Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Al-Quran bukan setakat dilagukan


Veteran

Status: Offline
Posts: 69
Date:
Al-Quran bukan setakat dilagukan


AL-QURAN, kitab suci umat Islam diturunkan pada Ramadan. Dimaksudkan dengan penurunan al-Quran pada Ramadan adalah penurunan dari Lawh al-Mahfuz ke Bayt al-'Izzah di langit dunia secara keseluruhan (jumlatan wahidatan). Kemudian baru diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah saw selama 23 tahun.

Perkara ini berdasarkan firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam penuh berkat." (Surah al-Dukhan ayat 3)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam kemuliaan." (Surah al-Qadr ayat 1)

Firman-Nya bermaksud: "Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil)." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Maksud ketiga-tiga ayat di atas jelas menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan pada suatu malam yang penuh keberkatan, iaitu dinamakan dengan Lailatul Qadr, salah satu malam dalam Ramadan.

Ayat ini juga menunjukkan cara penurunan al-Quran pada kali pertama adalah secara keseluruhan.

Sekiranya dimaksudkan dengan penurunan dalam ketiga-ketiga ayat di atas adalah penurunan peringkat kedua, iaitu secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad, tentu tidak tepat dikatakan satu malam dan satu bulan iaitu, Ramadan. Perkara ini kerana al-Quran diturunkan dalam jangka masa yang lama, iaitu selama 23 tahun.

Ia bukan saja diturunkan pada Ramadan, malah bulan lain. Maka nyatalah bahawa yang dimaksudkan oleh ayat itu tahap penurunan yang awal.

Peristiwa Nuzul al-Quran ini seharusnya dihayati oleh umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah.

Selain itu, ia adalah asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad serta keyakinan bahawa Islam itu adalah agama benar, malah satu-satunya agama diredai Allah.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah (agama) Islam." (Surah Ali Imran, ayat 13)

Melalui peristiwa besar dan agung ini, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan jelas dengan berpandukan petunjuk dan pedoman yang diwahyukan oleh Allah.

Sungguh banyak keterangan dalam al-Quran dan hadis Nabi bahawa al-Quran adalah kitab petunjuk atau pedoman. Lebih-lebih lagi jika kita ingin mencapai darjat muttaqin, iaitu orang bertakwa.

Allah berfirman bermaksud: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Jadi al-Quran diturunkan oleh Allah ke muka bumi ini bukanlah semata-mata untuk dibaca atau dilagukan saja, malah lebih utama bagi dijadikan panduan atau pedoman hidup.

Itulah sebab al-Quran dikatakan sebagai iman bagi umat Islam. Perkara ini sesuai dengan sabda Rasulullah bermaksud: "Dijadikan iman untuk diikuti."

Al-Quran memiliki beberapa nama yang menunjukkan peranannya yang sangat istimewa. Antara namanya ialah al-Nur (cahaya yang menerangi), al-Furqan (yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil), al-Zikr (yang memberi peringatan) dan al-Quran (kitab bacaan).

Kalau kita gemar membaca al-Quran, maka kegemaran itu sangat baik dan wajar diteruskan. Hal itu bersesuaian dengan makna al-Quran adalah kitab bacaan.

Tetapi bagaimana seharusnya sikap kita, agar al-Quran boleh berperanan sebagai cahaya menerangi hidup dan pembeza antara hak dan batil serta memberi peringatan?

Kalau tujuan utama manusia dijadikan oleh Allah untuk memperhambakan diri kepada-Nya iaitu dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya, maka penghambaan kita kepada Allah tidak akan sempurna tanpa memahami kehendak-Nya. Semua kehendak Allah tercatat dalam al-Quran.

Pelbagai hukum dan undang-undang hidup terkandung dalam al-Quran. Jika diikuti dengan baik, nescaya umat manusia bukan saja akan mendapat kebahagiaan di dunia, malah akhirat.

Oleh itu, adalah wajib ke atas setiap umat Islam memahami isi kandungan al-Quran.

Kaedah Usul al-Fiqh menyebut sesuatu yang tidak sempurna wajib melainkan dengannya, maka ia juga wajib.

Bagi menjelaskan maksud kaedah fiqh di atas, misalnya solat, kewajipannya tidak akan sempurna melainkan dengan berwuduk terlebih dulu. Maka hukum berwuduk ketika itu adalah wajib juga.

Demikianlah juga penghambaan kepada Allah tidak akan sempurna melainkan selepas difahami kehendak-Nya. Sedangkan semua kehendak Allah terkandung dalam al-Quran. Oleh itu berusaha memahami isi kandungan al-Quran hukumnya adalah wajib.

Jika segala kehendak Allah yang terkandung dalam al-Quran diikuti dengan baik, nescaya kita akan selamat di dunia dan akhirat. Maka, tidak hairanlah syaitan sangat benci kepada orang yang membaca al-Quran, apa tah lagi jika mereka berusaha pula untuk memahami dan mengamalkannya.

Barang kali inilah rahsia mengapa Allah menyuruh kita membaca lafaz al-Isti'azah (memohon perlindungan Allah dari syaitan) sebelum membaca al-Quran.

__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard