Pemain rebana ubi maut ditimpa besi replika menara berkembar
KOTA BHARU: Seorang pemain rebana ubi maut, manakala rakannya cedera parah dihempap besi replika Menara Berkembar Petronas yang tumbang ketika ribut, sebelum majlis perasmian Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2005 peringkat kebangsaan di sini, petang semalam.
Mohd Asri Md Salleh, 20, dari Kampung Pak Simpul Bachok, meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang di Hospital Kota Bharu (HKB), akibat cedera teruk di kepala, badan dan kaki.
Rakannya, Mohd Bazlan Md Asri, 15, cedera parah di kepala dan menerima 10 jahitan tetapi dalam keadaan stabil.
Kedua-duanya dihempap replika setinggi 10 meter itu, yang tumbang akibat angin kencang di tapak perasmian di Sekolah Kebangsaan Sri Ketereh kira-kira jam 2 petang.
Kejadian itu menyebabkan pengunjung bertempiaran menyelamatkan diri. Dua mangsa dikejarkan dengan ambulans yang ditempatkan di tapak perasmian ke HKB untuk rawatan kecemasan.
Bapa Bazlan yang juga Ketua Kumpulan Rebana Ubi Kampung Pak Simpul, Md Asri Yasud, 40, berkata ketika kejadian, 12 ahli pasukannya sedang bersedia membuat persembahan meraikan ketibaan Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, untuk merasmikan majlis itu.
“Ketika itu angin kencang, tiba-tiba replika menara kembar itu yang dipasang berhampiran pentas utama di padang sekolah itu tumbang.
“Anak saya dan Asri yang duduk kira-kira dua meter dari replika itu dihempap besi berkenaan menyebabkan mereka cedera parah di kepala dan badan,” katanya ketika ditemui di hospital di sini, semalam.
Md Asri berkata, selepas menghantar kedua-duanya ke hospital, beliau meminta ahli kumpulannya yang lain meneruskan persembahan di majlis berkenaan bersama tiga kumpulan lain.
“Bagi saya, kecuaian penganjur menyebabkan replika itu tumbang. Mungkin kontraktor yang memasang replika itu tidak menyedari keupayaan tapak replika menampung ketinggiannya,” katanya.
Ibu Mohd Asri, Zawiyah Ismail, 47, berkata dia tidak menyangka anaknya cedera parah akibat kejadian itu kerana ketika menerima maklumat kemalangan itu, dia hanya dimaklumkan Mohd Asri cedera di kepala.
“Saya sangka dia hanya cedera ringan kerana diberitahu cedera di kepala. Bila datang tengok, rupa-rupanya dia parah dan meninggal dunia,” katanya sambil menangis.
:- merujuk kepada ayat yang dibolt dan italic.
"apakah ini yang dikatakan semangat patriotisma. masih lagi meneruskan persembahan walaupun majlis tersebut telah meragut nyawa".