KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kerajaan mungkin perlu melihat kepada penggunaan tenaga nuklear sebagai alternatif sumber tenaga negara ekoran kenaikan harga minyak dunia pada tahap yang membimbangkan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Kong Cho Ha berkata, sumber tenaga itu yang seringkali menerima tanggapan negatif hasil kaitan dengan senjata dan peperangan sebenarnya boleh membawa manfaat kepada pembangunan dan kesejahteraan sesebuah negara secara berterusan serta ekonomik.
``Dengan harga petroleum yang semakin meningkat, kita hanya perlu menunggu masa sahaja sebelum kerajaan meneliti semula penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bagi jangka masa panjang.
``Kerajaan perlu mendukung polisi dan tidak boleh menutup pintu kepada sumber itu untuk memenuhi kapasiti tenaga pengguna,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Forum Kerjasama Nuklear di Asia (FNCA) 2005 mengenai Penggunaan Reaktor Kajian di sini hari ini.
Bengkel itu yang dianjurkan secara bersama oleh Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (Mint) dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains serta Teknologi Jepun turut dihadiri Ketua Pengarah Mint, Dr. Daud Mohamad.
Cho Ha bagaimanapun berkata, buat masa kini, kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berbuat demikian.
``Namun begitu, kerajaan melalui Mint giat melakukan kajian dalam teknologi nuklear yang berkisar di dalam bidang perubatan, industri dan pertanian,'' katanya.
Beliau berpendapat, penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga wajar dilaksanakan oleh negara-negara membangun yang memiliki bilangan penduduk yang ramai seperti India dan China.
Dalam pada itu, Cho Ha berkata, lebih banyak kajian perlu dilakukan oleh masyarakat dunia untuk mewujudkan teknologi nuklear yang selamat.
``Namun, banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap keyakinan orang ramai terhadap keberkesanan tenaga nuklear.
``Mereka perlu dididik dan diberi maklumat lengkap mengenai keselamatan sumber tenaga ini yang hanya dikenali sebagai sumber kuasa senjata,'' jelasnya.