Akhirnya `kerajaan langit' atau lebih tepat dipanggil `kerajaan teko' Ayah Pin dirobohkan. Syabas kepada kerajaan negeri Terengganu.
Sepatutnya tindakan itu sudah lama diambil. Kelewatan bertindak nampaknya masih menjadi satu masalah dalam cara kita bekerja. Mungkin kerana kita terlalu berhati-hati selari dengan budaya kerja mengikut undang-undang dan peraturan.
Sementara menghargai pematuhan kepada undang-undang, Awang tidak nampak sebab kenapa benda-benda gila seperti `kerajaan teko' Ayah Pin dibiarkan begitu lama.
Kelewatan ini membawa persepsi negatif dan pada masa yang sama memberi gambaran pihak berkuasa kerajaan negeri tidak tahu apa hendak buat.
Ketegasan adalah perkara penting. Pihak berkuasa, di peringkat mana sekalipun, tidak sekali-kali boleh kelihatan seperti dipermain-mainkan oleh orang seperti Ayah Pin.
Awang harap apa yang berlaku di Terengganu itu tidak akan dibiarkan berlaku lagi. Andainya undang-undang bagi menangani masalah seperti ini kurang jelas, undang-undang baru hendaklah digubal segera.