Jom Kite bace cerite ini.....BAHANA KENA ILMU PENGASIH
MACAM-MACAM benda pelik terdengar sebaik saja mulut batin Depah terbuka. Ah Soon mendengar dengan penuh minat. Lagi pun, kehadirannya memang mahu mendengar pandangan batin Depah.
“Engkau kenal kokang?” tanya batin Depah.
“Kenal. Yang macam lotong, tapi kecil sikit macam kera?” Ah Soon sedikit ragu bertanya semula.
Batin Depah pun angguk. “Cari sampai dapat. Bakar... ambil serbuknya. Lepas tu pergi kubur lama, ambil tanah... gaulkan!”
Ah Soon menggaru kepala. Arahan batin Depah bukan calang-calang kerja.
Namun, mengenangkan dia mesti berusaha juga mendapatkan Siew Moi, anak tauke getah tempat dia bekerja, dikuatkan hatinya untuk melakukan apa saja suruhan batin Depah.
“Minggu depan dah siap, bawa sini. Aku nak tapakan kat Bukit Kepong!” pesan batin Depah dan sebaik itu tangannya laju memanggil orang lain yang berbaris di pelantar rumahnya masuk.
Selepas mengucapkan terima kasih, Ah Soon pulang. Malam itu dia meminta bantuan adiknya, Jimmy yang terkenal dengan sifat berani.
Jimmy setuju. Memang Jimmy tahu, abangnya sangat meminati Siew Moi dan kerana simpati, dia bersetuju membantu mendapatkan semua barangan yang disuruh cari oleh batin Depah.
Terbukti pertolongan Jimmy membuahkan hasil. Seekor kokang yang dibakar dan tinggal debunya saja beserta tanah kubur siap sedia dibungkus.
Hari itu, wajah Ah Soon jelas ceria. Wajah Siew Moi mula terbayang-bayang. Anak gadis tauke tempat dia bekerja itu sentiasa datang dalam fikirannya, termasuk mengganggunya dalam tidur.
Sebelum ini, Siew Moi sangat bencikan Ah Soon. Puas Ah Soon mencuba untuk mendekati gadis itu yang bekerja sebagai kerani dalam kilang getah milik ayahnya, tapi usahkan senyuman, sebaliknya maki hamun yang sering Ah Soon terima.
Namun, Ah Soon tidak pernah berputus asa. Disebabkan keinginan dan rasa cintanya yang mendalam terhadap Siew Mooi, dia sanggup meminta bantuan batin Depah melakukan perbuatan terkutuk.
Hari dinantikan, semua barangan yang sudah siap diserahkan kepada batin Depah. Hati Ah Soon semakin tidak sabar untuk melihat hasilnya, terutama apabila mendengar serbuk kokang dan tanah kubur itu akan ditapakan di puncak Bukit Kepong.
Wajah Siew Mooi pula sentiasa menganggu. Tidak sabar rasanya Ah Soon mahu melihat gadis itu sujud di depannya.
Bila itu berlaku nanti, Ah Soon tidak mahu berlengah. Dia akan membawa Siew Mooi pulang ke kampungnya di Johor dan dia mahu gadis itu menjadi isterinya juga.
Dia tidak mahu peduli sama ada ayah Siew Mooi setuju atau membantah. Yang penting, dia mahu buktikan Siew Mooi tetap menjadi miliknya.
Selepas siap ditapakan, batin Depah yang sebelum ini memang terkenal sebagai pelaksana ilmu hitam menyerahkan bungkusan ilmu pengasih itu kepada Ah Soon.
Selepas duit dan barangan bertukar tangan, Ah Soon pulang ke rumah sewanya.
Pesan batin Depah diingatnya bersungguh-sungguh. Malam itu, dia diarahkan menabur serbuk itu di keliling rumah tauke kilang getahnya.
Dengan bantuan Jimmy yang tinggal serumah dengannya, dia melakukan kerja itu dengan berhati-hati.
Keesokannya, Ah Soon tidak terus ke ladang, sebaliknya menuju ke kilang getah dengan harapan untuk melihat kesan daripada ilmu pengasih yang dituntutnya dari batin Depah.
Memang terbukti. Sebaik kelibatnya terpacul di muka pintu pejabat kilang, Siew Mooi berlari ke arahnya.
“Malam tadi saya mimpikan abang!” dan entah kenapa Siew Mooi terus berubah perangai. Daripada membenci Ah Soon, dia tergamak memeluk lelaki yang pernah dicacinya sebelum ini.
Dua rakan sepejabatnya terkejut. Namun Ah Soon tidak mahu melepaskan peluang. Selepas berbisik ke telinga Siew Mooi, mereka akhirnya meninggalkan kilang itu.
Sejak itu semuanya gempar. Siew Mooi hilang. Ah Soon hilang. Dan ayah Siew Mooi ternyata sangat berang dengan kejadian itu.
Jimmy juga mengikut jalan serupa. Dia ikut serta pulang ke kampung halaman. Alasannya ialah kerana Jimmy tidak mahu bersoal jawab dengan ayah Siew Mooi jika terus bekerja di situ.
Lebih tiga bulan selepas Siew Mooi secara pelik berkahwin lari dengan Ah Soon, sesuatu luar dugaan berlaku.
Rumah sewa yang mereka diami beberapa kali dilanda gegaran pelik. Mulanya Ah Soon menjangka berlaku gempa bumi, tetapi selepas diselidiknya, tiada apa-apa pun berlaku.
Kejadian pelik lain juga berlaku. Siulan burung murai tidak henti-henti berbunyi di atas bumbung rumah. Selepas itu atap rumahnya kedengaran seperti ditabur pasir.
Tidak cukup itu, pada satu pagi Ah Soon terlihat beberapa titisan berwarna merah di depan pintu rumahnya. Dia yakin itu adalah darah, tetapi yang pasti dia pelik kerana tidak tahu darah apa!
Kejadian pelik itu berulang sehingga pada satu malam, Siew Mooi menjerit dan berlari keluar dari rumah seperti dirasuk sesuatu. Puas Ah Soon memujuk, tapi Siew Mooi tetap tidak berubah.
Dia seperti hilang fikiran dan tanpa disangka, dalam keadaan kelam kabut itu, Siew Mooi mencapai sebilah pisau di dapur.
“Sraaapppp!!!”
Dengan sekali rodok, rupanya pisau itu singgah tepat masuk ke perut Ah Soon, menyebabkan Ah Soon tersungkur berlumuran darah. Akibat tikaman yang dalam dan menembusi jantungnya, Ah Soon tidak dapat diselamatkan.
Jimmy tercari-cari punca Siew Mooi seperti dirasuk sehingga tergamak merodok perut abangnya, Ah Soon.
Akhirnya selepas menghubungi beberapa pekerja ladang tempat dia bekerja dulu, Jimmy pun mulai faham apabila dimaklumkan ayah Siew Mooi berusaha melakukan sesuatu bagi membalas dendam kepada Ah Soon yang melarikan anaknya sebelum ini.
Peliknya, ayah Siew Mooi turut menggunakan orang sama untuk melaksanakan tugas itu - batin Depah!
Bimbang nasibnya juga sama seperti abangnya kerana bersubahat dalam melarikan Siew Mooi, akhirnya Jimmy terpaksa menghantar semula anak tauke getah itu pulang ke pangkuan ayahnya.
Walaupun tidak mampu bertemu mata dengan ayah Siew Mooi yang juga bekas majikannya, Jimmy puas hati dengan mengembalikan Siew Mooi ke pangkuan keluarganya.
Sejak itu Jimmy berpindah ke negeri lain sambil meminta keluarganya merahsiakan pemergiannya daripada orang lain.