TASRON menunjukkan peralatan berkhatan pakai buang yang diperbuat daripada `food grade' plastik, Sunathrone.
MINGGU lalu menerusi ruangan Ragam dan Pengajaran, kami menyiarkan kisah saudara baru mengenai pendapat mereka berkenaan dengan keperluan berkhatan apabila memeluk Islam.
Penceramah bebas, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah pula dalam ruangan Pengajaran, menyatakan masalah utama yang dihadapi saudara baru ialah sama ada mereka perlu berkhatan ataupun tidak.
Hingga sampai ke satu peringkat, ia menimbulkan perasaan gerun dan takut kerana memikirkan situasi berkhatan pada usia yang dewasa.
Hasil penulisan tersebut telah menarik perhatian seorang Penasihat Perubatan Antarabangsa, Dr. Mohd. Tasron Surat untuk memperkenalkan kaedah terkini berkhatan dengan menggunakan alat yang dinamakan, Sunathrone.
Sunathrone adalah peralatan berkhatan plastik pakai buang yang berasal daripada kombinasi perkataan Arab iaitu amalan mengikut sunnah Rasul dan perayaan tradisi orang Jawa bagi meraikan kanak-kanak yang akan dikhatan atau disunatkan.
Dengan meraikan mereka di dalam majlis seperti ini dapat mengurangkan perasaan gerun di kalangan kanak-kanak. Tradisi ini masih diamalkan di Malaysia dan Indonesia. Kini, ia telah dimodenkan melalui amalan berkhatan beramai-ramai di dewan, madrasah dan masjid.
Seperti yang kita sedia ketahui, berkhatan ialah proses pembedahan kecil bagi membuang kulit yang menutupi bahagian alat sulit lelaki dan penutup bagi klitoris perempuan, bukannya pembuangan pemotongan klitoris seperti mana yang diamalkan di Afrika.
Menurut beliau, Sunathrone merupakan alat berkhatan plastik pakai buang yang diperbuat daripada `food grade' plastik dan diletakkan pada kulup alat sulit lelaki bergantung kepada saiznya.
Jelasnya, alat ini berbeza dengan kaedah konvensional ataupun penggunaan alatan berkhatan pakai buang yang sedia ada kerana ia tidak menyakitkan setelah dibius atau
mengakibatkan pendarahan yang terlalu banyak.
``Sunathrone akan tertanggal dengan sendirinya setelah luka khatan itu sembuh. Pesakit tidak perlu datang untuk kali kedua semata-mata bertujuan bagi menanggalkan alat khatan pakai buang yang sering kali menyakitkan,'' terangnya mengenai kelebihan Sunathrone.
Selain itu, ia lebih mudah dan selamat digunakan pelbagai peringkat umur sama ada kanak-kanak ataupun orang dewasa.
``Saya rasa sedih, kadang-kadang melihat kanak-kanak menangis kerana tidak mahu dikhatankan. Bagi mereka, ia suatu perkara yang menyakitkan,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya, Sunathrone Bio-Medical Sdn. Bhd. di Subang Jaya baru-baru ini.
Beliau telah terlibat dalam kajian dan penyelidikan mencipta kaedah tersebut sejak 10 tahun lalu bermula dengan SmartKlamp di Belanda.
Sekembalinya ke Malaysia pada tahun 2002, beliau menjalinkan kerjasama dengan syarikat Azimat Bersatu Sdn. Bhd. dan SIRIM Berhad bagi memulakan penghasilan Sunathrone yang dipasarkan di bawah syarikat, Sunathrone Bio-Medical Sdn. Bhd.
Pertama
``Alat ini merupakan produk berkhatan pakai buang pertama ciptaan orang Islam di dunia,'' ujar beliau yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang perubatan.
Beliau berkata, pengalaman bertugas selama tujuh tahun di dalam penyelidikan dan penghasilan SmartKlamp menyedarkan beliau betapa orang Islam pada hari ini terlalu bergantung kepada ciptaan dan rekaan orang Barat sedangkan ia adalah untuk keperluan orang Islam sedunia.
``Selama berada di sana dan bekerja di kalangan orang Barat telah membuatkan saya terfikir kenapa orang Islam tidak boleh mengeluarkan produk sendiri? Padahal berkhatan adalah amalan yang dituntut di dalam ajaran Islam. Sampai bila kita hendak menjadi warga pengguna?,'' cerita beliau tentang pengalaman awal mencipta alat tersebut.
Jelas beliau, kesilapan melakukan khatan boleh memudaratkan dan mencacatkan organ lelaki. Akibatnya ia boleh menyebabkan tekanan emosi dan gangguan fikiran yang teruk. Bahagian ini merupakan anggota lelaki yang paling penting dalam proses reproduksi bagi meneruskan kelangsungan baka dan keturunan.
``Malahan orang Kristian dan Yahudi juga mengkhatankan anak-anak lelaki mereka sejak bayi lagi dan semakin popular terutama di Amerika. Aktiviti ini sudah bersifat universal dan turut dilakukan oleh orang bukan Islam di seluruh dunia,'' katanya.
Beliau turut bersetuju dengan pandangan Ridhuan Tee yang menyatakan berkhatan bukan sahaja sebahagian tuntutan agama malah ia memelihara kesihatan dan kebersihan individu terbabit.
``Islam memang tidak pernah memaksa pengikutnya untuk melakukan sesuatu tetapi apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t mempunyai hikmah dan kelebihan tertentu,'' tambah beliau.
Sudah tiba masanya, saudara baru di Malaysia menghilangkan perasaan gerun dan takut untuk melakukan khatan. Bayangkan, jika seorang wanita mampu menanggung kesakitan melahirkan lebih dari seorang anak, inikan pula seorang lelaki yang hanya perlu berkhatan sekali seumur hidup.
Beliau menyatakan, sejak akhir-akhir ini kajian yang dijalankan oleh Universiti Illinois membuktikan 98.9 peratus wanita akan memilih pasangan dari kalangan lelaki yang telah berkhatan.
Bersih
Ini disebabkan, hubungan seks yang dilakukan lebih bersih dan selamat serta mengurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin.
Kajian dari Universiti John Hopkins menunjukkan, amalan berkhatan juga sebenarnya penting terutama dalam mengurangkan risiko jangkitan virus HIV dan seterusnya boleh menyebabkan insiden penyakit Aids berkurangan,'' katanya merujuk kepada beberapa kajian yang telah dilakukan.
Begitu juga pandangan bagi wanita yang berkhatan. Suatu masa dulu, orang Barat mengutuk tindakan mengkhatankan wanita kerana berpendapat ia boleh menjejaskan organ wanita.
Bagaimanapun, baru-baru ini ada di kalangan warga wanita Amerika sudah mula berkhatan kerana mereka berpendapat ia boleh mengurangkan risiko jangkitan barah pangkal rahim yang merupakan pembunuh utama wanita.
``Walaupun di dalam Islam, berkhatan merupakan perkara sunat tetapi demi kesihatan dan kebersihan wajarlah dilakukan. Lagipun, orang Islam paling ramai yang mengidap Aids,'' tegas Tasron yang menyifatkan tugas beliau adalah satu jihad kecil dalam Islam.
Sunathrone juga telah diumumkan sebagai satu inovasi yang penting oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Malam Anugerah Alumni Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.
aper lar andikaputra ni... leh wat lawak lar...huhu... kalo nak yg thrill gi lar sunat kat kampung...hehe....
assalammualaikum...
bukan apa kanda cochrane... kekadang tu telampau canggih sampai tak diperhatikan... kat kampung tu tok mudim dah pegang... tak boleh lari .... heee heee heeee
cuba kita ingat dulu2 masa kita berkhatan..ada yang datang tak jadi nak berkatan... sebab takut hilang... pulak dah.....
teringat masa nak berkahtan....
anyway... pada kanda2 yang lain tu bila anak2 dah boleh berkhatan.. pilih laaa mana yang lebih senang.....