KUALA LUMPUR 8 Sept. - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) hari ini melantik Idris Jala sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya yang baru, berkuat kuasa 1 Disember ini.
Idris, 47, Pengarah Urusan Shell Middle Distillates Synthesis (SMDS) Malaysia Sdn. Bhd. dan Naib Presiden Shell Malaysia Gas and Power, akan menggantikan Datuk Ahmad Fuaad Dahlan yang melepaskan jawatan Pengarah Urusan MAS pada 22 Ogos lalu.
Pelantikan anak kelahiran Bario, Sarawak itu sekali gus mengetepikan spekulasi sebelum ini bahawa seorang eksekutif asing akan dilantik menerajui syarikat penerbangan kebangsaan.
Idris berkata, beliau yang tidak mempunyai latar belakang dalam industri penerbangan perlu belajar dengan pantas mengenai selok belok industri itu.
``Saya akan melakukan yang terbaik untuk bekerja dengan setiap kakitangan MAS,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam Perhubungan Industri dari University of Warwick, United Kingdom.
Idris memulakan kerjayanya di syarikat petroleum itu sebagai Pegawai Perhubungan Industri di Sarawak Shell Bhd. pada 1982.
Beliau kemudian diberi amanah memegang beberapa jawatan penting untuk operasi Shell di Belanda, Sri Lanka dan London sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan SMDS pada 2003.
MAS dalam kenyataan yang sama menyatakan, Idris dilantik selepas syarikat itu membuat pencarian yang meluas untuk mendapatkan seorang eksekutif yang boleh memulihkan prestasi syarikat penerbangan kebangsaan itu.
Menurut Idris, beliau percaya faktor utama untuk memulihkan perniagaan MAS bergantung kepada pengembangan bakat setiap kakitangan syarikat penerbangan tersebut.
Pengisian kerusi Pengarah Urusan MAS mendapat perhatian umum apabila Ahmad Fuaad melepaskan jawatan, pada hari yang sama MAS mengumumkan kerugian RM280.66 juta untuk suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2005.
Isu mendapatkan peneraju MAS terus menjadi hangat apabila Khazanah Nasional Bhd., pemegang ekuiti utama syarikat penerbangan itu, dikatakan mungkin melantik warga asing untuk menerajui syarikat penerbangan tersebut.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahukan syarikat penerbangan kebangsaan itu diterajui oleh rakyat tempatan.
Sementara itu, Pengerusi MAS, Datuk Dr. Munir Majid berkata, berdasarkan kepada pengalaman luas dan pencapaian Idris di Shell, Lembaga Pengarah yakin Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang baru itu mampu membantu MAS menghadapi cabaran perniagaan dan merebut peluang-peluang yang ada.