Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Tips mencari SAHABAT


Senior

Status: Offline
Posts: 223
Date:
Tips mencari SAHABAT



Rasulullah s.a.w. telah bersabda;


“Sesungguhnya sebahagian dari hamba Allah terdapat sekelompok manusia. Mereka itu bukan dari golongan Nabi dan tidak pula dari golongan syuhada, akan tetapi para Nabi dan syuhada merasa iri atas kedudukan mereka di sisi Allah Taala. Mereka berkata: 'Hai Rasulullah, tolong beritahu siapakah mereka itu?', kemudian jawab Baginda (s.a.w): 'Mereka adalah suatu kaum yang saling mencintai kerana Allah Taala bukan atas dasar hubungan keturunan di antara mereka, dan juga bukan kerana wang yang mereka berikan. Maka demi Allah Taala, sesungguhnya wajah mereka memancarkan cahaya, cahaya yang sangat terang. Mereka tidak merasakan takut ketika orang lain merasa takut, dan mereka tidak merasa khuatir ketika orang lain dilanda kekhuatiran”.


Sahabat merupakan satu anasir yang setiap insan pasti tidak boleh hidup tanpa mereka. Lihatlah betapa Allah Taala memuliakan sebuah persahabatan sehingga menjadi suatu yang dicemburui oleh golongan para Nabi a.s. dan para syuhada. Syaratnya apa? Syaratnya, persahabatan yang terjalin hendaklah di atas landasan iman. Kasih sayang antara mereka adalah untuk masing-masing melihat pembentukan diri yang dihalatujukan untuk memperoleh keredhaan Yang Maha Esa.


Renungilah kembali apa yang dikhuatiri oleh malaikat ketika mana Allah s.w.t. memerintahkan beliau menjenguk api neraka dan syurga. Beliau sangat khuatir banyak manusia akan terperangkap dengan kenikmatan dunia yang mengalpakan yang diletakkan di sekeliling api neraka. Dalam pada itu, kesengsaraan dan penderitaan dalam perjuangan menaikkan Islam yang memagari syurga membuatkan hanya sedikit sahaja antara kita yang mampu dan sanggup menempuhinya.


Pernah Rasulullah s.a.w. ditanya oleh para sahabat, “Apakah ciri-ciri seorang manusia yang boleh dijadikan sebagai teman yang baik? Baginda s.a.w. menjawab (dengan maksud), “Dia adalah teman yang bersama-sama membantu kita ketika mana kita mengingati Allah s.w.t. dan dia jugalah yang memberi peringatan kepada kita ketika mana kita alpa dan lalai dalam mengingati-Nya”.


Sahabat bertanya lagi, “Apakah pula ciri-ciri sahabat yang tidak baik?” Baginda s.a.w. membalas (dengan maksud), “Dia adalah teman yang bukan sahaja tidak membantu kita semasa kita mengingati Allah s.w.t. malahan dia juga tidak menegur semasa kita alpa dalam dosa dan maksiat.”


Di dalam hadis lain yang biasa kita dengar (dengan maksud), “Dekatilah orang yang menjual minyak wangi. Sesungguhnya bau wangiannya itu akan turut mewangikan kita. Jangan dekati tukang buat besi kerana bau busuk yang ada padanya akan melekat kepada diri kita.”


Renungilah dan hayatilah bagaimana Rasulullah s.a.w. mengajar kita mencari seorang sahabat yang sejati. Teman yang baik adalah teman yang sering mengajak kita untuk melakukan amal kebajikan. Teman yang baik juga saling tegur-menegur bukan kerana untuk menunjuk kepandaiannya tetapi bimbang akan sahabatnya daripada terjerumus kepada dosa dan kemurkaan Allah Ta’ala. Perkara ini turut diajar oleh Allah Taala di dalam kitabNya. Allah Taala berfirman dalam Surah Al-Kahfi ayat ke-28 yang bermaksud,


“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”


Sifat Sahabat yg dipilih


Hujjatul Islam Imam al-Ghazali memberi fatwanya sbg berikut:-


"Apabila anda bermaksud memperolehi sahabat yang baik, hendaklah anda memilih orang yang memiliki lima sifat yang dikemukakan di bawah ini iaitu:


1- Berakal - maksudnya berfikir dengan cara yang baik, adil dan jujur dalam mempertimbangkan sesuatu perkara atau persoalan.


2- Memiliki akhlak atau budi perkerti yang mulia.


3- Tidak tamak haloba terhadap harta dunia.


4- Baik dalam segala perkara iaitu amal perbuatannya, percakapannya, cara berpakaian, cara bergaul serta bersenda gurau dsbnya.


5- Bukan pendusta.


Adapun hak-hak persahabatan itu sangatlah banyak. Di antaranya:


1- Apapun yang kita senangi berupa kebaikan jika dilaksanakan kepada diri kita, hendaklah kita gemar melaksanakannya kepada diri beliau.  Sebaliknya apa pun yang kita tidak sukai berupa keburukan jika dilaksanakan kepada diri kita, maka hendaklah jangan sekali-kali kita laksanakan pula kepada beliau.


2- Berikanlah perhatian urusannya yang tidak berupa kemaksiatan sebagaimana kita memberikan perhatian kepada diri kita sendiri.  Mengusahakan dengan sepenuh hati tentang urusan kita sendiri, jadi seakan-akan diri kita adalah dirinya dan dirinya adalah kita sendiri.


3- Berbuatlah apa sahaja untuk kemaslahatan sahabat kita, memenuhi apa sahaja yang dihajatkannya, ikut menyatakan kegembiraan di saat dia gembira dan tunjukkanlah kesedihan di saat ia mendapat musibah.


Pada waktu ia bersedih hati, tanyakanlah apa yang menyebabkan kesedihannya.  Selanjutnya jika ia mengatakan bahawa hal itu adalah rahsia, janganlah kita mengulangi pertanyaan kepadanya kerana mungkin akan memalukan dan melukai hatinya (contohnya permasalahan rumahtangga). Sekiranya dia menyatakan perkara yang terjadi dan memerlukan pertolongan kita, maka hendaklah segera diberikan pertolongan atau bantuan, sehingga lenyap penyebab kesedihannya itu.


4- Berusahalah sekuat-kuatnya untuk memberikan kesenangan dalam hatinya dengan jalan apapun jua, asalkan dibenarkan oleh agama.  Berikanlah sahabat kita itu perkara-perkara yang menggembirakan hatinya, berupa tindakan atau perbuatan.


5- Peliharalah kerhormatan sahabat kita itu, contohnya jika kita mendengar orang lain mengejek dan menjatuhkan maruah dan nama baiknya terutama di hadapan orang ramai, maka hendaklah kita membela kehormatannya sekiranya sahabat itu tidak melakukan perkara yang dituduh kepadanya.


6- Jika dia telah meninggal dunia, maka janganlah kita diamkan sahaja kepada isteri atau suami, anak-anaknya dan para keluarganya.  Berikanlah bantuan kepada mereka sesuai dengan kemampuan yang ada.  Ringankanlah keadaan hidup mereka jika memang dalam keadaan kekurangan.  Berikanlah hiburan dengan memberikan sedikit harta yang ada, khususnya pada saat mereka memerlukan, bahkan jika kita mendahulukan kepentingan mereka daripada diri sendiri, hal itu adalah lebih utama dan lebih terpuji.


7- Mencontohi perbuatan orang-orang soleh iaitu kaum muslimin terdahulu yang bagus kelakuannya adalah contoh yang paling baik dan utama, apalagi jika mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam bersahabat.


Sifat Sahabat yang Tepuji


Dalam perkara memilih sahabat ini, Al-Qamah pernah memberi nasihat kepada anak-anaknya : "Wahai anakku, jika kamu sudah merasa memerlukan seorang sahabat untuk dirimu, maka pilihlah sahabatm itu orang yang memiliki sifat-sifat berikut:"


1- Apabila dia melayani kamu, tentu juga dia melindungi kamu.


2- Apabila kamu menghadapi suatu masalah yang berat dan berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut, dengan segera dia ikut membantu.


3- Apabila kamu berada dalam kekurangan atau menghadapi musibah, dia suka membantumu dan menghiburkan kamu sekirannya dia mampu.


4- Apabila kamu menghulurkan tanganmu untuk memberikan bantuan kepadanya, dia akan terharu dan akan membalas jasa baik kamu pada saat-saat kamu memerlukannya.


5- Apabila dia melihat suatu kebaikan dari diri kamu, tentu dia menganggapnya sangat besar dan berguna.


6- Apabila mengetahui keburukan dari diri kamu, tentu dia akan menutup segala keaiban kamu dan memberi nasihat kepada diri kamu.


7- Apabila kamu berdiam diri, iaitu tidak mengajaknya berbicara maka dengan segera dia memulakan perbicaraan denganmu.


8- Apabila kamu berkata-kata, dia akan membenarkan kata-kata kamu jika dirasakan kebenaranya dan sekiranya merasakan sebaliknya, maka dia akan mengatakan kesalahanmu (Bukan jenis orang yang sentiasa mempercayai atau membetulkan sahaja kata-kata kamu itu)


Dalam hal ini Saidina Ali bin Abi Thalib pernah mengatakan dalam syairnya:


"Saudaramu yang sebenarnya ialah orang yang berada bersertamu dan orang itu mengorbankan dirinya sendiri dalam bahagia, semata-mata untuk kemanfaatan dirimu.


Itulah sahabatmu yang apabila kamu dalam keadaan bimbang, dia sentiasa mengatakan secara terus terang kepadamu serta rela mencurahkan tenaga dan kekuatannya semata-mata untuk berkumpul denganmu"


Berkata Abu Sulaiman Darani: "Janganlah kamu bersahabat melainkan dengan seorang yang termasuk dalam dua golongan manusia ini iaitu;"


1- Orang yang dapat kamu ajak berkawan dalam urusan duniamu dengan sentiasa berlaku jujur dan baik


2- Orang yang kamu jadikan sahabatmu itu, menyebabkan bertambah luasnya pengalamanmu, juga memberikan faedah dalam urusan akhiratmu dengan sebab bersahabat dengannya. Sedangkan adab kesopanan dalam bersahabat itu ialah:


# Tunjukkanlah wajah berseri-seri dan penuh kegembiraan, jika kamu berhadapan dengan sahabatmu itu mulai dari awal bertemu sampai berpisah.


# Jika berbicara, usahakanlah agar kata-kata kamu itu sentiasa teratur, sedap didengar dan disertai dengan wajah yang berseri-seri.  Selanjutnya apabila sahabatmu itu pula berbicara hendaklah kamu mendengarnya dengan baik.


# Hindarkan diri dari perdebatan atau saling berbantahan walaupun dalam perkara yang kamu yakini kebenarannya serta sudah menjadi pendirianmu apabila berkenaan dengan hakmu sendiri tetapi jika berkenaan dengan urusan agama maka sebaiknya jelaskanlah dengan hormat dan penuh sopan.


Sekarang cuba kita cerminkan kembali kepada diri kita. Adakah insan yang rapat dan hampir dengan kita memiliki ciri-ciri sepertimana yang diajar oleh Allah Taala dan Rasul-Nya? Atau adakah diri kita sendiri yang merupakan sahabat kepada orang lain turut memiliki ciri-ciri ini?


Renungi diri kita, adakah selama kita berkawan dengan mereka, pembinaan diri kita dari segi ilmu, akhlak dan segenap aspek kehidupan kita hanya ditujukan untuk mendapat keredhaan-Nya atau adakah sebaliknya?




__________________
/// Black 3036 HaRiMaU kAnDaNgAN /// I|I Bersatu Aman Sejagat I|I


Senior

Status: Offline
Posts: 339
Date:

Assalamualaikum...

uuuiii...susah kalo nak carik sahabat yg mcm ni skang ni,zaman skang ikot dan jaa...

__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard