KUALA LUMPUR: Kempen bagi mengawal tingkah laku remaja daripada terjebak dalam maksiat, sekiranya perlu diadakan hendaklah meliputi kedua-dua remaja lelaki dan perempuan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, kempen ini jika akan diadakan bukan setakat “Menjaga Dara” saja tetapi juga hendaklah “Menjaga Teruna dan Dara.”
“Tidak wajar jika diadakan kempen untuk gadis saja kerana soal maksiat membabitkan lelaki dan perempuan, justeru, kedua-dua jantina perlu diberi pendedahan sekiranya kempen sedemikian perlu diadakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Nur Menara Ilmu “Straight As” bagi pelajar dari kawasan Lembah Pantai di sini, semalam.
Melalui program itu, 640 orang pelajar terdiri daripada 200 pelajar yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 240 pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 200 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini didedahkan teknik pembelajaran bagi mereka memperoleh keputusan “Straight As” dalam peperiksaan masing-masing.
Semalam, Shahrizat ditanya kemungkinan perlu diadakan kempen bagi mengelakkan gadis remaja daripada terjebak dalam kancah maksiat terutama seks bebas seperti yang dijalankan di Afrika.
Beliau berkata, kempen seperti itu tidak perlu kerana kerajaan sedang berusaha menanam nilai mulia dan murni di kalangan anggota keluarga bagi memupuk keluarga yang harmoni.
Shahrizat berkata, isu kempen “Menjaga Dara” tidak patut dipersenda atau dijadikan bahan ketawa tetapi seharusnya dianggap serius kerana isu itu membabitkan generasi muda negara.
“Saya tidak mahu isu ini menjadi bahan lucu...ia satu isu yang serius dan tidak boleh dipermainkan dan harus dihormati, sama seperti usaha memperkenalkan mata pelajaran kesihatan reproduktif dan pendidikan seks yang kini berada pada tahap akhir,” katanya.
Beliau berkata, pendidikan seks kini menunggu bagi dipinda untuk memasukkan idea terbaru ke dalam beberapa modul pelajaran hasil daripada forum konsultatif dan jawatankuasa teknikal yang diadakan dan akan dikemukakan kepada Kabinet setelah dimuktamadkan.
“Pendidikan adalah sangat penting dalam mempromosikan nilai moral yang baik. Sebab itulah kita nak adakan kokurikulum pelajaran pendidikan seks dan kesihatan reproduktif bagi membolehkan anak-anak menyedari mengenai biologi, fizikal, mental dan emosi mereka,” katanya. - Bernama
Betul tu Rasullullah pun pernah pesan kepada kita ummatnya..Jika kamu tidak tinggal dua perkara ini nescaya kamu tidak sesat selama-lamanya.Pertama Al-quran yang kedua sunnah rasullullah s.a.w..