DI Padang Mahsyar seseorang itu mungkin mendapat syafaat atau pertolongan daripada seseorang untuk memohon kepada Allah agar meringankan seksaan rasa cemas, ketakutan dan kesulitan pada persidangan mahkamah Allah kelak.
Orang yang dimaksudkan mempunyai kelebihan memberi syafaat atau pertolongan memohon daripada Allah itu adalah Rasulullah SAW.
Syafaat dibahagikan kepada dua iaitu Safa'atul `Udhma (yang besar) dan Syafa'atus Shughra (yang kecil).
Safa'atul `Udhma dimiliki oleh Rasulullah yang mana doa Baginda untuk memberi syafaat kepada seseorang akan kemudiannya dimakbulkan oleh Allah.
Perkara ini dijelaskan dalam beberapa hadis sahih. Umpamanya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud: "Jika hari kiamat telah tiba, maka akulah yang menjadi imam semua nabi, juru khutbah mereka dan aku sajalah yang memiliki syafaat (udhma), demikian ini tidak bererti bermegah-megah."
Hadis yang riwayatkan at-Tirmizi pula menyebut: "Aku adalah penghulu sekalian manusia pada hari kiamat dan bukanlah bermegah-megah, ditangankulah bendera pujian dan bukan berlebih-lebihan. Dan tiada seorang nabi pun pada hari itu, baik Nabi Adam dan lainnya melainkan berada di bawah benderaku, akulah orang yang pertama kali memberikan syafaat dan orang yang pertama kali dikabulkan untuk memberikan syafaat, dan ini tidak berlebih-lebihan."
Syafaat sughra atau syafaat kecil pula diberikan kepada selain Rasulullah. Menurut hadis, orang yang memberikan syafaat ini adalah ulama dan syuhada (orang yang mati syahid).
Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Ibnu Majah selepas mendengarnya daripada sahabat Nabi, Uthman, "Tiga orang dapat memberikan syafaat di hari kiamat ialah, nabi, ulama dan syuhada."
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Darda, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang mati syahid itu dapat memberikan syafaat kepada 70 orang di kalangan keluarganya."
Golongan yang dikatakan mempunyai kelebihan memberikan syafaat kecil termasuk solehin dan shadiqin serta anak yang meninggal dunia sebelum ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) hukum syarak (Islam).
Banyak syafaat sughra yang dilaksanakan Rasulullah seperti syafaat
memasukkan orang tanpa hisab lebih dulu ke syurga, mengeluarkan ahli
tauhid dan maksiat daripada neraka serta menambah darjat orang di syurga hingga berada di tahap lebih tinggi daripada yang semestinya.
Namun, di sebalik pemberian syafaat ini, pada hakikatnya ia cuma
terlaksana dengan keizinan Allah seperti mana firman-Nya bermaksud: "Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya?" (Surah al-Baqarah, ayat 155).
Dalam surah al-Anbiya, ayat 28 pula Allah berfirman bermaksud: "Dan mereka tiada memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredai Allah."
Jelaslah bahawa Allah, hakim di Padang Mahsyar kelak tidak akan
memperkenankan syafaat sewenang-sewenang terhadap orang didakwa.
Ya Rasulullah..Sesungguhnya engkau lah penyelamat ummah.Walaupun kami sering lupa akan dirimu namun engkau masih menyintai umatmu..Ya allah ampunkan dosa kami,ampunkan dosa kedua ibu bapa kami,ampunkan dosa kaum muslimin dan muslimat.Masukkan kami ke dalam golongan yg mendapat pengampunanMu dan pembebasan dari api neraka..