MAJORITI ulama seperti Imam al-Shafie, Maliki dan Qurtubi berpendapat bahawa nyanyian yang biasa dinyanyikan dalam kehidupan harian seperti nyanyian untuk meringankan mengangkat barang yang berat, meringankan perjalanan musafir, mempercepatkan perjalanan ke medan perang, menenangkan anak menangis dan jika tidak ada lirik kotor, lucah dan perkara haram dibolehkan.
Begitu juga dibolehkan mencipta syair yang menggalakkan orang mencintai akhirat dan bencikan keburukan dunia serta nyanyian pada majlis perkahwinan, yang menggalakkan ketaatan kepada Allah dan berakhlak mulia.
Diperhatikan pendapat ulama dalam memahami dalil daripada al-Quran dan hadis mengenai nyanyian, menunjukkan pada dasarnya ia tidak haram. Tetapi hukumnya akan berubah menjadi haram disebabkan oleh seni kata yang haram seperti perkataan lucah, memuja dan memuji perkara haram. Begitu juga cara persembahan yang tidak menutup aurat dan pergerakan yang menaikkan nafsu. Selain itu, dihidangkan minuman keras, persembahan yang melekakan di sepanjang malam dan sebagainya.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan sunat. Selain itu, ada pula haram.
Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar orang awam.
Penyanyi
Penyanyi perempuan haram melihatnya dan mendengar suaranya kerana ditakuti berlaku fitnah. Kedudukan haramnya sama dengan melihat budak lelaki muda, jika melihatnya menimbulkan fitnah. Perkara ini haram kerana disebabkan kebimbangan yang membawa kepada fitnah, bukannya haram kerana nyanyian.
Alat muzik
Alat muzik yang digunakan dalam nyanyian ialah adat yang menjadi simbol kepada majlis maksiat dan minum arak seperti serunai, biola dan rebana qublah. Menurut al-Ghazali ketiga-tiga jenis alat muzik ini ditegah. Manakala yang lainnya adalah harus.
Seni kata
Seni kata yang digunakan mengandungi celaan, cacian serta membohongi Allah, rasul-Nnya dan sahabat seperti lirik yang dilagukan oleh golongan yang mencela sahabat semuanya haram. Begitu juga seni kata yang menggambarkan keindahan perempuan secara khusus di hadapan lelaki.
Tanggapan pendengar
Tanggapan pendengar terhadap nyanyian yang boleh mendorong kepada nafsu lebih banyak daripada yang lain seperti seorang belia yang masih muda remaja, maka haramlah hukumnya.
Pandangan orang awam
Pandangan seorang awam yang kurang perhubungannya dengan Allah dan suka mendengar nyanyian. Jika banyak masanya dihabiskan mendengar nyanyian, maka boleh membawa kepada kerja-kerja yang tidak berguna dan sia-sia.