Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Dosa tanpa taubat sebabkan satu titik hitam pada hati


Senior

Status: Offline
Posts: 223
Date:
Dosa tanpa taubat sebabkan satu titik hitam pada hati


HATI adalah organ yang paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat
paling agung diberikan oleh Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat
penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.
Niat yang ikhlas itu akan diberi pahala oleh Allah.

Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit,
buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada
hati keadaan seperti ini, kesannya adalah membabitkan seluruh anggota
tubuh badan manusia. Maka, akan lahirlah penyakit masyarakat berpunca
dari hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati adalah amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita
diamanahkan untuk menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan
sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana dosa. Setiap
satu dosa yang dilakukan tanpa bertaubat itu akan menyebabkan
terjadinya satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Maka
bayangkanlah bagaimana pula kalau sepuluh dosa? Seratus dosa? Seribu
dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan dalam hadis Rasulullah
bermaksud: "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada
hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik
hitam itu daripada hatinya.

Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak
hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hadis ini selari dengan firman Allah yang bermaksud "Sebenarnya ayat-
ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah
diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat
yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras,
kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan
menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar
sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu
kita, namun ilmu itu tidak akan masuk ke dalam hati, kalau pun kita
faham, tidak ada daya dan kekuatan kita untuk mengamalkannya.

Allah berfirman yang bermaksud "Kemudian selepas itu, hati kamu
menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara
batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya, dan
ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air
daripadanya.

"Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah
sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu
kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 74).

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan bahawa batu yang
keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah
kerana amat takutkan Allah.

Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak
boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara yang paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan
berlakulah kemusnahan yang amat besar terhadap manusia.

Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal
menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah natijahnya apabila kita lalai
dan cuai mengubati dan membersihkan hati kita. Kegagalan kita
menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada akhirat
kelak.

Persoalannya sekarang, kenapa hati mati? Hati itu mati disebabkan
perkara berikut:

Pertama: Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah
iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan
ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang
keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh
Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang
nyata." (Surah al-Zumar, ayat 22).

Kedua: Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan
rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak
makan dan tidak minum, begitulah juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja
akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang
dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya
tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan
bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati
mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah
itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd, ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud "Hari yang padanya harta benda dan anak-
anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda
dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang
selamat sejahtera daripada syirik dan munafik." (Surah al-Syura, ayat
88 - 89)

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
...dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang
Memiliki mu."

"sampaikanlah walau satu ayat" al hadis




__________________
/// Black 3036 HaRiMaU kAnDaNgAN /// I|I Bersatu Aman Sejagat I|I
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard