KUALA LUMPUR 1 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaman Tan Sri Abdul Rahim Noor atas dakwaan dicederakan ketika berada dalam tahanan sah, menuntut supaya bekas Ketua Polis Negara itu memohon maaf secara umum daripada beliau dan ahli keluarganya atas apa yang terjadi.
Selain Abdul Rahim, beliau menuntut perkara yang sama daripada Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang turut dinamakan sebagai pihak defendan dalam saman tersebut.
Anwar, 57, kini adalah pensyarah bersekutu kanan di St. Anthony College, Universiti Oxford dan profesor di Universiti Georgetown, Washington.
Beliau yang membaca kenyataan saksi berkata, adalah penting kesemua defendan menerima dan menyedari apa yang dilakukan oleh mereka terhadap keluarga dan dirinya adalah sesuatu yang tidak diingini, tidak wajar dan salah.
``Ia juga suatu yang memalukan negara ini di mata dunia,'' katanya pada hari pertama perbicaraan kes saman tersebut yang didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus hari ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyaman ketiga-tiga defendan untuk menuntut ganti rugi kerana mendakwa dicederakan ketika berada dalam tahanan sah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada September 1998.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 8 Januari 1999, Anwar menyatakan beliau telah di tempatkan di sebuah lokap di Bukit Aman selepas ditangkap di rumahnya di sini kira-kira pukul 10 malam, 20 September 1998.
Dakwanya, antara pukul 11 dan 11.30 malam, beliau kemudian digari, ditutup mata serta diarahkan bangun dan pada ketika itu beliau mendakwa merasa tumbukan kuat pada mata kiri dan dahinya.
Beliau mendakwa telah dipukul dengan teruk pada sebelah kiri lehernya serta ditampar beberapa kali sehingga menyebabkan darah mengalir dari hidung dan mulutnya.
Anwar diwakili oleh dua peguam, Gobind Singh Deo dan S.N. Nair manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Peguam Persekutuan, Mohaji Selamat mewakili Menteri Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia.
Abdul Rahim sebagai defendan kedua tidak hadir kerana berada di luar negara. Beliau diwakili oleh peguam Joseph Ting.