Untuk memahami Islam dari sudut ini pula, kita haruslah memerhatikan beberapa ayat yang antara lainnya seperti firman Allah, maksudnya:
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka; kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah ia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu’min). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh di antara mereka ampunan dan pahala besar”. (al-Fath : 29)
Dari ayat ini, jelas proses perkembangan perjuangan Islam itu. Di mana ia bermula dengan hanya seorang sahaja iaitu Nabi Muhammad SAW. Kemudian ia berkembang daripada seorang kepada seorang yang lain sehingga menjadi suatu kekuatan yang tidak dapat dibendung lagi oleh para penentangnya. Adapun proses perkembangan dan gerak kerja yang dilakukan oleh baginda boleh kita dapati daripada pemerhatian kita akan ayat-ayat yang berikut:
Firman Allah, maksudnya:
“Bacalah dengan menyebut nama Tuhan engkau yang mencipta”. (al Alaq : 1)
Firman Allah, maksudnya:
“Dan berikanlah peringatan kepada keluargamu yang terdekat”.(as-Syu’ara : 214)
Firman Allah, maksudnya:
“Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatnya kepada mereka kitab dab hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan”. (al-Jumu’ah : 2)
Firman Allah, maksudnya:
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata”. (al-Kahfi : 28)
Firman Allah, maksudnya:
“Tidakkah engkau melihat kepada mereka yang dikatakan kepada mereka tahanlah tangan-tanganmu dan dirikanlah sembahyang”. (an-Nisa’ : 77)
Firman Allah, maksudnya:
“Maka berterus teranglah dengan apa yang diperintahkan kepada kamu dan janganlah kamu menghiraukan tindakan golongan musyrikin”. (al-Hijr : 94)
Firman Allah, maksudnya:
“Dan siapkanlah untuk mereka kekuatan semampu mungkin”. (al-Anfaal : 60)
Firman Allah, maksudnya:
“Diizinkan bagi mereka berperang (untuk melakukan sesuatu tindak balas) kerana mereka telah di zalimi…”. (al-Hajj : 39)
Firman Allah, maksudnya:
“Dan perangilah pada jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu”. (al-Baqarah : 190)
Memerhatikan ayat-ayat yang diutarakan di atas dengan baik dan memahaminya dengan halus dan lumat, saudara akan bertemu dengan makna dan maksudnya memahami Islam dari sudut gerak kerja untuk menegakkannya. Bertambah terang lagi, apabila saudara membaca dengan teliti keseluruhan yang tersurat dan yang tersirat di dalam perbincangan yang akan datang.
PERINGKAT KERJA YANG DILALUI OLEH JAMA’AH MUSLIMIN
Gerakan Islam hari ini merupakan lanjutan daripada gerakan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, ia mestilah mengambil kira apa yang dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW, rasul penamat itu.
Gerakan Islam hari ini, hendaklah melalui tiga marhalah sepertimana yang dilalui oleh pimpinan gerakan Rasulullah SAW iaitu marhalah at-Ta’rif, at-Takwin dan at-Tanfiz wal muwajahah.
Marhalah at-Ta’rif
Marhalah at-Ta’rif merupakan marhalah memperkenalkan Islam dan perjuangan Islam kepada masyarakat umum. Marhalah ini adalah marhalah kesungguhan di dalam menyampaikan da’wah dan memperkenalkan jama’ah kepada umat manusia sepertimana yang difirmankan oleh Allah, menceritakan apa yang diucapkan oleh Nabi Allah Nuh a.s. Firman Allah, maksudnya:
“Berkata Nabi Nuh a.s: “Hai Tuhanku, sesungguhnya aku menyeru kaumku siang dan malam”. (Nuh : 5)
Marhalah ini bertujuan untuk memperkenalkan Islam dan jama’ah kepada masyarakat. Ia boleh dilakukan melalui syarahan-syarahan, ceramah-ceramah, hubungan secara individu, sebaran, forum, kelas-kelas pengajian dan lain-lain.
Marhalah at-Takwin
Marhalah ini ialah merupakan marhalah pembentukan dan pembinaan untuk melahirkan tenaga mahir supaya bekerja di dalam gerakan Islam atau Jama’ah Muslimin.
Marhalah inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT, maksudnya:
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsu dan tingkah lakunya adalah melampaui kebenaran”. (al-Kahfi : 28)
Di dalam ayat ini, Allah mengingatkan baginda supaya sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang Islam (dalam bahasa gerakan; berdamping rapat dengan para anggota), sekalipun mereka miskin. Di dalam surah lain Allah berfirman, maksudnya:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad) yang menjadi sangat keberatan kepadanya sebarang kesusahan (yang ditanggung oleh) kamu yang tamakkan kebaikan bagi kamu dan kepada orang-orang yang beriman pula ia menumpahkan perasaan belas serta kasih sayang”. (at-Taubah : 128)
Ayat-ayat yang kita utarakan di atas, memberi perhatian yang berat kepada orang-orang yang bertanggungjawab di dalam Jama’ah Muslimin supaya bersabar di dalam membentuk dan mendidik anggota-anggotanya.
Ayat-ayat tersebut juga mengarahkan orang-orang yang bertanggungjawab di dalam gerakan Islam supaya sentiasa memberi perhatian yang tidak putus-putus terhadap anggotanya dan menjaga mereka serta mengambil berat tentang mereka.
Ayat-ayat tersebut juga mengarahkan pihak yang bertanggungjawab di dalan al-Amal Islami supaya tidak mempedulikan apa-apa yang dilemparkan kepada mereka oleh orang-orang jahil. Sebagaimana Rasulullah tidak mengendahkan pendustaan dan lontaran batu yang dilakukan oleh orang-orang kafir samada di Mekah mahupun di Tho’if. Baginda menenangkan keluarga Yasir, bersabarlah!” Baginda tidak mengarahkan mereka bertindak balas kerana menunggu izin daripada Allah
__________________
/// Black 3036 HaRiMaU kAnDaNgAN /// I|I Bersatu Aman Sejagat I|I