Kerjaya kini dilihat sebagai antara faktor yang boleh menentukan kedudukan dan maruah sesuatu bangsa. Hakikat ini ada benarnya jika dilihat pada zaman sebelum merdeka, kerjaya orang Melayu rata-rata tidak begitu baik. Kebanyakan kerjaya yang mereka lakukan tertumpu pada bidang yang tidak mempunyai status, kedudukan dan pengaruh yang baik. Hal ini berbeza dengan golongan bukan Melayu.
Pada masa kini terdapat perubahan besar di mana kedudukan dan pengaruh banyak ditentukan oleh pencapaian kerjaya individu dan juga orang Melayu keseluruhannya.
Namun perubahan didapati belum meluas dari segi kerjaya yang terjamin dan mencerminkan pendapatan yang baik. Kini harus dihitung berapa ramai orang Melayu yang mempunyai pendapatan lima digit atau lebih RM10,000 sebulan.
Kebanyakan kerjaya orang Melayu masih berada pada tahap yang rendah. Ini termasuk pegawai Melayu, walaupun berjawatan tinggi tetapi pendapatan mereka tidak mencerminkan satu kehidupan yang amat baik dari segi maruah dan kuasa beli.
Pengarah Pusat Perkembangan Keluarga, Universiti Malaya, Prof. Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid berpendapat trend yang tidak sihat ini berlaku kerana terdapat keadaan kerjaya tidak dapat dicapai melalui peluang-peluang pekerjaan yang baik. Ini mungkin disebabkan oleh keadaan ekonomi yang tidak dapat menyerap dan mencipta kerja. Begitu juga didapati penstrukturan perubahan ekonomi kini tidak menuju kepada perubahan kerjaya yang lebih dinamik dan progresif ke arah mewujudkan golongan Melayu mendapat pendapatan yang baik.
Menurut Abd. Rahim, maruah orang Melayu dari segi kerjaya adalah satu agenda kritikal yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan semua orang Melayu. Apakah orang Melayu sudah mendapat kedudukan yang baik dari segi kerjaya?
Pada kajian beliau, kelemahan kerjaya Melayu ini melibatkan sistem pelajaran dan juga peranan keluarga Melayu yang kurang memberi perhatian kepada pembinaan kerjaya di kalangan anak-anak.
Beliau melihat pelaksanaan meritokrasi di universiti awam adalah baik tetapi ia kini menyekat pelajar Melayu yang mendapat kadar purata mata terkumpul (CGPA) 3.9 atau 3.8 dalam bidang sains daripada mendapat peluang dalam kerjaya perubatan dan kejuruteraan.
``Oleh kerana meritokrasi mementingkan mereka yang mendapat pencapaian tertinggi dalam CGPA, maka ini memberi peluang hanya kepada anak-anak golongan kaya dan berada sahaja untuk menguasai kerjaya yang lebih baik seperti menjadi doktor perubatan dan sebagainya.
``Sebenarnya di kalangan pelajar Melayu walaupun yang mendapat CGPA 3.5 bukan tidak pintar tetapi banyak sebab mereka tidak mendapat 4 CGPA misalnya kerana kedudukan ekonomi ibu bapa dan kualiti sekolah serta halangan-halangan lain yang menyebabkan mereka tidak mendapat pencapaian terbaik itu,'' jelas Abd. Rahim.
Sebab itu, katanya, sebelum dasar meritokrasi dikuatkuasakan ramai anak-anak Melayu yang mendapat 3.3 - boleh juga menjadi doktor sebab ada dasar yang jelas untuk memberi kuota kepada golongan pelajar miskin untuk menjadi doktor dan sebagainya. Tetapi kini ia sudah menjadi suatu agenda yang kurang dipentingkan. Golongan pelajar yang minat menjadi doktor perlu diberi tempat dan peluang menjadi doktor, jurutera dan sebagainya.
Banyak pelajar yang mendapat pencapaian kurang dari CGPA 4 ini menyebabkan berlaku pembaziran masa depan anak-anak Melayu yang bertungkus-lumus untuk mendapat kerjaya yang lebih baik, malangnya pengiraan meritokrasi menyekat harapan mereka.
Dari aspek dorongan keluarga juga tidak banyak ibu bapa Melayu membincangkan soal kerjaya anak-anak. Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Keluarga yang ditubuhkan dua tahun lalu itu, ``Kebanyakan mereka mewarisi kerjaya yang bertaraf rendah dari segi sosial dan ekonomi. Hal ini perlu diambil perhatian oleh Dasar Sosial Negara di bawah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat.''
Menurut beliau, membangunkan kerjaya dan orang Melayu di luar bandar perlu diberi perhatian dengan meningkatkan nilai-nilai supaya kerjaya menjadi suatu asas perubahan keluarga, iaitu mereka akan melakukan lebih baik untuk anak-anak sama ada lelaki atau perempuan.
Keadaan menjadi bertambah buruk jika trend anak-anak lelaki tidak meningkatkan pencapaian pelajaran dan kerjaya. Mereka akhirnya menjadi pekerja bawahan. Ini suatu gejala jika tidak diberi perhatian kepada anak lelaki yang hanya memikir faedah jangka pendek untuk hidup senang.
``Oleh kerana pendidikan merupakan asas untuk mendapat kehidupan yang lebih baik dan jika trend pencapaian pelajaran anak-anak lelaki Melayu tidak dibaiki bermakna suatu masa akan berlaku di mana golongan perempuan yang berpelajaran tinggi sukar untuk mendapat pasangan hidup yang lebih baik atau setaraf dengannya. Dan akhirnya mereka akan berkahwin dengan lelaki yang mempunyai kerjaya yang kurang baik.
``Ini akan menjadi serius kepada pembangunan keluarga dan maruah Melayu. Sebab pendidikan adalah satu modal penting untuk mengubah kedudukan orang Melayu dan generasi akan datang,'' jelas Abd. Rahim.
Sebab itu, beliau mencadangkan bahawa untuk mengubah orang Melayu perlu dilihat dari aspek pendidikan dan pembinaan keluarga serta kerjaya yang baik. Dasar-dasar sosial terutama yang menyentuh hal pendidikan dan pembangunan keluarga perlu melihat apakah agenda dan strategi masa depan kita untuk merombak dan mengubah bidang kerjaya anak Melayu melalui bidang pendidikan dan peranan positif yang didorong oleh institusi keluarga Melayu.
Institut pengajian tinggi (IPT) juga menyumbang suasana tidak sihat apabila masih ramai lepasan universiti yang masih menganggur. Tujuan IPT kini bukan sahaja menyediakan pendidikan dan ilmu para pelajarnya tetapi perlu mengambil kira peluang kerjaya dan kehendak pasaran kerjaya di negara ini.
Perancangan sumber tenaga manusia kita perlu melihat rombakan ekonomi dan suasana yang menyebabkan perubahan kerjaya masa depan supaya IPT boleh bertindak dan merancang sumber tenaga yang diperlukan dalam strategi dasar sumber tenaga negara.
Kini seolah-olah tiada koordinasi yang baik antara perancang sumber tenaga negara dengan IPT yang mengeluarkan sumber tenaga manusia. Penyelesaian isu pengangguran siswazah juga kurang melibatkan semua pihak yang terbabit dalam pengeluaran tenaga manusia ini.
Pada pemerhatian Abd. Rahim, masalah kerjaya adalah kritikal dalam abad ke-21. ``Apabila masalah pengangguran meningkat maka berkuranglah peluang pekerjaan. Berlaku kemerosotan ekonomi dan pengecilan dari segi pengambilan pekerja terutama yang berpendidikan tinggi dan profesional. Perancangan sumber manusia kita juga kurang fleksibel dan dinamik bagi menangani masalah pengangguran yang dihadapi golongan lepasan universiti.''
Dalam hal siswazah terlalu memilih kerja, Abd. Rahim mengakui ia memang satu isu tetapi mereka yang mendapat pendidikan tinggi juga perlu membina masa depan kerjayanya. Jika mereka tidak memilih kerja, kita akan berdepan dengan situasi yang tidak sihat iaitu golongan berpendidikan tinggi melakukan kerja yang tidak setaraf dengan ilmunya dan kelulusan.
``Ini boleh memburukkan imej Melayu. Jika remaja Melayu hanya melakukan kerja yang tidak setaraf dengan kelulusannya dan melakukan semua kerja berterusan dan bukan bersifat sementara, ini menjejaskan maruah bangsa.
``Kita perlu ingat kerjaya juga merupakan aspek penting dalam menentukan maruah bangsa. Bagaimana seorang lulusan universiti perlu melakukan kerja konstabel polis. Ini sepatutnya tidak berlaku dan pihak yang mengambil graduan itu tidak sepatutnya mengeksploitasi sumber tenaga graduan,'' kata Pengarah Pusat Pembangunan Keluarga itu.
Menurut beliau lagi, dasar pengambilan pekerja perlu mengambil kira kelayakan dan harus menghormati taraf pendidikan seseorang. Memandangkan masalah ini maka Pusat Pembangunan Keluarga menganjurkan Seminar Pembangunan Kerjaya Abad 21 yang berlangsung dua hari (29-30 November 2004) di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya