KUALA LUMPUR 13 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) enggan memberi sebarang ulasan berhubung pembabitan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Osu Sukam dengan aktiviti perjudian di luar negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Abdul Rahman sebaliknya meminta perkara itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar untuk mendapatkan penjelasan.
``Dalam kes ini, Jakim tidak mahu campur tangan kerana berlaku di luar negara,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan Jakim atau pihak berkuasa agama di negara ini boleh mengambil tindakan terhadap Osu yang terlibat dengan kegiatan perjudian yang diharamkan di sisi Islam.
Mengikut undang-undang negara ini, orang Islam dilarang memasuki pusat-pusat perjudian dan boleh dikenakan tindakan oleh mahkamah sivil.
Sementara Mahkamah Syariah juga boleh mengambil tindakan mendakwa orang Islam yang berjudi mengikut enakmen kesalahan jenayah sesebuah negeri.