ISLAM amat sinonim dengan ilmu pengetahuan, pembacaan dan penyelidikan. Begitu juga Ramadan, bulan turunnya al-Quran yang mengandungi pelbagai ilmu yang bukan saja perlu dibaca, malah dihayati, dikaji dan diselidiki kandungannya.
Perkara ini dibuktikan dengan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad saw yang diturunkan kira-kira 1,400 tahun lalu, melalui surah al-Alaq.
Al-Quran yang menjadi pedoman hidup umat Islam diturunkan pada malam Jumaat, 17 Ramadan.
Peristiwa itu berlaku ketika Nabi Muhammad saw bersunyi diri di Gua Hira, Jabal Nur, kira-kira enam kilometer dari Kota Makkah, ketika berusia 41 tahun.
Ibnu Ishak meriwayatkan daripada Wahab bin Kaisan daripada Ubaid bin Umair bin Qatadah al-Laitsi, bahawa bersunyi di Gua Hira itu biasa dilakukan sebulan sekali dalam setahun dengan maksud mengabdikan diri kepada Allah.
Bersunyi diri itu menjadi kebiasaan orang Quraisy pada zaman Jahiliah. Ketika itulah, Jibrail datang memeluk dan merangkul Baginda dengan kuat serta berkata: "Iqra." (Bacalah).
Rasulullah menjawab "Maa ana bi qaari" (saya tidak dapat membaca).
Pertanyaan itu terus diajukan dan masuk kali ketiga Jibrail melepaskan Baginda dan berkata: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.
"Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang Paling Pemurah.
"Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang hendak diketahuinya." (Surah al-Alaq, ayat 1 hingga 5)
Selepas itu Jibrail berlalu dan sepeninggalan itu Baginda kembali ke tempat kediamannya dengan tubuh menggigil dan meminta isterinya, Siti Khadijah menyelimutnya.
Kemudian Baginda menerangkan kepada Siti Khadijah apa yang berlaku.
Dengan besar hati isterinya itu berkata: "Demi Allah, Tuhan tidak akan menghinamu selama-lamanya.
"Sesungguhnya kamu adalah orang yang menghubungkan silaturahim, benar dalam perbicaraan, memikul beban yang berat, membantu orang yang susah, menghormati tamu dan penegak kebenaran."
Kemudian Khadijah membawa Baginda kepada Waraqah bin Naufal, anak saudara Khadijah, seorang pemeluk agama Nasrani dan ahli Injil.
Waraqah berusia lebih lanjut, matanya buta dan pernah menulis Injil dalam bahasa Nasrani.
Selepas menceritakan kejadian itu, Waraqah berkata: "Adapun yang datang kepadamu itu adalah yang pernah datang kepada Nabi Musa iaitu Jibrail.
“Jika umurku panjang, nescaya akan ku bantu perjuangan mu kerana kamu akan mendapat tentangan daripada kaummu.”
Kemudian malaikat datang lagi dan memberitahu Rasulullah bahawa Baginda adalah seorang rasul Allah.
Inti pati penting dalam surah al-Alaq berkaitan pembacaan dan ilmu pengetahuan. Dalam Islam, ilmu dan maklumat itu bertujuan membawa manusia menuju kebenaran dalam kehidupan sama ada di dunia ini mahu pun di akhirat kelak.
Sumber mutlak kebenaran adalah Allah yang mencipta ilmu dan kebenaran itu.
Ayat ini membenarkan hakikat bahawa Allah sebagai Pencipta ilmu dan kebenaran.
Di samping itu, diingatkan bahawa umat manusia amat memerlukan kepada ilmu dan kebenaran untuk mencipta satu kehidupan yang terarah. Kehidupan yang terarah pula mencerminkan satu tahap pemikiran yang telah menerima kemajuan hasil dari didikan ilmu dan kebenaran.
Sememangnya inilah ajaran Islam iaitu menyeru sekalian manusia ke arah kebenaran. Sumber mutlak ilmu dan kebenaran dalam Islam adalah al-Quran dan sunnah.
Justeru, menjadi satu tugas dan tanggungjawab umat Islam dan generasi muda, khususnya untuk memantapkan diri dan minda mereka dengan pelbagai disiplin ilmu kerana ilmu adalah tunggak kepada kemajuan pemikiran dan kehidupan mereka.
Sememangnya tiada sesiapa pun yang akan menyangkal anggapan dan kepercayaan bahawa aspek pendidikan adalah syarat utama untuk mengenali dan mencipta kehidupan.
Sistem pendidikan amat berkait rapat dengan ilmu pengetahuan. Manakala ilmu pengetahuan pula tidak dapat lari dari pembacaan, pengkajian dan penyelidikan.
Selepas itu, turun surah Nuun, "wai qalami wa maa yashuruun" kemudian Surah al Muzzammil, al Muddatstsir dan diikuti dengan ayat lain.
Wahyu yang terakhir turun adalah ayat tiga surah al-Maidah yang bermaksud : "Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agama kamu dan sudah kucukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Kuredai Islam itu menjadi agama bagimu."
Ayat berkenaan turun ketika Nabi sedang mengerjakan wuquf di Arafah pada hari Jumaat 9 Zulhijjah tahun 9 Hijrah dalam rangka mengerjakan ibadat haji Wada.