Sejak akhir tahun 1990an, Dunia Islam mula disemarakkan dengan pemikiran moden yang dikenali sebagai gagasan Islam Liberal. Gerakan pemikiran ini semakin membiak pesat sehingga berjaya mempengaruhi cerdik pandai, ulama dan pemimpin negara umat Islam. Jika gagasan pemikiran Islam Liberal tidak dikawal, kemungkinan besar ketulenan agama Islam yang sebenar akan tercabar sehingga menjejaskan kemurnian agama Islam. Antara tokoh Islam yang terpengaruh dengan gagasan Islam Liberal adalah Muhamad Arkoun, Nurcholish Majid, Hasan Hanafi, Aminah Wadud dan Abdullah al Naim.
Gerakan Islam Liberal mula terbit pada era tahun 1980an yang dipopularkan oleh Leonard Binder, seorang sarjana berketurunan Yahudi melalui bukunya yang bertajuk Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies. Menurut Khalif Mu’ammar, seorang sarjana lepasan ISTAC, buku ini memfokuskan tentang rational discourse dan penciptaan pemerintahan liberal. Kini, gagasan Islam Liberal ini semakin popular dan cuba menguasai persekitaran sosial-politik masyarakat Islam seantero dunia termasuk di negara kita.
Dari segi sejarah, Islam Liberal telah ditunaskan daripada pengaruh eksternal yang berasal dari pemikiran liberal Barat dan ‘pemberontakan’ dalaman oleh golongan reformis Kristian yang mencabar tradisi agama Kristian. Kemenangan golongan reformis Kristian bersama golongan pro-falsafah dan sains dalam pertarungan tersebut membolehkan terbitnya suasana reformasi politik, ekonomi dan sosial di Dunia Barat. Antara dampak kemenangan ini adalah meliberalisasikan agama. Menurut Greg Barton, seorang pendukung gagasan Islam Liberal, prinsip utama Islam Liberal adalah pentingnya kontekstualisasi ijtihad, komitmen terhadap rasionaliti dan reformasi agama, penerimaan terhadap pluralisme sosial dan agama, dan pemisahan agama daripada parti politik dan kedudukan negara yang non-sektarian. Prinsip-prinsip ini secara halus mencabar tradisi kesyumulan ajaran Islam melalui tema-tema tertentu seperti Islam Inklusif, Islam Plural dan Islam Sederhana.
Pengistilahan Islam Liberal itu sendiri menunjukkan kedangkalan pendukung Islam Liberal, dimana Islam sendiri cuba diklasifikasikan sehingga mewujudkan suasana dwi-Islam iaitu Islam Liberal dan Islam Tidak Liberal. Pengistilahan secara salah akan menyebabkan kesucian Islam dinodai kerana terdapat unsur-unsur negatif dalam ajaran Islam sedangkan suasana negatif yang wujud dalam masyarakat Islam dilakukan oleh umat Islam yang ‘tohor’ ilmu agamanya bukannya berpunca daripada ajaran Islam sendiri. Kedapatan juga tokoh ilmuan Islam yang terpengaruh dengan gagasan ini cuba memurnikan kembali ajaran Islam dengan menghentam pemikiran ulama Islam silam yang didakwa terlalu eksklusif. Mereka mahu Islam bersifat inklusif dan progresif bagi menangani perubahan zaman. Kesanggupan golongan berilmu menyokong gagasan Islam Liberal semata-mata mahu memperolehi status gelaran intelek muslim sederhana.
Tema Islam Plural pula cuba diterapkan ke dalam pemikiran masyarakat Islam oleh llmuan dan penulis berideakan Islam Liberal. Sifat Plural dalam ajaran Islam cuba diterap dengan menerima ajaran-ajaran agama atau fahaman yang lain. Menurut Hamid Algar, golongan Islam Liberal tidak sedar mereka melakukan kesalahan apabila berkompromi begitu banyak dengan agama dan fahaman lain sehingga kepada persoalan dasar (akidah) di dalam agama Islam. Kompromi secara berlebihan akan mengancam tunjang akidah umat Islam kerana setiap amalan perlu dinilai melalui perspektif Islam bukannya ajaran atau fahaman agama lain.
Tema Islam Inklusif mengakui kebenaran agama lain selain daripada Islam. Golongan Islam Liberal menggunakan tema ini untuk menyamakan agama lain dengan agama Islam kerana agama lain turut menganjurkan amalan yang baik dan benar.Tema Inklusif ini menyamai konsep pragmatisme akhlak yang telah dipopularkan oleh John Dewey di Amerika Syarikat. Dalam konsep pragmatisme, kebenaran mutlak tidak ada menyebabkan setiap sesuatu tidak bersifat eksklusif. Tema ini mengarahkan umat Islam mengakui kebenaran agama lain sehingga boleh menyebabkan umat Islam berada pada tahap murtad.
Di Malaysia, usaha golongan Islam Liberal dapat dilihat dari segi ideal, penulisan, percakapan dan kelakuan seseorang atau sesebuah organisasi. Mereka menampakkan diri mereka terpisah tetapi mereka adalah satu jaringan yang menunggu masa untuk mempamerkan diri mereka. Mereka bagaikan gumpulan awan kecil yang bertaburan cuba berkumpul dan turun membanjiri bumi. Selain tulisan di akhbar tempatan, golongan Islam Liberal mula menonjol diri dengan menyokong penubuhan Suruhanjaya Antara Agama [IRC] yang diseminarkan pada 24 Februari 2005.
IRC cuba ditubuhkan oleh Majlis Peguam Malaysia dan disokong oleh Majlis Perundingan Malaysia bagi Ajaran Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh [MCCBCCH] dan Yayasan Konrad Adenauer. Kehadiran Yayasan Konrad Adenauer dalam usaha menubuhkan IRC boleh disangsikan kerana yayasan yang berpusat di Jerman ini cuba mencampuri urusan dalaman negara ini. IRC berperanan penyiasat, pengantara, perunding dan pendamai terhadap dakwaan perbuatan yang menjejaskan keharmonian agama. Penubuhan IRC ditentang hebat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdullah Md. Zin kerana bercanggah dengan Perlembagaan Negara manakala pertubuhan Islam seperti ABIM, Persatuan Ulama Kedah dan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia [PPMM] turut menentang kerana IRC akan cuba memcampuri urusan agama yang sudah ditentukan oleh al Quran dan hadis, dan cubaan IRC mencampuri urusan agama Islam boleh mengeruhkan suasana beragama di Malaysia.
Paling menarik terdapat 2 pertubuhan berasaskan Islam turut menyokong penubuhan IRC iaitu Forum Iqra dan Sister in Islam (SIS). Forum Iqra dipimpin oleh Dr. Kassim Ahmad pernah mengemparkan negara dengan isu antihadis melalui Jemaah al Quran dan SIS dipimpin oleh sekumpulan wanita Islam yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama. Dibimbangi keberanian golongan ini tanpa tahap keilmuan yang cukup dan terlalu taksub dengan pemikiran Barat, golongan ini akan sesat dalam mencari cahaya hidayah Ilahi. Pertubuhan Islam yang menyokong idea penubuhan IRC perlu mendapat nasihat daripada para ulama sebelum membuat keputusan dan mereka juga seharusnya menerima kemutlakan ajaran al Quran tanpa prejudis.
Penolakan 50 NGO terhadap undang-undang bersifat kawalan moral adalah satu contoh penularan idea Islam Liberal di kalangan masyarakat Malaysia. Kebanyakan pertubuhan ini terjajah dengan idea hak asasi Barat tanpa melihat nilai kemoralan sosial masyarakat Islam dan Timur. Kawalan moral dalam masyarakat Islam dan Timur bukan sahaja tertakluk pada hak peribadi tetapi meliputi hak masyarakat dan negara. Peribahasa Cina ada mengatakan ‘Jia you jia gui, guo you guo fa’ yang bermaksud sesebuah keluarga mempunyai peraturan dan sebuah negara mempunyai undang-undang. Hasil gabungan usaha diri, keluarga, masyarakat dan negara dalam kawalan sosial akan menghasilkan satu kekuatan yang jitu untuk membanteras kemerosotan nilai sosial dalam masyarakat sekarang. Adalah dangkal jika menolak perundangan bersifat kawalan sosial sedangkan ia boleh memupuk disiplin dan akhlak individu dan masyarakat.
Pemikiran Islam Liberal perlu ditolak disebabkan ia boleh merbahayakan akidah umat Islam. Walaupun idea Islam Liberal dilihat bersifat reformasi untuk umat Islam tetapi ia adalah satu pembohongan terhadap Allah SWT kerana mencampur-adukkan kebenaran dengan kebathilan. Idea Islam Liberal membohongi kebenaran selepas datangnya kebenaran. Jangan sampai ilmu jahat menguasai pemikiran dan gaya hidup umat Islam. Berhati-hatilah.
yg peliknya,golongan islam liberal kat malaysia ni bergerak dng sebebas-bebasnya.Tiada langsung sekatan terhadap mereka.Pendapat mereka yg menyeleweng dan tidak berteraskan ilmu disiarkan di semua media arus perdana.Masjaliza,Marina M, Astora dll.Lebih hebat lagi mereka disanjung sebagai pemikir agama.Kalau kita nak ikut Islam yg sebenar,macam2 halangan yg perlu kita hadapi.Benarlah,kalau kita nak ikut Islam,adalah sama seperti menggenggam bara api.Kalau berjuang Islam tu senang,seperti dapat tanah,kontrak dll ramai la yg sanggup berjuang utk Islam.Tapi apa yg kita dpt dengan perjuangkan Islam?
isu ISLAM LIBERAL ni dah lama timbul ... kita baca lah surat khabar kita, cuba lihat artikel2 penulis2 terkenal kita ... cuba kaji, semuanya berbaur Islam kemodenan. Mereka2 ni berani keluarkan artikel di dada2 akhbar. huh ... cubalah kita kaji ....
Assalamualaikum Sahabat-sahabat ku jemaah forum sekalian.
Hanya secebis minda ku yang ingin ku kongsi bersama semua di sini.
ISLAM itu hanya satu sahabat sahabat ku.
Tidak pernah dalam mana mana sejarah ISLAM yang satu ini, ISLAM dipecah-pecahkan. Di label-labelkan ataupun dikategori-kategorikan kemana-mana jenis ISLAM.
Sama ada kita menyokong ISLAM atau menentang nya.
Islam Liberal... Islam fudamentalis... Islam entah apa apa lagi...
Semua itu label-label barat sahabat-sahabatku...
terlalu "immersive" dunia barat ini hinggakan kita sendiri sebagai UMAT ISLAM telah mengakui kewujudan label-label ini.
Mereka yang nama-nama disebut sebagai tokoh-tokoh Islam Liberal itu, Biarlah mereka diadili oleh Allah SWT yang Maha Adil.