Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Sesungguhnya Allah Menyayangi mu


Senior

Status: Offline
Posts: 223
Date:
Sesungguhnya Allah Menyayangi mu



Memang hidup ini tidak akan pernah sunyi dari setiap dugaan dan ujian.
Apa yang boleh saya katakan, sebagai umat Islam seharusnya kita yakin
sesungguhnya setiap cabaran dan ujian hidup itu adalah bukti kasih
sayang Allah terhadap kita.


Berdasarkan dalil daripada ayat 15-17, surah al-Fijr, kita harus fahami
bahawa setiap kenikmatan dan kelapangan yang diberikan itu BUKAN
bermakna Allah telah memberikan kemuliaan. Dan setiap orang yang diberikan
ujian dan cubaan itu BUKAN bererti Allah telah menghinakannya.


Ibnu Qayyim dalam mensyarahkan dalil daripada ayat-ayat tersebut
menyatakan golongan pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa
kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya
cubaan dan ujian.


Apa yang penting bersabar dan bermuhasabahlah selalu kepada Allah swt.
Setiap orang yang beriman pasti akan menerima cubaan. Yang pasti,
setiap ujian itu akan sentiasa kita alami sepanjang hayat, cuma tahap dan
bentuknya mungkin berbeza-beza.


Sebagaimana yang diriwayatkan dari sebuah hadis,


Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Rasulullah saw., "Siapakah
orang yang paling berat cubaannya ?"



Jawab baginda," Di antara orang-orang yang paling berat cubaannya
ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang
itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam
agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya. Sekira agamanya lemah,
tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu
datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan
sehingga tiada lagi kesalahan padanya."


(Riwayat Tirmizi)


Setiap kali diuji, walau seberat manapun cabarannya, ketahuilah...
ianya akan menjadi kayu pengukur yang menentukan keteguhan iman seseorang.
Pelbagai ujian dan dugaan yang diterima itu, adalah bukti kasih sayang
pencipta terhadap hambaNya. Dan juga untuk memastikan kita semua
memiliki iman yang lebih kuat selepas berjaya menempuhnya dengan penuh
kesabaran.


Imam Ghazali ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah Al
Qulub,"Sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad,
memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak
seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan
bersabar."


Selain bersabar. Apa yang paling penting ingatlah Allah dan berdoalah
selalu. Doa itu adalah ubat yang paling mujarab. Menurut Ibn Qayyim di
dalam kitabnya Ad Da' Wad Dawaa', "Doa adalah musuh segala bencana.
Ianya dapat menolak malah dapat menghilangkannya. Ataupun
sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang."


Sesungguhnya berdoa itu adalah senjata orang mukmin. Sebagaimana sabda
Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam kitab sahihnya
yang berasal dari Ali bin Abi Talib ra., sabda Rasulullah saw,


"Doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit serta
bumi."


Akhir sekali, cuba baca perlahan-lahan dan hayatilah sabda Rasulullah
saw dibawah yang maksudnya cukup indah dan mendalam sekali. Semoga ianya
serba sedikit boleh menjadi penawar ataupun sekurang-kurangnya memberi
sedikit suntikan kekuatan untuk kita di dalam menempuh apa saja ujian
yang datang.


Janji Allah dalam sabda Rasulullah saw,


"Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa
penyakit atau lainnya, melainkan kerananya Allah akan menghapuskan
keburukan-keburukannya sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya."


(Hadis Riwayat Bukhari)


Semoga kita semua sentiasa bersabar, mengingati Allah dan berdoa selalu
di dalam menghadapi apa saja bentuk ujian yang mendatang.


PERCAYALAH sesungguhnya Allah menyayangimu...



__________________
/// Black 3036 HaRiMaU kAnDaNgAN /// I|I Bersatu Aman Sejagat I|I
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard