang
Islam sendiri pun percaya wanita dalam Islam sememangnya tertindas.
Tetapi hari ini marilah kita kaji, adakah wanita dalam Islam
tertindas ataupun sebaliknya.

Kalau kita lihat tentang kerohanian (spirituality), sejak zaman
berzaman wanita tidak mendapat hak yang sama rata dari segi
kerohanian. Sehingga abad yang ke-19, masih lagi berlaku perdebatan
di Negara Barat sama ada wanita mempunyai roh ataupun tidak. Kalau
kaum wanita tiada roh, wanita ini ibarat binatang. Kalau kita lihat
contohnya Tamadun Rom (Roman civilization), Tamadun Babylon (Babylon
civilization), Tamadun Greek (Greek civilization), Tamadun Igypt
(Egypttion civilization), dan Tamadun Pra-Islam Arab (Pre-Islamic
Arabian civilization), kita akan lihat pelbagai bukti dan pelbagai
contoh bagaimana wanita ditindas. Kadang-kadang apabila seorang
lelaki membunuh orang lain, dia seharusnya dihukum bunuh, tetapi
wanita (isterinya) boleh menggantikan tempatnya mengambil hukuman
itu. Wanita sememangnya ditindas.

Jika kita lihat contohnya dalam Tamadun Greek ataupun Babylon,
setiap jiwa berasal daripada satu makhluk yang dikenali sebagai
Pandora dan Pandora ini adalah wanita. Maksudnya setiap kejahatan
berpunca daripada wanita. Bahkan dalam bible pun kalau kita kaji,
setiap kejahatan itu berpunca daripada hawa. Kerana hawalah manusia
hari ini berada di bumi ini menerima hukuman tersebut dan wanita
mewarisi dosa warisan. Kerana hawa Nabi Adam telah makan buah
larangan. Semuanya kerana pujuk rayu perempuan. Dan dikatakan wanita
melahirkan anak dalam keadaan sakit kerana ini adalah murka Tuhan.

Tetapi dalam Islam, di dalam Al-Quran Allah menyebutkan yang
berlainan. Allah mengatakan, "Tidakkah kamu melihat ibu kamu
melahirkan kamu dalam kesakitan, maka hormatilah dia". Islam
mengangkat martabat wanita.

Dalam Al-Quran di banyak tempat disebut bahawa lelaki dan wanita
mendapat hak kerohanian yang sama rata. Contohnya, dalam surah Al-
Hujurat (49:13), Allah S.W.T menyatakan "Yang paling mulia di sisi
Allah adalah orang yang paling bertaqwa", tidak mengira lelaki
ataupun perempuan, yang penting adalah taqwa. Dalam surah An-Nisa'
(4:124) Allah S.W.T mengatakan "Bagi mereka yang melakukan amal
soleh lelaki ataupun perempuan dan beriman kepada Allah maka mereka
akan masuk syurga dan tidak ada sedikit pun penganiayaan akan
dilakukan ke atas mereka". Satu lagi contoh dalam surah Al-Ahzab
(33:35) Allah S.W.T mengatakan "Katakanlah kepada lelaki dan wanita
Islam, kepada lelaki dan wanita beriman, kepada lelaki dan wanita
yang taat, lelaki dan wanita yang benar, lelaki dan wanita yang
sabar, lelaki dan wanita yang merendahkan diri, lelaki dan wanita
yang memberi sedekah, lelaki dan wanita yang puasa, lelaki dan
wanita yang menjaga kehormatan diri, lelaki dan wanita yang sentiasa
berzikir mengingati Tuhan mereka, bagi mereka Tuhan telah
menyediakan pengampunan dan banyak balasan yang baik". Maka lelaki
dan perempuan sama-sama mendapat hak yang sama dari segi kerohanian.

Sekarang kita lihat dari segi ekonomi. Hanya pada 1870, di Barat
pertama kalinya seorang wanita dewasa yang telah berkahwin boleh
memiliki harta benda atau menjual harta benda tanpa mendapat izin
daripada pihak lelaki dan keluarga. Tetapi Islam memberikan hak ini
kepada wanita 1400 tahun yang lepas. Kalau kita lihat, tidak ada
satupun ayat Al-Quran ataupun hadith sahih yang melarang wanita
daripada bekerja, membuat pekerjaan yang halal dari segi syariat
Islam.

Tiada dalil yang melarang selagi pekerjaan itu halal, tidak
bertentang dengan syariat Islam. Jika kita lihat contoh Khadijah
r.a., kita dapati bahawa isteri Nabi Muhammad S.A.W juga merupakan
seorang ahli perniagaan yang cukup hebat pada zamannya. Walaupun dia
seorang wanita dia masih lagi boleh berniaga. Kita lihat beberapa
contoh lain dari segi ekonomi. Dalam Islam wanita diberikan mahar.
Perkara ini disebut dalam surah An-Nisa' (4:4) di mana Allah
mengatakan, "Berikanlah mahar kepada wanita kamu (kepada isteri
kamu)". Kalau kita lihat dalam beberapa budaya lain contohnya dalam
agama Hindu, kita dapati pihak wanita yang akan memberikan
mahar/dowri kepada pihak lelaki tetapi dalam Islam sebaliknya lelaki
yang memberikan mahar kepada wanita.

Malahan dalam Islam wanita juga terjamin contohnya dari segi
mendapat harta pusaka. Perkara ini disebut dalam Al-Quran dalam
banyak tempat contohnya dalam surah Al-Baqarah (2:180), surah An-
Nisa' (4:7-9, 11-12, 16, 33, 176) dan surah Al-Maidah (5:105-108).
Bukan setakat itu sahaja, dalam satu masyarakat Islam yang tulen
kita memang memerlukan golongan wanita yang bekerja contohnya wanita
bekerja sebagai doktor, guru jururawat dan lebih-lebih lagi wanita
bekerja dalam bidang gynae (perbidanan) kerana hari ini kita lihat
ramai doktor dalam perbidanan adalah dari kalangan lelaki.

Sekarang kita lihat pula hak dalam bidang pendidikan. Tahukah anda,
di Barat yang melaung-laungkan hak wanita, pertama kali wanita boleh
masuk ke universiti untuk belajar adalah pada tahun 1870. Sebelum
itu wanita tidak dibenarkan masuk ke universiti. Tetapi dalam Islam
di universiti Al-Azhar dan universiti-universiti lain contohnya yang
jauh lebih awal daripada tahun 1870, wanita telah diberikan
kebenaran untuk belajar, di universiti Islam. Malahan ayat yang mula-
mula diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.A.W. bukanlah mendirikan
solat ataupun berpuasa, tetapi adalah dalam surah Al-A'laq (56:1)
iaitu "IQRA' BISMIRABBIKALLAZI KHALAQ" (Bacalah dengan nama Tuhanmu
yang telah mencipta).

Menuntut ilmu adalah wajib dalam Islam bagi lelaki dan perempuan.
Kalau kita lihat Aisyah r.a. isteri Rasulullah S.A.W. dengan dirinya
sendiri telah meriwayatkan tidak kurang daripada 2210 hadith. Malah
Aisyah juga telah memberi bimbingan kepada keempat-empat khalifah Ar-
Rasyidin. Aisyah juga dilaporkan telah mengajar tidak kurang
daripada 88 sahabat ataupun tokoh agama pada ketika itu. Malahan
Aisyah juga telah dianggap sebagai seorang yang pakar dalam bidang
matematik dan pakar dalam bidang perubatan. Ini kerana apabila ada
orang yang mempunyai masalah dari segi warisan ataupun pembahagian
pusaka, mereka biasa merujuk kepada Aisyah untuk mengetahui siapa
yang mendapat bahagian dan berapa banyak. Ini bereti Aisyah
mempunyai kemahiran matematik yang cukup tinggi dan Aisyah juga
menghafal formula-formula perubatan yang Rasululluh sampaikan kepada
orang-orang yang baginda percaya.

Kalau hari ini kita akan anggap Aisyah ini sebagai `Professor of the
professor'. Kita tidak tahu sama ada di dunia hari ini ada atau
tidak lelaki yang boleh dianggap sebagai `Professor of the
professor'. Jelas, lebih 1400 tahun yang lalu Islam telah pun
memberi martabat yang cukup tingggi kepada wanita. Kalau kita lihat
contohnya Safiah. Safiah juga dilaporkan seorang yang pakar dalam
bidang fiqh i.e perundangan Islam dan Salmah juga dikatakan telah
mengajar tidak kurang daripada 32 orang sahabat dan Saidah Nafisah,
cucu kepada Hasan dikatakan menjadi guru kepada Imam As-syafie.
Bayangkan Imam Syafie seorang Imam yang cukup terkenal dalam dunia
Islam, salah seorang daripada gurunya adalah wanita. Jadi di sinilah
kita lihat Islam telah meninggikan martabat wanita.

Sekarang marilah kita lihat apakah hak-hak dari segi politik yang
wanita dapat. Di Barat tidak sampai seratus tahun wanita adalah
dilarang untuk mengundi. Tetapi hak mengundi telah diberikan oleh
Islam 1400 tahun yang lalu kepada wanita iaitu dalam surah Al-
Mumtahinah (60:12) Allah S.W.T mengatakan "Apabila wanita-wanita
beriman ini datang kepada kamu untuk memberikan ketaatan dan
kesetiaan, (sehingga hujung ayat dikatakan) maka terimalah dia" dan
perkataan yang digunakan dalam Al-Quran adalah "bai'ah". Bai'ah ini
sebenarnya lebih tinggi daripada konsep mengundi yang kita gunakan
sekarang.

Konsep mengundi pada hari ini hanya pangkah sahaja tetapi Islam pada
1400 tahun yang lalu memberi pengiktirafan kepada wanita dari segi
bai'ah itu lebih tinggi dan lebih utama daripada sekadar memberi
pangkah. Seterusnya kalau kita lihat dari segi politik, Umar Al-
Khattab r.a. pernah berbincang dengan para sahabat untuk meletakkan
had kepada mahar (mas kahwin) kerana mahar pada waktu itu cukup
tinggi sehinggakan ramai lelaki pada waktu itu tidak mahu berkahwin
kerana tidak cukup duit. Sambil berbincang itu ada seorang wanita
bangun lalu mengatakan, "Siapakah Umar untuk meletakkan had apabila
Allah tidak meletakkan had?". Dia merujuk kepada surah An-Nisa'
(4:20), di dalam Al-Quran Allah menyatakan "Apabila kamu memberikan
mahar walaupun segunung emas". Jadi dalam Islam tiada had minima dan
had maksima untuk mahar. Lalu Umar yang ketika itu adalah khalifah,
seorang pemimpin dunia, membalas semula, "Umar itu salah, wanita itu
betul". Jadi hak untuk wanita bersuara telahpun diberikan oleh Islam
lebih daripada 1400 tahun yang lalu.

Kalau kita lihat dari segi perundangan, apakah hak-hak yang dimiliki
oleh wanita, semuanya sama dengan lelaki. Kalau zaman sebelum Islam,
lelaki melakukan pembunuhan, isteri diletak untuk menerima hukuman
bunuh, tetapi dalam Islam, lelaki dan perempuan mendapat hak yang
sama. Contohnya, dalam surah An-Nur (24:2) Allah S.W.T
menyatakan "Bagi mereka yang berzina, lelaki ataupun perempuan maka
sebatlah mereka seratus kali". Malahan disebut dalam surah An-Nur
(24:4) Allah S.W.T mengatakan "Bagi sesiapa yang menuduh seseorang
wanita itu berzina, hendaklah mengemukakan empat orang saksi.
Sekiranya gagal berbuat demikian maka sebatlah mereka lapan puluh
kali".

Di dalam Islam, satu jenayah kecil memerlukan dua saksi dan jenayah
besar memerlukan empat orang saksi. Menuduh wanita berzina
memerlukan empat orang saksi. Dalam dunia hari ini, seorang lelaki
boleh memanggil seorang perempuan itu pelacur dan dia akan terlepas
begitu sahaja. Tetapi dalam Islam, kalau seorang lelaki itu panggil
seseorang perempuan itu sebagai pelacur dan perempuan itu mengadu
kepada kerajaan Islam dan lelaki itu tidak boleh mengemukakan empat
orang saksi yang membuktikan perempuan itu pelacur, lelaki itu akan
disebat 80 kali. Jadi, kita boleh lihat bagaimana Islam melindungi
wanita, malah disebut dalam surah Al-Maidah (5:38), "Bagi mereka
yang mencuri lelaki ataupun perempuan, potonglah tangan mereka, agar
menjadi pengajaran daripada Tuhan". Jadi, lelaki dan perempuan
diletakkan pada hak yang sama.

Sekarang kita lihat hak dari segi sosial. Dari segi sosial, kita
melihat wanita kepada tiga bahagian iaitu anak perempuan, isteri dan
ibu. Kepada anak perempuan ada beberapa hak bagi mereka. Pada zaman
Arab jahilliyah dahulu, apabila ada anak perempuan dilahirkan dan
kadang-kadang walaupun anak itu telah berumur beberapa tahun, si
bapa akan membawa anak ke padang pasir, digali lubang lalu ditimbus
anak perempuan di dalam lubang tadi hidup-hidup. Islam melarang
perbuatan terkutuk ini dalam surah At-Tahrir (81:8-9).

Dalam Islam perkara ini diharamkan, tetapi di zaman sekarang masih
lagi berlaku perkara seperti ini. Di Negara India sebagai contoh,
ramai anak-anak kecil perempuan dibunuh. Laporan daripada hospital
Kerajaan Tamil Nadhu menyatakan, daripada 10 anak perempuan yang
dilahirkan, empat akan dibunuh. Malahan ada satu laporan daripada
BBC melaporkan lebih daripada 1 juta kanak-kanak perempuan dibunuh
di India. Malahan ada iklan yang kita dapati di India, " Belanjalah
500 rupee dan jimat 500 000 rupee". Kalau ditukar dalam matawang
Malaysia, "Belanjalah RM50 dan jimatlah RM50 000". Caranya, wanita
pergi membuat sonography, lihat sama ada janin dalam rahim itu
lelaki atau perempuan. Sekiranya anak perempuan, gugurkan ia.
Bayarannya RM50 sahaja tetapi kalau ia dilahirkan sebagai perempuan,
kamu perlu membelanjakan RM50 000 dalam membesarkan dia dan kemudian
membayar dowri (mahar).

Di India, pihak perempuan perlu membayar mahar kepada keluarga
lelaki dan memang satu perkara biasa, pihak lelaki akan mengenakan
dowri yang cukup tinggi dan kadang-kadang apabila pihak perempuan
gagal memberikan dowri, pihak perempuan tadi akan dianiayai. Yang
menganiayai biasanya adalah ibu mertua sendiri. Kadang-kadang mereka
akan tuang minyak tanah ke atas menantu mereka lalu dibakar hidup-
hidup. Malahan di India juga ada penjara khusus untuk para ibu
mertua yang kebanyakannya telah membunuh menantu-menantu perempuan
mereka. Dalam Islam, disebut dalam surah An-Nahl (16:58-59), kita
dilarang untuk berasa seronok apabila yang lahir itu anak lelaki dan
kita berasa sangat-sangat sedih dan malu sekiranya yang lahir itu
adalah anak perempuan, kita dilarang sama sekali.

Dalam Islam, yang lahir sama ada anak lelaki ataupun perempuan kita
kena sama-sama seronok. Saya bagi contoh diri saya. Apabila saya
mendapat anak pertama dahulu, anak pertama saya adalah perempuan.
Apabila dia lahir orang bertanya "Dah lahir? Anak lelaki ke
perempuan?" " Dah lahir dah, ohh perempuan, tak apa". Itu reaksi
mereka. Kemudian lahir anak kedua. Apabila lahir anak kedua orang
bertanya, "Dapat lelaki ke perempuan?" "Dapat perempuan".
Alhamdulillah saya kata. Dia kata, "Ohh, bersabarlah…". Nak bersabar
mengapa, bagi saya tiada masalah, anak lelaki ataupun perempuan.
Jika orang bukan Islam yang bertanya, saya tak kisah, bahkan ibu
saya pun berkata, "Apa, perempuan lagi ke?" Dia marah saya. Kemudian
saya pun tanya emak saya, "Emak ni lelaki ke perempuan?" Dia jawab
perempuan. Saya tanya lagi, "Habis tu sebagai perempuan mengapa mak
masih lagi tak suka kalau yang lahir itu perempuan?".

Selepas tu dia tak pernah merungut lagi. Saya tak kisah kalau emak
saya yang bertanya kerana dia bukan Islam tetapi ni orang Islam
sendiri yang cakap begitu, "Takpelah, bersabarlah…". Saya tak faham.
Saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah, berilah saya anak yang
bertaqwa, anak yang beriman kepada-Mu, anak yang mahu mendengar kata
ibu bapa mereka, anak yang berguna kepada masyarakat". Itu sahaja
yang saya minta, lelaki ataupun perempuan saya tak kisah. Kalau
cacat pun syukur, kalau sihat pun syukur. Apa-apa yang lebih
daripada itu, saya berserah.

Kadang-kadang kita hendakkan anak lelaki, tapi tak semestinya anak
lelaki itu lebih baik, mungkin anak perempuan itu lebih baik, kita
tidak tahu. Dalam surah Al-Baqarah (2:216) Allah menyebutkan "Boleh
jadi ada benda yang kamu suka, sebenarnya ia tidak baik bagi kamu
dan boleh jadi ada benda yang kamu benci dan itu adalah lebih baik
bagi kamu. Allah maha mengetahui, kamu tidak mengetahui". Kadang-
kadang kita dapat anak lelaki, kita seronok, dua tiga tahun kita
main dengan dia. Lepas itu apabila besar dia jadi jembalang, jadi
hantu, seumur hidup kita menyesal dia lahir. So, no point anak yang
lahir itu lelaki atau perempuan. Bagi saya yang penting anak yang
lahir itu anak yang bertaqwa.

Kemudian kalau kita lihat dalam hadith daripada Ahmad Ibnu Hanbal,
Rasulullah S.A.W. bersabda, "Sesiapa yang membesarkan dua orang anak
perempuan dengan cukup baik, di akhirat nanti mereka akan berada
bersama-sama dengan saya seperti ini (Rasulullah merapatkan jari
bererti mereka akan berada bersama-sama dengan Rasulullah cukup
rapat)". Jadi para ibu bapa yang mempunyai dua atau tiga anak
perempuan dan dapat membesarkannya dengan cukup baik, Insya-Allah
balasannya cukup baik.

Bagaimana dengan hak isteri pula? Dalam Islam wanita digelar
sebagai "Mokhsana". Mokhsana bererti `benteng daripada kejahatan".
Padahal pada zaman dahulu wanita dikatakan sebagai Pandora (punca
segala kejahatan), tetapi dalam Islam wanita dikatakan sebagai
benteng daripada kejahatan. Sebabnya, seorang lelaki yang telah
berkahwin, mendapat seorang isteri yang baik, isteri yang baik ini
akan membantu lelaki ini menjadi seorang lelaki yang lebih beriman
kepada Allah S.W.T. Banyak perkara kemungkaran yang dilakukan semasa
bujang dahulu, apabila mendapat isteri yang baik, akan berkurang
ataupun terhapus sama sekali. Kalau kita lihat dalam surah An-Nisa'
(4:19) Allah S.W.T. berfirman, "Janganlah kamu mewarisi wanita-
wanita kamu secara paksa".

Dalam Islam, perkahwinan antara lelaki dengan perempuan mestilah
mendapatkan keredhaan daripada kedua-dua pihak, tidak boleh dipaksa.
Dalam Sahih Bukhari jilid no.7 bab 43 ayat 69, dilaporkan seorang
wanita telah dipaksa oleh bapanya untuk berkahwin dengan seorang
lelaki. Lalu wanita itu selepas berkahwin tadi berjumpa dengan
Rasulullah S.A.W. dan melaporkan kepada Rasulullah, "Ya Rasululllah,
bapa saya telah memaksa saya berkahwin dengan lelaki itu walaupun
saya tidak mahu". Lalu Rasulullah membatalkan perkahwinan itu.
Seorang bapa tidak boleh memaksa anak perempuannya berkahwin dengan
seorang lelaki tanpa izin anak perempuannya.

Satu lagi hadith yang diriwayatkan oleh Sunan Ahmad Ibnu Hanbal,
hadith no. 2469. Peristiwa yang sama juga, seorang wanita dipaksa
oleh bapanya berkahwin dengan seorang lelaki. Selepas berkahwin,
wanita itu pergi mengadu kepada baginda Rasulullah.

Lalu Rasulullah memberikan pilihan kepadanya, "Adakah kamu ingin
meneruskan perkahwinan ini ataupun membatalkannya?". Lalu wanita itu
berkata, "Saya ingin meneruskannnya tetapi saya ingin tahu apakah
hak saya sebagai seorang wanita dalam perkara ini".

Dalam Islam memang tiada paksaan dalam perkahwinan. Seterusnya kalau
kita lihat dalam surah Al-Baqarah (2:187) Allah S.W.T.
berfirman, "Kamu adalah pakaian bagi isteri-isteri kamu dan isteri-
isteri kamu adalah pakaian bagi kamu". Jadi suami isteri menjadi
pakaian kepada satu sama lain. Apakah tujuan pakaian? Yang pertama
menutup aurat, yang kedua mencantikkan kita. Jadi suami isteri perlu
menutup aib satu sama lain. Suami atau isteri tidak boleh
menceritakan aib rumahtangga masing-masing kepada orang lain. Satu
lagi, suami isteri mereka sepatutnya mencantikkan antara satu sama
lain, i.e saling bantu membantu untuk menjadikan pasangan mereka
seorang yang lebih beriman kepada Allah S.W.T. Seterusnya juga
disebut dalam surah An-Nisa' (4:19), "Layanlah isteri-isteri kamu
dengan kesaksamaan walaupun kamu tidak menyukai mereka kerana boleh
jadi kamu tidak menyukai sesuatu yang Allah telah jadikan baik bagi
kamu". Islam sebenarnya mendokong martabat wanita.

Sekarang kita lihat hak wanita sebagai seorang ibu. Dalam surah An-
Nisa' (4:100) Allah S.W.T. berfirman, "Hormatilah rahim yang telah
melahirkan kamu". Islam metakkan status ibu pada tahap yang
tertinggi. Malahan disebut dalam surah Al-An'am (6:151), surah
Luqman (31:14), dan surah Al-Qaf (46:15), Allah S.W.T menyuruh kita
taat kepada kedua ibu dan bapa kita selagi mereka tidak menyuruh
kita melakukan kemungkaran kepada Allah S.W.T. Kalau kita lihat
dalam satu hadith Ibnu Majah, seseorang bertanya kepada
Rasulullah, "Ya Rasulullah, apakah jihad yang utama bagi aku?". Lalu
Rasulullah menjawab, "Jihad bagi kamu ialah syurga terletak di bawah
kaki ibumu". Maksudnya jagalah ibumu. Ini bukan bermakna apabila ibu
kita tidur, kita pergi lihat di bawah tapak kakinya kita akan nampak
syurga, tidak.

Ini menunjukkan betapa dalam Islam status ibu diletakkan di tempat
yang paling tinggi. Akhirnya satu lagi hadith dalam Sahih Bukhari,
jilid 8, bab 2, hadith no. 2, disebutkan di mana seorang lelaki
datang berjumpa dengan Rasulullah lalu bertanya, "Ya Rasulullah,
siapakah yang paling berhak mendapat kasih sayang saya, yang berhak
mendapat perhatian saya?". Lalu Rasulullah menjawab, "Ibu kamu".
Lelaki ini kemudian bertanya, "Ya Rasulullah, selepas dia siapa?".
Rasulullah menjawab, "Ibu kamu". "Ya, selepas dia siapa, Ya
Rasulullah?". Jawab Rasulullah, "Ibu kamu". "Selepas dia siapa?",
tanyanya lagi. "Ayah kamu", jawab Rasulullah. Setelah tiga kali
dikatakan ibu, kali yang keempat barulah disebut ayah. Kalau ini
satu perlumbaan contohnya, ibu akan mendapat pingat emas, pingat
perak, dan pingat gangsa tapi ayah hanya berpuas hati dengan hadiah
sagu hati sahaja.

Kalau kita lihat Islam sebenarnya bukannya menindas hak wanita,
Islam sebenarnya telah mengangkat martabat wanita. Tetapi saya
mengakui, di Negara-negara Islam ataupun di kalangan masyarakat
Islam hari ini wanita masih lagi tertindas. Tetapi mereka tertindas
bukan kerana Islam, mereka tertindas kerana adat resam dan budaya
tempatan masyarakat tersebut i.e faktor manusia.

Baiklah, selepas mendengar kenyataan-kenyataan di atas, adakah kamu
merasa Islam menindas wanita ataupun mengangkat martabat wanita? Di
negara lain isu hak-hak wanita banyak dilaung-laungkan kerana wanita
sememangnya ditindas selama ini. Jadi apabila ditindas, mereka akan
bertindak menjadi extreme. Tetapi apa yang dilakukan oleh Islam
adalah moderate, di tengah-tengah.



__________________
Sesama ISLAM adalah BERSAUDARA...!!!


Guru

Status: Offline
Posts: 890
Date:

Berpinau mata nak baca semuanya...



__________________


Senior

Status: Offline
Posts: 339
Date:



__________________


Guru

Status: Offline
Posts: 520
Date:

wow banyak nye nak bace? tak terabih ni nak bace?

__________________


Member

Status: Offline
Posts: 8
Date:

assalamualaikum...


bagus btl la isu wanita ni..tp panjang sgt....


x terbaca dah...hehe..jgn mare...


 



__________________
360


Guru

Status: Offline
Posts: 505
Date:

isu wanita + isu lelaki


POLIGAMI




__________________


Senior

Status: Offline
Posts: 492
Date:


:



__________________


Guru

Status: Offline
Posts: 546
Date:

isu best tapi panjang sgtt..pijau mata nak baca

__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard